Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

FFFA perkenal app Share Makan! bagi golongan memerlukan nikmati makanan tidak terjual

Bayangkan anda dapat menggunakan aplikasi Foodpanda untuk memesan makanan tanpa melakukan sebarang pembayaran.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Bayangkan anda dapat menggunakan aplikasi Foodpanda untuk memesan makanan tanpa melakukan sebarang pembayaran.

Sukar untuk percaya tetapi hakikatnya, badan amal Free Food For All (FFFA) memperkenalkan satu aplikasi baru dipanggil Share Makan! khusus bagi para penerima bantuannya untuk menikmati 'kemewahan' itu.

Sama seperti aplikasi khidmat penghantaran makanan yang sering digunakan orang ramai, pengguna aplikasi Share Makan! akan dapat memilih makanan-makanan yang tidak terjual oleh kedai-kedai berdekatan mereka. Namun, para pengguna perlu mengambil sendiri makanan yang 'dipesan'.

Sesuai dengan nama aplikasinya, FFFA bekerjasama dengan sebuah syarikat Australia untuk menyediakan wadah tersebut demi memastikan golongan memerlukan tidak akan kelaparan dan pada masa yang sama, mengatasi masalah pembaziran yang kian meruncing di Singapura.

APP SHARE MAKAN! MESRA ALAM

Tahun lalu sahaja, lebih 760,000 tan sisa makanan dijana di Singapura. Ini bermakna, lebih 2 juta kilogram makanan terbazir di negara ini setiap hari. Hanya 17 peratus sisa makanan dapat dikitar semula.

Satu cara menangani masalah ini adalah dengan mengagihkan semula makanan tidak terjual atau berlebihan agar tidak berlaku pembaziran.

Inilah dilakukan FFFA yang mengorak langkah dalam usaha memelihara alam sekitar dengan caranya tersendiri.

"Mereka yang menjual, mereka tidak ada masa untuk menghantar makanan. Mereka ingin memberi tumpuan kepada perniagaan masing-masing dan pada setiap masa, akan ada baki makanan," kata Pengasas Free Food For All, Encik Nizar Mohd Shariff.

Maka itu, FFFA memainkan peranannya sebagai orang tengah yang akan menghubungkan para pengguna app kepada kedai-kedai yang tidak dapat habis menjual semua stok makanannya.

JINJJA CHICKEN KETEPIKAN 250 SET NASI, AYAM SEBULAN

App Share Makan! belum lagi secara rasmi dilancarkan. Meskipun demikian, sudah ada dua penyedia makanan yang mendaftar bagi usaha murni ini, iaitu Food For Change SG dan Jinjja Chicken - restoran popular yang menawarkan menu halal Korea.

(Gambar: Facebook)

Semasa dihubungi BERITAmediacorp, pihak Jinjja Chicken melahirkan hasrat untuk mengetepikan 50 set nasi dan ayam di setiap cawangannya setiap bulan.

Jinjja Chicken mempunyai lima cawangan di merata Singapura. Ini bermakna, setiap bulan, akan ada 250 set makanan Jinjja Chicken yang boleh dinikmati mereka yang kurang bernasib baik!

FFFA dan Jinjja Chicken bagaimanapun belum menetapkan bila kerjasama mereka bakal dilaksanakan.

HARAP LEBIH RAMAI PENYEDIA MAKANAN TAMPIL

"Dulu (usaha seperti ini) tidak dapat dijalankan secara berkesan kerana kita perlukan sukarelawan hantar, angkat. Ada yang tidak dapat melakukan itu. Kini tidak perlu ini semua. Yang tampil adalah orang yang susah sendiri, langsung mereka ke penyedia makanan," jelas Encik Nizar lagi.

Beliau berharap 2,000 makanan dapat diagihkan setiap bulan menerusi aplikasi tersebut, menjelang akhir tahun ini.

Oleh itu, Encik Nizar mengalu-alukan lebih ramai penyedia makanan untuk tampil dan menyertai inisiatif ini supaya ada kepelbagaian menu makanan tersedia menerusi aplikasi Share Makan!

Prosesnya tidak hanya mudah, aplikasi diperkenalkan FFFA juga akan mengemas kini rekod pengagihan dan pengambilan makanan.

USAHA DIDIK PENERIMA BANTUAN GUNA APP SUDAH DIJALANKAN

Dalam usaha mendidik para penerima bantuannya menggunakan aplikasi Share Makan!, FFFA bertemu langsung dengan mereka semasa mengadakan agihan makanan di satu acara yang diadakan di Expo sejak Khamis (12 Sep).

Pada hari pertama percubaan sahaja, lebih 30 penerima bantuan sudah memuat turun aplikasi tersebut. Setiap penerima bantuan FFFA dibenarkan akses kepada khidmat app Share Makan! dengan menggunakan kod-kod khas.

Jika semuanya berjalan lancar, FFFA ingin memperluaskan aplikasi itu kepada orang ramai di mana mereka akan dapat menikmati diskaun-diskaun menarik - sekali gus menjadi platform bagi para peniaga untuk memasarkan perniagaan mereka.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan