Images
  • matrix wallpaper
    (Gambar hiasan: Comfreak/Pixabay)

Gelang ala 'Matrix' mampu buat manusia jana tenaga elektrik

TBILISI: Dalam satu langkah yang pasti membuat penggemar filem The Matrix meremang bulu roma mereka, para saintis telah menghasilkan alat yang dapat menggunakan tubuh manusia untuk menggantikan bateri.

Seakan satu adegan dalam filem popular pada tahun 1999 itu di mana manusia dijadikan hamba robot, para penyelidik di Amerika Syarikat di Universiti Colorado Boulder telah mencipta alat mesra alam yang menggunakan haba badan dan mengubahnya menjadi tenaga.

Para pencinta teknologi dapat menyalurkan tenaga ke jam tangan atau alat pengesan kecergasan mereka sendiri dengan memakai cincin atau gelang yang berisi cip termoelektrik. Teknologi itu mengubah panas tubuh menjadi tenaga elektrik, menurut kajian yang diterbitkan dalam jurnal Science Advances.

Idea tersebut tidak asing bagi pencinta filem The Matrix yang dibintangi Keanu Reeves itu, di mana manusia terperangkap dalam dunia maya Matrix,sambil disambungkan ke mesin untuk memberi tenaga elektrik bagi robot yang telah mengambil alih dunia.

"(Peranti termoelektrik) dapat membekalkan kuasa berterusan kepada peranti yang boleh dipakai dan berpotensi menggantikan bateri pada masa depan," kata pengarang kanan kajian itu, Profesor Jianliang Xiao, dalam komennya menerusi emel.

"Kami berharap teknologi ini dapat sekurang-kurangnya menghuraikan sebahagian masalah pencemaran sampah elektronik," katanya, sambil menambah alat itu dapat dikitar semula sepenuhnya.

Peranti itu menghasilkan kira-kira satu volt tenaga bagi setiap satu sentimeter persegi kulit yang diselaputi alat tersebut.

Meskipun lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk meningkatkan jumlah tenaga yang dihasilkan dan membolehkan pengeluaran besar-besaran, alat itu, ia mungkin boleh dijual dalam lima hingga 10 tahun, kata Prof Xiao.

"Jangan beritahu robot," kata universiti tersebut dalam satu kenyataan, dalam nada berseloroh. "Kami tidak mahu mereka memanfaatkan keadaan ini."

- Reuters/TQ/tq

Top