Images
  • pustake

ePustaka: Tika Aksara Menari bawa pembaca selami masalah membelenggu remaja, pelajar

BERITAmediacorp: Tika Aksara Menari karya Djohan Abdul Rahman ini membawa kita menyelami gelora jiwa pelbagai insan di sekeliling kita.

Penulis menganyam 14 cerpen dari sudut pandangan pendidik, remaja, pelajar, suami isteri, ketua keluarga, anak, masyarakat umum, pemimpin, ahli sukan, mangsa keadaan bahkan penjahat.

Himpunan cerpen Penerima Anugerah Presiden Untuk Guru (2017) ini memiliki beberapa kekuatan yang mampu mengumpan pembaca remaja berdasarkan ‘hidangan’ tema, persoalan, bahasa dan gaya pengolahan yang sederhana namun memberi kesan besar kepada pengalaman membaca.

Tema yang merupakan subjek dasar sesuatu cerita dipilih cermat agar menghadirkan kepelbagaian isu di dalam buku ini.

Persoalan-persoalan yang terikat dengan setiap karya membuka ruang perbincangan lanjut seusai pembacaan.

Lima cerpen yang ketara akrab dengan pelajar dan remaja ialah Salah Siapa, Syafiqah, Tika Aksara Menari, Topang dan Dompet.

Salah Siapa mengangkat tema maruah dan kemewahan. Pemenang Hadiah Sastera (Remaja), Anugerah Persuratan 2001 ini mengajukan persoalan tentang remaja yang sanggup ‘menjual’ maruah untuk membebaskan diri daripada lingkaran kemiskinan.

Peranan bapa curang juga disorot sebagai penyumbang kepada keruntuhan institusi masyarakat dan keluarga.

Syafiqah pula menjenguk isu perguruan. Teguran ditujukan kepada para pendidik yang kurang bijak menangani perilaku pelajar. ‘Aku’ menurut emosi ketika bertindak negatif terhadap muridnya, Syafiqah, yang hanya mahukan perhatian daripadanya.

Tika Aksaran Menari menjadi kesinambungan kisah Syafiqah dengan menyentuh isu pendidikan. Syuaib menerima dua bentuk pendidikan yang bertentangan pendekatannya.

Akhirnya, bimbingan yang sempurna telah menjadikan Syuaib pelajar terbaik dari Oxford yang memenangi Anugerah Fulbright.

Topang pula kritis terhadap tema kemandirian dan kemajuan dalam masyarakat. Menerusi watak utama, Zaki, penulis mengutarakan persoalan tentang individu dan masyarakat yang selesa bergantung kepada bantuan untuk kelangsungan hidup.

Namun, sampai bilakah sikap kebergantungan ini akan diamalkan?

Zaki berjaya membuktikan diri dan kaumnya mampu keluar daripada lingkaran hidup bertopang ini.

Dompet mengajak pembaca bijak membuat penilaian sebelum bertindak. Desakan hidup tidak semestinya menjerumuskan insan ke dalam lembah aib dan merugikan. Dalam perlumbaan untuk cepat menyelesaikan masalah yang membelenggu, pembaca dianjurkan supaya bersikap jujur dan tidak mudah ditipu.

Kelima-lima inti cerpen ini akrab dengan jiwa pelajar dan remaja.

Penulis berjaya mewakili mereka dalam mengutarakan sebahagian daripada cabaran dan keresahan sedia ada.

Gaya penulisan sudut orang pertama dalam beberapa cerpennya menunjukkan sikap empati penulis terhadap khalayak yang ingin diwakilinya.

Karya-karya ini boleh dianggap sebagai jambatan untuk pembaca remaja menikmati 9 lagi cerpen dalam antologi ini yang mengangkat pelbagai tema dan persoalan lebih luas.

Sila lungsuri laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini.

Tika Aksara Menari: Antologi Cerpen
Penulis: Djohan Abdul Rahman
Penerbit: Singapore: Mini Monsters Limited, 2017.
Nombor Panggilan: YSING Malay DJO
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan NLB 

- BERITAmediacorp/na

Top