Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Floral Fantasy bakal dibuka di Taman di Pesisiran pada 14 April

Dijadual dibuka secara rasmi pada 14 April ini, Floral Fantasy akan menjadi taman berhawa dingin yang ketiga di Taman di Pesisiran. Tiket masuk dijual pada harga promosi hingga 13 Mei.

Anggaran Waktu Membaca:
Floral Fantasy bakal dibuka di Taman di Pesisiran pada 14 April

(Gambar: Alif Amsyar/Mediacorp)

Diterbitkan : 29 Mar 2019 09:44AM Dikemas Kini : 29 Mar 2019 09:48AM

SINGAPURA: Dijadual dibuka secara rasmi pada 14 April ini, Floral Fantasy akan menjadi taman berhawa dingin yang ketiga di Taman di Pesisiran.

Floral Fantasy yang seluas 1,500 meter persegi terletak bersebelahan dengan stesen MRT Bayfront dan daya tarikan ini lebih kecil berbanding dua lagi taman yang berhawa dingin - iaitu Flower Dome dan Cloud Forest. Ia bertujuan untuk memberikan pengalaman terbaik kepada para pengunjung yang kesuntukan masa.

Daya tarikan terbaru itu terbahagi kepada empat zon - Dance, Float, Waltz dan Drift. Setiap zon memaparkan suasana semula jadi yang berbeza dan berdasarkan ilham-ilham yang pelbagai seperti Hanging Gardens of Babylon dan cerita-cerita dongeng, menurut penolong pengarah kanan operasi Taman di Pesisiran, Cik Melissa Tan.

Terdapat juga ruang yang akan menempatkan sekitar 30 ekor katak.

(Gambar: Alif Amsyar/Mediacorp)

Semasa bercakap dengan pihak media pada Khamis (28 Mac) di sesi balik tabir menjelang pelancaran daya tarikan itu, Cik Tan turut berkongsi bahawa terdapat pelbagai cabaran untuk mengusahakan taman itu.

"Kami perlu bekerja dalam ruang yang terhad, serta mengendalikan banyak tanaman yang digantung dari kawasan tinggi," kata beliau.

Kebanyakan bunga yang akan dipamerkan di Floral Fantasy tidak pernah dibawa masuk ke Singapura sebelum ini, dan akan dipamerkan mengikut musim masing-masing.

"(Kami ingin) menyatukan bunga-bunga paling indah tanpa mengira dari mana tempat asalnya - sama ada Mediterranean atau hutan belantara Amerika Selatan," ujar beliau.

Di akhir perjalanan dalam taman itu, pengunjung boleh menikmati daya tarikan 4D berjudul 'Flight of the Dragonfly'. Pengunjung akan merasakan kerusi yang mereka duduk bergerak-gerak dan renjisan air semasa menonton klip video 3D yang menunjukkan dunia dari pandangan mata seekor pepatung yang sedang terbang menyusuri Taman di Pesisiran.

Terdapat juga Sudut Artis, di mana artis tempatan Kristine Hakim akan mempamerkan karyanya yang direka khas untuk pameran tersebut.

Dari 14 April hingga 13 Mei, tiket Floral Fantasy dijual pada harga promosi - S$9 bagi golongan dewasa dan S$5 bagi warga emas berusia 60 tahun ke atas dan kanak-kanak berusia antara tiga hingga 12 tahun.

Harga biasa bagi kategori umur masing-masing bermula 14 Mei adalah S$12 dan S$8.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan