Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Harga durian musim mendatang dijangka meningkat. Ini sebabnya...

Jika anda seorang penggemar buah durian, ini bukan sesuatu berita yang akan membuatkan anda tersenyum - harganya menjadi semakin mahal pada musim-musim mendatang.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Jika anda seorang penggemar buah durian, ini bukan sesuatu berita yang akan membuatkan anda tersenyum - harganya menjadi semakin mahal pada musim-musim mendatang.

BERITAmediacorp ke seberang tambak baru-baru ini untuk meninjau pasaran durian dan mencungkil jawapannya.

Nilai eksport durian ke China pada 2017 mencecah S$1.5 bilion berbanding hanya S$330 juta sedekad lalu.

Malaysia merupakan pengeksport durian kedua terbesar ke China selepas Thailand.

Jadi, adakah perkembangan ini akan menjejas harga dan bekalan kepada 'hantu-hantu durian' di Singapura?

Mentelah lagi, beberapa pengedar durian Malaysia sudah memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) dengan pihak-pihak di China bagi membekalkan 'raja buah' itu.

Meskipun demikian semasa temubual dengan BERITAmediacorp, Anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang Abdul Aziz Mat Kiram membayangkan bahawa "tidak ada masalah" bekalan durian ke Singapura.

"Untuk dalam negeri cukup tetapi kalau ada peluang di luar negara, ini mungkin timbul sikit isu bekalan. Masalah bekalan ke luar negara tertakluk kepada negara itu sendiri. Bagi Singapura, saya rasa kita tidak ada masalah. Ke Hong Kong dan Thailand pun kita tidak ada masalah," kata Encik Abdul Aziz.

Para pengusaha kebun durian yang ditemui seperti Encik Neng Eng Siang dan Cik Melissa Yap juga berkongsi bahawa mereka tidak menjangkakan bekalan durian ke Singapura akan terjejas.

Namun begitu, mereka berkongsi bahawa dari aspek harga pula ada kemungkinan harga durian akan meningkat, terutama sekali semasa musim buah durian "tiba".

"Apabila musim dan keperluan lebih daripada bekalan dan keperluan katakan 100 peratus, kita mungkin menaikkannya 30 peratus dan pasti harga akan terus naik lagi. Namun, apabila keperluan itu kurang dan bekalan pula banyak pasti harga pula akan kurang," jelas pengerusi Persatuan Pekebun Buah-Buahan Pahang, Melissa Yap.

Selain daripada itu, Cik Yap berkongsi kenaikan harga semasa musim durian juga disebabkan kerja-kerja menanam yang perlu dilakukan.

Sebagai contoh, durian jenis Musang King yang semakin popular dan mendapat lebih banyak permintaan merata dunia, memerlukan kepakaran menanam yang berbeza berbanding jenis-jenis lain.

Bagaimanapun, syarikat pengedar durian BEHO Group menyatakan perkembangan pasaran durian juga membawa beberapa manfaat yang lain.

Antaranya adalah para penggemar durian di sini boleh menikmati buah durian yang lebih bermutu serta kepelbagaian produk durian.

Pengurus besar BEHO Group, Sam Hoo berkata: "Teknologi dan sumber untuk petani untuk menanam dan menghasilkan pokok durian yang boleh tahan lama dan juga menghasilkan buah yang lebih berkualiti".

Ini sekaligus membolehkan syarikat-syarikat seperti BEHO untuk menghasilkan produk durian seperti ais krim, pes untuk kek dan kuih-muih. 

Sumber : BERITA Mediacorp/UR/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan