Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Saya Suka Caramu' didik ibu bapa, anak mereka selami kehidupan kanak-kanak berkeperluan khas

Kehidupan kanak-kanak berkeperluan khas jarang sekali dibincangkan dalam sastera Melayu kanak-kanak.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Saya Suka Caramu' didik ibu bapa, anak mereka selami kehidupan kanak-kanak berkeperluan khas

Muka depan buku 'Saya Suka Caramu', (Gambar: ePustaka)

Diterbitkan : 25 Apr 2021 08:16AM Dikemas Kini : 25 Apr 2021 03:07PM

BERITAmediacorp: Kehidupan kanak-kanak berkeperluan khas jarang sekali dibincangkan dalam sastera Melayu kanak-kanak.

Maka itu, paparan seorang kanak-kanak cacat penglihatan di kulit buku ini pasti menarik perhatian sesiapa yang menatapnya.

Terdapat banyak manfaat yang boleh diraih daripada buku yang telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Melayu daripada Bahasa Indonesia ini.

Cerita ini mengajar kanak-kanak tentang fisiologi manusia. Maklumat sains seperti deria bau, sentuhan, pendengaran dan rasa dapat dicedok menerusi penceritaan yang menarik. Contohnya, Rano yang buta menggunakan deria baunya dengan menghidu bau sate untuk mencari jalan ke rumah sahabatnya, Ali.

Wuri, teman Rano yang mempunyai deria penglihatan sempurna bersungguh-sungguh ingin membantunya.

Namun, Rano menolak secara bijaksana dengan menunjukkan kepada Wuri cara dia mencari jalan ke rumah Ali dengan menggunakan derianya yang lain.

Hubungan antara mereka jelas membuktikan persahabatan boleh terjalin baik tanpa dibatasi perbezaan fizikal mahupun cabaran hidup seseorang insan.

Ilustrasi di dalam buku ini banyak membantu mengolah jalan cerita di samping memperkenalkan perkataan-perkataan baru kepada kanak-kanak.

Menerusi ilustrasinya, kanak-kanak boleh mempelajari perkataan-perkataan seperti burung yang ‘berkicau’ dan bau ikan yang ‘hanyir’.

Para ibu bapa boleh juga mengadakan aktiviti perbincangan tentang banyak aspek pendidikan moral berkaitan watak-watak di dalam buku ini bersama anak-anak mereka.

Contohnya, perihal sifat berdikari, bersyukur, bersabar dan perhubungan sesama insan yang memiliki pelbagai cabaran fizikal yang tersendiri.

Ternyata para pembaca boleh menimba banyak pengalaman dan ilmu daripada golongan kurang upaya sekiranya kita bersikap terbuka.

Hanya dengan bersikap sebegini, barulah kita dapat membangunkan sifat empati dan saling hormat-menghormati sesama manusia.

Sila lungsuri laman katalog NLB https://catalogue.nlb.gov.sg untuk maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk Buku: Saya Suka Caramu
Penulis: Audelia Agustine
Penterjemah: Nur-El-Hudaa Jaffar
Nombor Panggilan: JP AGU
Penerbit: Singapura: Pustaka Nasional, 2017
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran (Pustakawan)  

Sumber : BERITA Mediacorp/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan