Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ESCAPE Cameron Highlands dijangka rancakkan semula industri pelancongan M'sia

Destinasi baru pelancongan bertaraf dunia di Malaysia, iaitu ESCAPE Cameron Highlands, akan menjadi permulaan kepada kebangkitan semula industri pelancongan domestik yang terjejas teruk selepas negara itu dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

Anggaran Waktu Membaca:
ESCAPE Cameron Highlands dijangka rancakkan semula industri pelancongan M'sia

(Gambar: Facebook/Nancy Shukri)

Diterbitkan : 03 Aug 2021 09:50AM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 10:02AM

IPOH: Destinasi baru pelancongan bertaraf dunia di Malaysia, iaitu ESCAPE Cameron Highlands, akan menjadi permulaan kepada kebangkitan semula industri pelancongan domestik yang terjejas teruk selepas negara itu dilanda pandemik COVID-19 sejak tahun lepas.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia Nancy Shukri berkata projek unik itu memperkenal jenama bertaraf dunia yang seratus peratus dari Malaysia dan diilhamkan oleh syarikat yang ditubuhkan di negara itu iaitu Sim Leisure Group, yang membina beberapa taman terbaik di seluruh dunia.

“ESCAPE Cameron Highlands bukan hanya akan mengetengahkan tarikan istimewa mereka malah saya dimaklumkan bahawa ia turut menampilkan permainan dan seni bina bertemakan Eropah, bersinergi dengan warisan Eropah di Cameron Highlands serta cuacanya yang lebih sejuk dan sederhana,” menurutnya dalam kenyataan pada Isnin (2 Ogos).

Terdahulu, beliau menyaksikan majlis menandatangani perjanjian secara maya antara Pengasas Sim Leisure Group dan Taman Tema ESCAPE iaitu Sim Choo Kheng dengan Pengarah merangkap pemegang saham Hektar Muda Sdn Bhd (pemilik tapak) Jimmy Doh.

Katanya, berdasarkan kejayaan yang dicapai oleh taman ESCAPE sedia ada di Pulau Pinang dan Petaling Jaya, Selangor, kementerian itu yakin ESCAPE Cameron Highlands akan terus menerima pujian serta sokongan daripada pelancong.

“Saya dimaklumkan bahawa jenama ESCAPE baru-baru ini telah membuat penampilan sulungnya di peringkat antarabangsa di Sri Lanka dan akan diperluas ke seluruh rantau ASEAN serta China. ESCAPE akan menjadi duta jenama de facto bagi pelancongan Malaysia di luar negara seperti Disney Park bagi USA atau Legoland bagi Denmark.

“Pelancong antarabangsa tentu sahaja ingin melihat tempat kelahiran jenama ESCAPE iaitu Malaysia,” katanya.

Cik Nancy berkata pembukaan destinasi seperti Escape Cameron Highlands akan turut menyokong secara langsung inisiatif kementerian itu antaranya pelan pemulihan pelancongan di bawah pakej rangsangan ekonomi yang mempunyai tiga teras utama iaitu mengembalikan keyakinan untuk melancong, menyemarakkan pelancongan domestik dan memaksimumkan sumber sedia ada.

Beliau berkata model perniagaan ESCAPE adalah selaras dengan agenda kerajaan untuk merangsang ekopelancongan Malaysia yang akan berperanan sebagai pemangkin dari segi pelaburan pelancongan baru sambil menanam minat serta menyuntik semangat baharu terhadap sektor ekopelancongan.

“Saya meramalkan pertumbuhan eksponen dalam permintaan kepada pelancongan berasaskan alam semula jadi di seluruh dunia.

“Malaysia akan lebih menonjol berbanding negara jiran dengan mempromosi pelancongan yang bersih, sihat dan berorientasikan keluarga. Kita akan memanfaatkan keindahan alam semula jadi yang banyak terdapat di sekeliling kita bagi tujuan ini,” katanya.

Sumber : Bernama/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan