Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Halal Street UK sasarkan 500 SME M'sia eksport produk ke Britain

Halal Street UK, iaitu e-pasaran halal pertama di United Kingdom (UK), menyasarkan 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk menyertai wadahnya bagi mempromosikan dan mengeksport produk mereka ke sana.

Anggaran Waktu Membaca:
Halal Street UK sasarkan 500 SME M'sia eksport produk ke Britain

Petikan laman web Halal Street Uk.

Diterbitkan : 20 Aug 2019 11:22AM Dikemas Kini : 20 Aug 2019 11:23AM

KUALA LUMPUR: Halal Street UK, iaitu e-pasaran halal pertama di United Kingdom (UK), menyasarkan 500 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia untuk menyertai wadahnya bagi mempromosikan dan mengeksport produk mereka ke sana.

Pengasas Halal Street UK, Simon Suresh, berkata ini adalah kali pertama e-pasaran menjelajah ke luar UK kerana produk-produk dengan pensijilan halal Malaysia mempunyai permintaan yang tinggi.

“Di Malaysia, kita bersyukur mempunyai tahap pensijilan halal tertinggi dan dapat menikmati makanan halal berkualiti tinggi tanpa mengira sama ada Muslim atau bukan Muslim.

“Namun, ada kalanya, kita mengambil mudah. Apabila berada di UK, anda akan dapati agak sukar untuk membeli makanan halal seperti gula-gula ataupun vitamin.

“Oleh itu, saya berpendapat telah tiba masanya PKS Malaysia meneroka UK menerusi e-pasaran ini jadi pengguna juga boleh menikmati kualiti produk halal yang sama,” terang Encik Simon.

Beliau juga berkata Halal Street UK bekerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) menerusi program eTRADE bagi membantu lebih banyak PKS Malaysia meneroka pasaran UK dan pasaran sekitarnya.

“Kerjasama dengan Matrade ini akan membolehkan PKS layak menerima bantuan eTRADE seperti kemudahan kewangan apabila mereka mengambil bahagian dalam Halal Street UK.

“PKS yang berkelayakan akan mudah mempunyai akses kepada lebih 44 juta penduduk Muslim di pasaran Eropah dan lebih 15,000 pelanggan sedia ada di platform itu. Di UK sahaja, pasaran makanan halal bernilai 770 juta pound British,” kata Encik Simon, juga seorang peguam yang menetap di UK.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Matrade Sharimahton Mat Saleh berkata jumlah pasaran eTRADE kini adalah 20 dengan penyertaan di Halal Street UK.

Menurutnya, prospek produk halal seperti makanan dan minuman, produk kecantikan, makanaan tambahan kesihatan, hijab serta barangan bayi adalah sangat besar disebabkan sebilangan penduduk Islam yang tinggi bahkan semakin berkembang di sana.

“Dengan meningkatkan kumpulan pengeksport, kita akan dapat meningkatkan sumbangan eksport PKS kepada 25 peratus menjelang 2025 daripada 17.5 peratus yang dicapai pada 2018 - seperti yang ditetapkan di bawah Dasar Keusahawanan Kebangsaan 2030.

“Di bawah program eTRADE, kami kini mempunyai lebih 2,200 PKS dan berharap untuk mencapai 2,900 menjelang 2020,” kata Cik Sharimahton sambil menambah bahawa Matrade telah memperjuangkan PKS dalam e-dagang selama lebih dari lima tahun sejak eTRADE ditubuhkan.

Halal Street UK ditubuhkan pada 2014 dan berpangkalan di UK serta Malaysia. 

Sumber : Bernama/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan