Images
  • gigi
    Gambar hiasan.

Gusi berdarah boleh sebabkan hilang gigi

ALOR SETAR: Kita sering memandang ringan terhadap masalah gusi berdarah dan tanpa disedari, ia boleh menyebabkan kehilangan gigi.

"Perlu ada dalam fikiran kita bahawa individu dengan gusi berdarah adalah bermasalah dan tidak sihat," kata Pakar Pergigian Periodontik Klinik Pakar Pergigian Kota Setar, Dr Rusmizan Yahaya.

Beliau berkata pendarahan gusi boleh menjejas tisu penyokong yang melindungi gigi dan lazimnya penyakit gusi terbahagi kepada dua peringkat iaitu Gingivitis serta Periodontitis.

“Keradangan gusi peringkat awal dikenali sebagai Gingivitis - iaitu pesakit mengalami gusi bengkak, salah satunya disebabkan oleh pembentukan plak atau karang gigi yang terhasil akibat pengumpulan sisa makanan tidak dibersihkan dengan baik. Plak hanya boleh dirawat dengan kaedah 'scaling'.

"Jika dibiarkan, keadaan itu boleh menyebabkan gusi merah, bengkak dan mudah berdarah," katanya dalam sesi ‘Sembang Sihat Gusi Berdarah, Kenapa?’ yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook rasmi Jabatan Kesihatan Negeri Kedah.

Periodontitis pula adalah keadaan pesakit yang mengalami penyakit gusi peringkat lanjut, melibatkan bahagian akar gigi atau tulang penyokong gigi yang boleh menyebabkan struktur gigi longgar serta tercabut, jelas Dr Rusmizan.

Beliau menambah antara faktor sering terkait dengan gusi berdarah adalah kecederaan fizikal, yang boleh berlaku ketika memberus gigi dengan teknik tidak betul atau faktor sistemik akibat pengambilan sesuatu ubat.

Menurut beliau lagi, penyakit gusi perlu dirawat dari peringkat awal kerana apabila sudah mencapai peringkat lanjut, ia sukar dirawat dan keadaan itu boleh menjejas mutu kehidupan individu.

"Ramai pesakit muda beranggapan pada umur 60 hingga 70 tahun, gigi akan longgar dan itu adalah tanggapan yang salah sebab gigi kalau dijaga dengan baik, ia akan dapat dikekalkan," ujarnya.

Mengenai amalan yang boleh mengelakkan penyakit gusi, Dr Rusmizan berkata langkah pencegahan paling utama adalah setiap individu perlu memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari.

"Kalau tidak berus, memang gigi akan rosak dan seeloknya mestilah guna ubat gigi berflorida dan memberus dengan teknik yang betul serta berkesan," nasihat beliau.  

- BERNAMA/FZ/fz

Top