Images
  • funan
    Tayangan 'Kinetic Wall' di Funan. (Gambar: Mediacorp/Gaya Chandramohan)

Funan dibuka semula 28 Jun dengan kedai, kemudahan baru

SINGAPURA: Setelah menjalani kerja pembangunan semula selama tiga tahun, pusat beli-belah Funan dijangka membuka semula pintunya kepada para pengunjung pada 28 Jun, menurut syarikat pemaju CapitaLand dalam satu kenyataan media pada Isnin (3 Jun).

Lebih 180 jenama, termasuk yang baru di pasaran serta kedai berkonsep baru dan kedai cawangan utama akan ditempatkan di Funan.

Antara penghuni baru di pusat beli-belah itu adalah syarikat teknologi Dyson. Kedai tersendiri Dyson yang pertama di Singapura akan menampilkan alat pengering rambut Supersonic dan alat penata rambut Airwrap.


(Gambar: CapitaLand)

Pengeluar basikal lipat Brompton Junction akan membuka cawangan Asia Tenggara pertamanya di Funan sementara pembuat dron DJI akan membuka kedainya yang pertama di Singapura.

Funan akan menempatkan pawagam tujuh layar Golden Village dengan menawarkan tempat duduk Deluxe Plus dan Gold Class Express yang baru serta wadah Realiti Maya (VR).

Kumpulan teater tempatan Wild Rice juga akan menampilkan persembahan di panggung teater dan studionya yang serba canggih di Funan.

Pusat kecergasan TFX juga bakal membuka cawangannya yang menyediakan kolam renang dan dek terbuka buat julung-julung kalinya di Singapura.


Gambaran kolam renang di pusat kecergasan TFX di Funan. (Gambar: CapitaLand)

Para pengunjung masih boleh melanggani jenama-jemana yang terdapat di Funan sebelum ini, termasuk cawangan utama Lenovo dan rangkaian penjual perabot Courts.

Kedai-kedai fotografi dan kamera Alan Photo dan T K FOTO, dan tempat-tempat makanan seperti Ya Kun Kaya Toast, Qi Ji dan Old Chang Kee juga akan dibuka semula.

Sementara itu, jenama-jenama yang tidak asing lagi akan dipertingkat dengan kelengkapan digital. Para pelanggan pasar raya FairPrice Finest boleh memilih barangan dan membayar menggunakan telefon bimbit mereka, sementara para pelanggan pusat makanan berkonsep KOPItech oleh rangkaian Kopitiam boleh menggunakan kios layan diri atau aplikasi Facebook Messenger untuk memesan makanan.

Sebuah studio teknologi dan media, kemudahan mendaki tembok dari B2 hingga aras 1, dan ruang untuk mengadakan bengkel dan pertunjukan juga akan disediakan.

Sebuah Kebun Bandar di Funan menyediakan ruang untuk pekebun dan cef bekerjasama bagi memilih, menanam dan menuai bahan makanan segar untuk dibekalkan ke restoran-restoran di Funan.

Laluan berbasikal akan diadakan dalam pusat beli-belah itu - iaitu yang pertama di sebuah bangunan komersil di Singapura.

"Sebagai interpretasi kegiatan runcit yang dibayangkan semula oleh CapitaLand, kami berbesar hati bahawa model runcit didorong keghairahan itu menerima sokongan padu daripada rakan-rakan runcit kami sejak sekian lama dan juga jenama-jenama yang baru membuka cawangan di sesebuah pusat beli-belah," kata Encik Chris Chong, pengarah pengurusan runcit CapitaLand Singapore.

"Apa yang lebih memberangsangkan adalah ramai rakan-rakan kami menyertai CapitaLand dalam proses inovasi mengikut bidang masing-masing untuk menawarkan sesuatu yang baru di Funan. Pembukaan Funan akan melancarkan semula pusat beli-belah itu sebagai ruang sosial di mana orang ramai meluangkan masa untuk mengalami, meneroka dan membeli-belah." 

- CNA/ZM/zm

Top