Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gigi anak berlapis? Ketahui puncanya...

Masalah gigi berlapis sering dipandang ringan oleh masyarakat umum walhal perkara ini perlu dititikberatkan kerana jika tidak, kelak, ia boleh menyebabkan masalah karis gigi - kerosakan atau keadaan busuk pada gigi dan tulang - serta masalah gusi bengkak.

Anggaran Waktu Membaca:
Gigi anak berlapis? Ketahui puncanya...

Gambar hiasan rawatan di klinik gigi. (Gambar: AFP)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 10:44PM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 11:00PM

KUALA LUMPUR: Masalah gigi berlapis sering dipandang ringan oleh masyarakat umum walhal perkara ini perlu dititikberatkan kerana jika tidak, kelak, ia boleh menyebabkan masalah karis gigi - kerosakan atau keadaan busuk pada gigi dan tulang - serta masalah gusi bengkak.

Tahukah anda bahawa masalah gigi berlapis boleh disebabkan oleh gigi susu?

Astro AWANI menukil rencana terbitan Pa&Ma yang menjelaskan lebih lanjut bagaimana gigi berlapis boleh berlaku.

Namun sebelum itu, kita 'berkenalan' terlebih dahulu dengan gigi susu.

Walaupun gigi mula tumbuh ketika bayi berusia antara enam hingga 12 bulan, hakikatnya, ia mula terbentuk pada enam minggu fasa kehamilan.

Usia bagi pertumbuhan gigi susu adalah berbeza bagi setiap bayi, maka jika anak anda masih tidak mempunyai gigi seawal enam bulan, usah khuatir. Biar lambat, asal selamat.

APA ITU ENAMEL, DENTIN & PULPA?

Terdapat perbezaan yang agak ketara jika perbandingan dibuat antara struktur gigi susu dengan gigi kekal.

Secara umumnya, jumlah gigi susu yang bakal tumbuh apabila anak anda berusia satu tahun adalah sebanyak enam batang. Ketika anak anda berusia tiga tahun, seharusnya kesemua 20 batang gigi susu sudahpun tumbuh.

Jika dibuat perbandingan secara fizikal, gigi susu kelihatan lebih kecil dan putih manakala gigi kekal kelihatan lebih besar dan berwarna krim atau putih kekuningan, menurut Pa&Ma.

Gigi kekal juga mempunyai bilangan yang lebih banyak iaitu sebanyak 32 batang berbanding gigi susu yang hanya sebanyak 20 batang. Pada sudut anatomi, perbezaan antara kedua-duanya dapat dilihat pada ketebalan lapisan enamel (luar), dentin (tengah) dan pulpa (dalam).

Gigi susu mempunyai lapisan enamel dan dentin yang agak nipis berbanding dengan gigi kekal, membuatkan karis gigi lebih mudah untuk merebak ke lapisan pulpa.

Oleh sebab itulah, karis gigi kelihatan lebih teruk pada gigi kanak-kanak berbanding dengan orang dewasa. Lapisan pulpa gigi mengandungi banyak urat saraf dan salur darah yang memberikan nutrisi kepada gigi.

Gigi susu mempunyai lapisan pulpa yang agak besar berbanding dengan gigi kekal.
Ini meningkatkan risiko untuk mendapat kecederaan urat saraf dalam situasi trauma memandangkan ia juga mempunyai lapisan luar yang nipis.

PASTIKAN KETERATURAN GIGI KEKAL

Jika dilihat pada fungsi asas gigi susu, ia penting bagi membantu proses penghadaman yang baik buat anak-anak anda.

Fungsinya adalah sama dengan gigi kekal iaitu untuk menggigit, mengoyak dan melumatkan makanan.

Fungsi ini penting bagi memastikan nutrisi makanan dapat diserap masuk ke dalam tubuh badan.

Namun begitu, tidak ramai yang tahu bahawa ia juga memainkan peranan penting dalam memastikan keteraturan susunan gigi kekal.

Gigi susu kebiasaannya akan patah secara semula jadi dan digantikan dengan gigi kekal pada usia sekitar enam tahun, menurut Pa&Ma.

Sebelum usia tersebut, gigi yang patah akan digantikan dengan gigi belakang bagi mengisi kekosongan di hadapan.

Keadaan ini akan menyebabkan susunan asalnya menjadi tidak teratur, seterusnya mengakibatkan kekangan ruang di antaranya untuk gigi kekal tumbuh. Kesannya, gigi kekal akan tumbuh sama ada di hadapan atau di belakang gigi sedia ada menjadikan gigi anda kelihatan berlapis.

Gigi yang berlapis akan memberikan kesan negatif terhadap keyakinan diri anak-anak anda memandangkan keteraturan gigi penting dalam aspek penampilan diri.

Bayangkan jika anak anda diejek dan dipulaukan oleh rakan-rakannya hanya disebabkan oleh masalah gigi berlapis.

Ini akan merendahkan tahap keyakinan anak anda untuk menjalin hubungan sosial.
Selain itu, ia juga memudahkan proses pengumpulan plak yang boleh meningkatkan risiko untuk mendapat karis gigi dan penyakit gusi bengkak (gingivitis).

PERLUKAH GIGI SUSU DICABUT?

Kebanyakan gigi susu akan tercabut dengan sendirinya apabila tiba masa untuk gigi kekal tumbuh, menurut Pa&Ma.

Proses ini kebiasaannya berlaku pada sekitar usia enam tahun dan berlanjutan sehingga tumbuhnya gigi geraham kekal pada sekitar usia 13 tahun.

Jadi, adakah anda perlu membawa anak anda ke klinik untuk mencabut gigi?

Terdapat beberapa keadaan yang membolehkan anda untuk membawa anak anda berjumpa dengan doktor gigi:

1. Apabila anak anda mengalami karis gigi

Gigi rosak atau berlubang boleh menyebabkan kerosakan sistem saraf yang terletak pada lapisan pulpa gigi.

Gigi ini perlu dicabut untuk mengelakkan kesakitan yang boleh mengganggu selera makan dan tidur anak anda.

2. Apabila gigi kekal mula tumbuh di bahagian belakang atau hadapan gigi susu

Keadaan ini akan menyebabkan terbentuknya gigi berlapis yang boleh menyebabkan pelbagai jenis masalah berkaitan dengan kesihatan gigi dan gusi.

Gigi susu perlu dicabut untuk memastikan keteraturan gigi kekal, lantas mengelakkan risiko untuk mendapat karis gigi dan penyakit gusi.

3. Apabila gusi kelihatan merah, bengkak dan bernanah

Ini adalah merupakan komplikasi daripada penyakit karies gigi. Apabila karis gigi merebak ke lapisan pulpa, gusi akan bengkak dan bernanah. Ia perlu dicabut untuk mengelakkan kerosakan serius pada saraf gigi.

4. Apabila gigi kekal tidak tumbuh pada usia lapan tahun ke atas

Dalam keadaan ini, pertumbuhan gigi kekal terbantut kerana ia terletak secara langsung di bawah gigi susu.

Ia perlu dicabut untuk memastikan gigi kekal dapat tumbuh dengan sihat.

Oleh demikian, adalah penting untuk ibu bapa memastikan dan mengajar anak-anak cara untuk menjaga gigi mereka dengan lebih baik.

Tabiat ini boleh mengelakkan terjadinya masalah gigi berlapis yang boleh menyebabkan karis gigi dan penyakit gusi. 

Sumber : Agensi berita/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan