Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gaya hidup tidak aktif boleh akibatkan penyakit kronik, mudaratkan kesihatan

"Badan sudah lemau, teringin pula nak bersenam pada hujung minggu ini". Itu antara ayat popular yang sering digunakan, namun tetap ada yang masih liat untuk melakukan aktiviti itu kerana mahu berehat selepas penat bekerja pada hujung minggu.

Anggaran Waktu Membaca:
Gaya hidup tidak aktif boleh akibatkan penyakit kronik, mudaratkan kesihatan

Gambar fail.

Diterbitkan : 18 Jul 2021 07:10PM Dikemas Kini : 18 Jul 2021 07:13PM

KUALA LUMPUR: "Badan sudah lemau, teringin pula nak bersenam pada hujung minggu ini".

Itu antara ayat popular yang sering digunakan, namun tetap ada yang masih liat untuk melakukan aktiviti itu kerana mahu berehat selepas penat bekerja pada hujung minggu.

Alasan seperti itu menyebabkan ramai terperangkap dengan gaya hidup sedentari atau tidak aktif terutama ketika pandemik COVID-19, menurut Harian Metro.

Pada masa lapang, lebih ramai lebih gemar menonton televisyen, menggunakan komputer atau bermain permainan video.

Di samping itu pula, kebanyakan pekerjaan cenderung membuat individu mempunyai gaya hidup tidak aktif seperti duduk di hadapan komputer untuk tempoh lama.

Gaya hidup tidak aktif boleh memberi kesan kepada badan seperti sistem imun tidak berfungsi dengan baik, peredaran darah lemah, tulang menjadi lemah, kehilangan kekuatan dan ketahanan otot serta mudah mendapat banyak keradangan, menurut Harian Metro.

Gaya hidup tidak aktif juga boleh menjadi penyebab banyak penyakit kronik dan meningkatkan risiko menghidap beberapa penyakit jika tidak melakukan senaman secara berkala.

Berikut antara penyakit kronik yang boleh dihidapi seseorang yang mempunyai gaya hidup tidak aktif, menurut Harian Metro.

1. Obesiti

Masalah obesiti berlaku apabila seseorang mengambil banyak kalori namun tidak banyak yang dibakar melalui pergerakan dan aktiviti fizikal.

Keseimbangan antara kalori yang diambil dan digunakan berbeza bagi setiap individu.

Faktor yang berkemungkinan mempengaruhi berat badan individu termasuk genetik, pengambilan makanan tinggi kalori dan gaya hidup tidak aktif.

Obesiti meningkatkan risiko menghidap kencing manis, penyakit jantung, angin ahmar, masalah lutut (arthritis) dan sebahagian barah.

Sekiranya individu yang mengalami obesiti dapat mengurangkan lima hingga 10 peratus berat badan, mereka boleh melewatkan atau mencegah penyakit berkenaan.

2. Penyakit jantung

Punca biasa penyakit jantung adalah disebabkan oleh arteri koronari yang membekalkan darah ke jantung sempit atau tersumbat.

Senaman berkala dapat memberi manfaat kesihatan secara keseluruhannya termasuk jantung.

Lakukan senaman intensiti sederhana sekurang-kurangnya 150 minit setiap minggu.

Selain itu, kawal tekanan darah, turunkan tahap kolesterol dan jangan menghisap rokok.

3. Tinggi kolesterol

Kolesterol ialah sejenis lemak dalam badan yang mempunyai kebaikan dan keburukan tersendiri.

Tubuh memerlukan sedikit kolesterol untuk menghasilkan hormon, vitamin D dan membantu mencernakan makanan.

Namun, jika terdapat kolesterol dalam darah, ia boleh membentuk plak yang melekat pada dinding arteri dan seterusnya menyebabkan penyakit arteri koronari.

Punca masalah kalori yang tinggi, selain kurang melakukan aktiviti fizikal adalah disebabkan tabiat pemakanan tidak sihat dan merokok.

4. Sindrom metabolik

Sindrom metabolik ialah kumpulan faktor risiko penyakit seperti jantung, kencing manis jenis dua dan darah tinggi.

Kebiasaannya, individu yang mengalami masalah sindrom metabolik ini mempunyai dua jenis penyakit terbabit.

Sindrom metabolik disebabkan oleh beberapa gabungan faktor seperti berat badan berlebihan, gaya hidup tidak aktif, kerintangan insulin, usia dan genetik.

Individu yang mempunyai sindrom metabolik juga sering mengalami masalah pembekuan darah dan keradangan berlebihan pada badan.

5. Meningkatkan tekanan

Individu yang mengalami tekanan akan berasa sedih, kurang berminat melakukan aktiviti harian, makan berlebihan, rasa terlalu penat, tidak boleh tidur dan putus harapan.

Gejala yang dialami itu akan berterusan dan mengganggu rutin harian.

Tekanan secara sedikit atau sederhana adalah baik kerana boleh menjadi faktor pendorong atau motivasi kepada individu untuk meningkatkan produktiviti.

Bagaimanapun, tekanan berlebihan untuk jangka masa panjang dan tidak dapat ditangani boleh menyebabkan kesan negatif seperti memudaratkan kesihatan serta risiko penyakit.

Senaman terbukti menghasilkan pelbagai hormon baik untuk kesihatan.

Antaranya, hormon endorphin dikaitkan dengan perasaan gembira.

6. Angin ahmar

Angin ahmar berlaku disebabkan oleh penyempitan salur darah ke bahagian otak dan salur darah pecah.

Bagi individu yang tidak mengamalkan senaman, darah hanya berjalan pada salur darah kecil dan bukan salur darah besar untuk mendapatkan fungsi menyeluruh pada badan.

Senaman dapat melancarkan peredaran darah ke seluruh badan.

Sekiranya anda bukan individu aktif, boleh memulakan senaman secara perlahan-lahan dan meningkatkannya dengan secara berperingkat.

Adalah lebih baik dapat melakukan senaman secara kerap, namun jangan lakukan senaman secara berlebihan sehingga mengatasi kemampuan diri.

Sumber : Agensi berita/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan