Images
  • bubble tea two

Gula perang, bahan tambahan berbuih dalam 'bubble tea' tinggi kalori

SINGAPURA: Satu kajian yang dijalankan Hospital Mount Alvernia mendapati ada sebilangan perisa minuman popular 'bubble tea', atau juga dikenali sebagai 'boba', mungkin mengandungi kalori sama seperti yang terkandung dalam satu setengah mangkuk nasi.

Antara perisa minuman 'bubble tea' itu adalah teh susu dengan gula perang yang mempunyai 500 kalori bagi setiap minuman setengah liter. Jumlah kalori itu lebih kurang sama dengan memakan semangkuk setengah nasi putih.

Walaupun minuman tehnya mungkin menyihatkan, bahan-bahan tambahan lain seperti puding dan bebola tepung ubi atau 'pearls' akan menambahkan jumlah kalori.

Menurut seorang pakar diet, dalam banyak-banyak bahan tambahan yang boleh dipilih oleh pembeli untuk melengkapkan 'bubble tea' mereka, 'foam' atau buih sahaja - baik diperbuat daripada susu, keju atau bahkan strawberi - boleh menyumbang 200 kalori kepada minuman tersebut dan ini tidak termasuk kandungan lain. Jumlah kalori itu sama seperti memakan setengah mangkuk nasi.

Bagaimanapun, terdapat juga kedai-kedai 'bubble tea' yang menawarkan minuman itu dalam versi rendah kalori.

Misalnya, One 2 One menggunakan rumpai laut sebagai alternatif kepada bebola tepung ubi sebagai 'pearls'. Para pakar diet berkata, nilai kalorinya sangat rendah, sama seperti jeli konnyaku.

Namun, seperti makanan dan minuman manisan yang lain, kesederhanaan dalam pengambilannya adalah penting untuk mengekalkan gaya hidup sihat.

"Apa yang kami ingin sampaikan kepada orang awam adalah ia ('bubble tea') tidak sihat dan boleh dianggap sebagai pencuci mulut, bukan sekadar minuman bergula biasa," terang Cik Jacqueline Loh, pakar diet di Hospital Mount Alvernia.

Beliau juga memberi nasihat bahawa meminum secawan 'bubble tea' dalam seminggu sudah memadai demi kesihatan pembeli.  

- CNA/FZ/fz

Top