Images
  • instagram
    (Gambar hiasan: Reuters)

Hampir separuh 'influencer' S'pura tambah pengikut, komen secara buatan

SINGAPURA: Hampir separuh daripada kesemua 'influencer' di Singapura menggunakan kaedah-kaedah buatan - termasuk 'membeli' pengikut - untuk memperbaiki statistik mereka di Instagram, menurut laporan baru yang meninjau 7,107 influencer Singapura yang mendakwa mempunyai antara 1,000 hingga sejuta pengikut.

Tinjauan itu dijalankan oleh HypeAuditor, sebuah perisian audit online Instagram dan Youtube yang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mengesan pernyataan palsu di media sosial seperti pengikut, 'likes', komen dan interaksi lain.

Hasil tinjauan itu menunjukkan, setakat sehingga Ogos tahun ini, Instagram mempunyai lebih 1.97 juta pengguna di Singapura.

Menjawab pertanyaan Mediacorp, Alex Frolow, Ketua Pegawai Eksekutif HypeAuditor berkata bahawa 47 peratus daripada kesemua influencer di Singapura merancakkan statistik Instagram mereka menggunakan pelbagai kaedah buatan, kadang kala dengan menggunakan lebih daripada satu teknik.

Beliau berkata bahawa 27 peratus daripada para influencer di negara ini 'membeli' pengikut sementara satu daripada 10 influencer menggunakan teknik ‘comment pods’, iaitu dengan mengikut sejumlah pengguna Instagram lain dengan harapan mereka akan mengikut kembali bagi meningkatkan metrik media sosial mereka secara buatan.

Lagi 17 peratus influencer menambah komen secara buatan sementara hampir satu daripada 10 influencer menggunakan 'pod komen'. Ini bermakna lebih daripada suku daripada para influencer menambah komen secara buatan.

HypeAuditor menggolongkan para influencer ke dalam kategori-kategori berikut:

  • Mega-influencer dan selebriti (lebih sejuta pengikut)
  • Macro-influencer (100,000 hingga sejuta pengikut)
  • Influencer tahap pertengahan (20,000 hingga 100,000 pengikut)
  • Micro-influencer (5,000 hingga 20,000 pengikut)
  • Nano-influencer (1,000 hingga 5,000 pengikut)

Kebanyakan pernyataan palsu Instagram di Singapura dilakukan dalam kalangan macro-influencer, iaitu sebanyak 56 peratus yang melakukan penipuan angka.

Paras pernyataan palsu Instagram yang terendah, sebanyak 38 peratus, adalah dalam kalangan nano-inflencer.

TEKNIK PENIPUAN POPULAR

Strategi ikut/tidak ikut adalah strategi paling popular dalam kalangan influencer tahap pertengahan, iaitu sebanyak 15 peratus yang menggunakannya.

Lebih sepertiga micro-inflencer - 34 peratus - membeli pengikut Instagram.

Sementara itu, lebih sepertiga macro-influencer menambah komen dengan membeli komen atau menggunakan pod komen.

KAEDAH TINJAUAN

Encik Frolov memberitahu Mediacorp bahawa HypeAuditor menggunakan algoritma pembelajaran mesin untuk "mengesan kegiatan palsu dan pengikut bermutu rendah," sambil menambah bahawa setiap metrik dalam laporannya menggunakan algoritma berlainan untuk memperolehi data.

Laporan itu juga menggunakan data dari pelbagai sumber, termasuk agensi-agensi penyelidikan pasaran, Internet, syarikat-syarikat media sosial, agensi media berita, dan analisis dalaman HypeAuditor.

Algoritma itu membolehkan HypeAuditor untuk membahagikan pengikut seseorang influencer itu ke dalam empat kategori: Manusia nyata, influencer, pengikut beramai-ramai dan akaun-akaun yang mencurigakan.

- TODAY/ZM/zm

Top