Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gucci naikkan harga beg tangan untuk atasi kesan COVID-19, kata penganalisis

Gucci menaikkan harga beg tangannya sehingga 9 peratus, untuk menyertai pesaing-pesaingnya Louis Vuitton dan Chanel yang yakin bahawa jenama mereka akan masih menarik golongan pelanggan mewah, menurut satu laporan Jefferies pada Jumaat (19 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Gucci naikkan harga beg tangan untuk atasi kesan COVID-19, kata penganalisis

Seorang kakitangan memeriksa suhu pelanggan yang ingin memasuki kedai Gucci (Gambar: Alberto PIZZOLI/AFP)

Diterbitkan : 20 Jun 2020 02:40PM Dikemas Kini : 20 Jun 2020 02:47PM

MILAN: Gucci menaikkan harga beg tangannya sehingga 9 peratus, untuk menyertai pesaing-pesaingnya Louis Vuitton dan Chanel yang yakin bahawa jenama mereka akan masih menarik golongan pelanggan mewah, menurut satu laporan Jefferies pada Jumaat (19 Jun), sedang jenama-jenama mewah utama cuba untuk mengatasi kesan pandemik COVID-19.

Industri fesyen mewah, yang merupakan penyumbang besar ekonomi Itali dan Perancis, terjejas teruk oleh langkah-langkah sekatan yang memaksa gedung-gedung di merata dunia ditutup, dan mungkin akan menghadapi ketidaktentuan selama bertahun-tahun lamanya sedang pendapatan ramai orang merosot.

Penganalisis barangan mewah Jefferies, Flavio Cereda, membandingkan harga di pelbagai negara bagi dua beg tangan Gucci - Dionysus pada harga AS$2,290 dan Zumi, pada harga AS$2,980 - pada Mei dan Jun dan mendapati harga kedua-dua barangan itu dinaikkan di Itali, Britain dan China antara 5 dengan 9 peratus.

Seorang jurucakap bagi pemilik Gucci, Kering, enggan mengulas.

Penganalisis, Cereda dalam satu laporan berkata perubahan harga akan merapatkan jurang harga antara beg-beg tangan di Eropah, yang lebih rendah berbanding pasaran barangan mewah utama seperti di China di mana para pelanggan beratur panjang di gedung-gedung setelah larangan sekatan pergerakan ditarik balik.

Harga beg tangan Dionysus di China dalam mata wang euro adalah 28 peratus lebih tinggi dari di Itali selepas kenaikan harga. Jurang harga bagi Zumi pula adalah 23 peratus, menurut data Cereda.

"Kami tidak terkejut Gucci, sebuah lagi jenama dengan daya tarikan kuat, mengikuti jejak dengan mengambil kesempatan menaikkan harga untuk mengurangkan kesan kemerosotan pendapatan," kata Cereda.

Chanel pada Mei mengumumkan akan menaikkan harga bagi beg-beg tangan dan barangan kulit kecil di merata dunia seiring kos barang mentah lebih tinggi ekoran gangguan rantaian bekalan akibat krisis virus korona.

Semakan Reuters bagi harga online beg tangan jenama utama LVMH, Louis Vuitton, juga mendapati kenaikan harga di Eropah dan Amerika Syarikat.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Reuters/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan