Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Gadis lulusan diploma tebar roti canai demi sara hidup keluarga

Demi membantu keluarga, seorang gadis lulusan diploma terpaksa melupakan hasrat untuk makan gaji dan sebaliknya menggantikan tempat bapa beliau sebagai penebar roti canai di kedai makan milik keluarganya.

Anggaran Waktu Membaca:
Gadis lulusan diploma tebar roti canai demi sara hidup keluarga

Nur Amni ‘Aqilah, 23 tahun, cukup berkemahiran melakukan tugas yang kebiasaannya dimonopoli kaum Adam - menebar prata! (Gambar: BERNAMA)

Diterbitkan : 13 Nov 2020 02:45PM Dikemas Kini : 13 Nov 2020 02:56PM

POKOK SENA: Demi membantu keluarga, seorang gadis lulusan diploma terpaksa melupakan hasrat untuk makan gaji dan sebaliknya menggantikan tempat bapa beliau sebagai penebar roti canai di kedai makan milik keluarganya.

Tanpa rasa kekok dan dengan gaya bersahaja, Nur Amni ‘Aqilah Ruzaini, 23 tahun, cukup berkemahiran melakukan tugas itu yang kebiasaannya dimonopoli kaum Adam, hingga mencuri tumpuan pengunjung yang datang menikmati sajian di kedainya.

“Saya mula jadi penebar roti canai pada 2015 selepas ayah saya terlantar sakit selama sebulan akibat terjatuh longkang. Sebagai anak sulung daripada tiga beradik saya menggalas tanggungjawab untuk bantu ayah buat roti canai sebab tidak ada pengganti.

“Saya cuba sedaya upaya menebar roti canai dan saya sudah tengok cara ayah menebar roti sejak kecil lagi di kedai ayah yang sudah beroperasi hampir 30 tahun lalu,” cerita Amni.

(Gambar-gambar: BERNAMA)

Beliau akur, kerjaya sebagai penebar roti canai bukanlah pilihan utama untuk meraih pendapatan selepas menamatkan pengajian Diploma Vokasional dalam jurusan Pengurusan Perniagaan dari Kolej Vokasional Sungai Petani 2, Sungai Petani.

Namun, kegagalan dalam enam temu duga kerja memberinya tidak banyak pilihan dan beliau membuat keputusan menjadi penebar roti canai di kedai bapanya itu demi membantu keluarga.

Semangat Amni bagaimanapun tetap kental. Beliau bertekad untuk meningkatkan kemahirannya lalu menghadiri kursus membuat roti canai dan dapat mempelajari hampir 20 menu roti canai.

“Saya menebar roti dengan cara saya malah belajar dan terus belajar serta menambah baik dari semasa ke semasa untuk memberikan kepuasan kepada pelanggan hinggalah ke saat ini saya sudah tidak kekok untuk berbuat demikian dan pelanggan pun puas hati,” katanya.

Selain itu, Amni berkata beliau turut menjual roti canai dan murtabak sejuk beku sejak Jun lalu untuk mempelbagaikan pilihan kepada pelanggannya sekali gus dapat meningkatkan pendapatan.

“Saya juga bercadang membeli mesin bagi membantu saya menghasilkan roti canai dan murtabak sejuk beku ini dengan lebih cepat dan berharap pada masa akan datang saya dapat pasarkan produk saya secara lebih meluas dan diletakkan di pasar raya besar,” katanya. 

Sumber : Bernama/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan