Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Esplanade sasar kumpul lagi S$9 juta bagi Waterfront Theatre

Esplanade melancarkan satu siri usaha pengumpulan dana baru untuk mengumpul baki S$9 juta yang diperlukan bagi panggung pesisirannya yang bernilai S$30 juta.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 18 Jun 2019 05:45PM Dikemas Kini : 19 Jun 2019 12:04AM

SINGAPURA: Esplanade melancarkan satu siri usaha pengumpulan dana baru untuk mengumpul baki S$9 juta yang diperlukan bagi panggung pesisirannya yang bernilai S$30 juta.

Projek yang pertama kali diumumkan pada April 2017, akan diberi nama Singtel Waterfront Theatre di Esplanade selama 15 tahun dari pembukaannya pada 2021 bagi mengiktiraf derma S$10 juta daripada syarikat telko itu.

Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) juga meletakkan komitmen S$10 juta untuk memulakan usaha pengumpulan dana tersebut.

Lagi S$1 juta berjaya dikumpul menerusi beberapa acara termasuk majlis makan malam Gala Esplanade pada 2017.

Kerja-kerja membina panggung yang boleh memuatkan 550 tempat duduk itu bermula pada Selasa (18 Jun). Sempena upacara pecah tanah, Esplanade turut melancarkan siri daya usaha menggembleng sokongan pelbagai pihak termasuk anggota awam, para dermawan dan yayasan.

Satu kempen awam Ground Up pula membolehkan orang ramai menyertai permainan realiti maya di mana mereka boleh "menggali" 5,000 tapak tanah. Setiap tapak melambangkan satu meter persegi tanah bagi panggung itu dan pemain boleh memilih untuk menderma S$10 bagi setiap bidang tanah.

Kempen itu berharap dapat mengumpulkan S$100,000, termasuk tokokan sedolar bagi setiap dollar yang diderma oleh Bowen Enterprises sehingga S$50,000.

Pengerusi Esplanade Lee Tzu Yang berkata tujuan daya usaha tersebut adalah "untuk kurang bergantung kepada sokongan pemerintah bagi keperluan dana yang berulang".

"Ini satu cabaran kerana ramai yang menganggap seni sebagai kurang utama berbanding tujuan amal lain seperti kanak-kanak dan belia, orang tua, pendidikan dan penjagaan kesihatan," ulas Encik Lee.

Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu berkata panggung bersaiz sederhana itu diadakan hasil maklum balas artis dan kumpulan seni tempatan yang mendapati peralihan dari sebuah panggung kecil sebesar 200 hingga 300 tempat duduk kepada panggung 1,000 tempat duduk sebagai "terlalu mencabar".

"Dengan 550 tempat duduk dan ciri modular yang boleh diubah untuk memenuhi pelbagai keperluan, panggung pesisiran itu memenuhi keperluan kumpulan-kumpulan sedemikian tanpa berjauhan dari Esplanade," tambah Cik Fu.

Sumber : CNA/TQ/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan