Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Wira Duo' papar persahabatan tanpa batas kaum dan budaya

Puan Isiah Majid sinonim dengan usaha melestarikan dan memakmurkan bahasa ibunda menerusi bidang persilatan di Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Wira Duo' papar persahabatan tanpa batas kaum dan budaya

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 23 Oct 2021 09:55AM Dikemas Kini : 23 Oct 2021 10:01AM

BERITAmediacorp: Puan Isiah Majid sinonim dengan usaha melestarikan dan memakmurkan bahasa ibunda menerusi bidang persilatan di Singapura.

Novel remaja, Wira Duo ini dihasilkan beliau atas tujuan yang sama, khusus untuk pembaca belasan tahun.

Novel ini mengisahkan kehidupan dua watak utama, Nik dan Den, sejak mereka menuntut dalam Darjah 5 hingga berusia 15 tahun.

Peristiwa Nik menyelamatkan Den daripada diganggu sekumpulan pelajar nakal membuka cerita persahabatan tanpa mengenal batas ras dan budaya.

Nik, anak Melayu yang aktif dalam seni persilatan digandingkan dengan Den yang berdarah kacukan, berbapa asal Nigeria dan beribu warga Singapura berketurunan Serani.

Nik telah memperkenalkan dunia persilatan kepada Den yang seterusnya mendalami seni ini secara serius.

Pengalaman bersama mereka menghidangkan pembaca dengan pelbagai pengetahuan berkaitan seni persilatan dan kehidupan remaja yang sedang membina jati diri.

Novel ini memiliki beberapa kekuatan yang menyerlah. Antaranya, sebagai dokumentasi ringkas tentang proses pembelajaran persilatan, pencerahan terhadap salah tafsiran seni ini, pengenalan artefak persilatan serta sejarah ringkas perkembangannya di sini.

Karya ini turut menjelaskan seni persilatan Melayu yang bersifat sejagat.

Ia membantu umum untuk mengenali dan memahami budaya kita bagi memperkukuhkan kesatuan dalam kalangan masyarakat majmuk khususnya di Singapura.

Gerakan bagi menyebarluaskan seni persilatan turut dipaparkan bagi menunjukkan kecekalan dan kesungguhan para penggiatnya dalam memasyarakatkan seni ini.

Selain kewujudan lebih daripada 40 perguruan silat di sini, sukan silat juga mula dipertandingkan di peringkat antarabangsa.

Pembaca turut didedahkan bagaimana ilmu persilatan antara lain, memupuk sikap rajin berusaha dan fokus untuk mengecapi kejayaan, saling hormat-menghormati, merendah diri, berdisiplin tinggi, berkeyakinan diri dan memiliki sifat ihsan.

Usaha meningkatkan pengetahuan bahasa ketara di dalam novel ini.

Susunan alur cerita dilakukan secara teliti dan kreatif sekali dengan pemecahan kepada 13 bab bertajuk dalam bentuk ungkapan tradisional seperti peribahasa.

Setiap ungkapan ini dihuraikan maksudnya di awal bab dan dikembangkan penerangannya berdasarkan cerita yang terkandung di dalamnya.

Ringkasnya, Wira Duo menawarkan pengalaman membaca yang memperkayakan pengetahuan pembaca tentang falsafah seni persilatan, meningkatkan ilmu kebahasaan, memperkukuhkan peribadi serta memekarkan cinta terhadap budaya bangsa dan kebersamaan dalam kehidupan berbilang kaum di Singapura.

Tajuk: Wira Duo
Penulis: Isiah Majid
Penerbit: Singapura: Isiah Majid, 2020
Nombor Panggilan: Y SING ISI
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan