Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Sara Hendak ke Mana?' galak ibu bapa prihatinkan perkembangan sosio-emosi kanak-kanak

Perkembangan sosio-emosi kanak-kanak merupakan perkara yang sangat penting dan seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat, terutama sekali para ibu bapa dan pendidik di sekolah.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Sara Hendak ke Mana?' galak ibu bapa prihatinkan perkembangan sosio-emosi kanak-kanak

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 18 Jul 2021 02:08PM Dikemas Kini : 18 Jul 2021 02:09PM

BERITAmediacorp: Perkembangan sosio-emosi kanak-kanak merupakan perkara yang sangat penting dan seharusnya diberikan perhatian yang sewajarnya oleh masyarakat, terutama sekali para ibu bapa dan pendidik di sekolah.

Perkembangan sosio-emosi yang baik dan sihat akan membolehkan kanak-kanak memahami, lantas mengurus dengan baik emosi mereka sendiri. Dengan itu, mereka akan dapat membina kemahiran sosial serta keyakinan diri untuk menghadapi dan mengatasi segala cabaran yang bakal dihadapi.

Memahami sosio-emosi kanak-kanak juga akan dapat membantu golongan dewasa menjadi lebih peka terhadap cara mereka berkomunikasi dan berinteraksi dengan kanak-kanak.

Cara komunikasi berdasarkan kasih sayang, yang menghormati kanak-kanak sebagai individu yang mempunyai pemikiran serta perasaan mereka sendiri, besar kemungkinan akan melahirkan generasi dewasa yang bertanggungjawab, yang saling menghormati orang lain serta bersifat penyayang.

Mungkin inilah yang ingin disampaikan oleh para penulis dalam Sara Hendak ke Mana?, sebuah buku bergambar yang diterbitkan Ungu Pen.

Ia menceritakan tentang kanak-kanak kecil bernama Sara yang hanya tahu mengemas dan menyimpan semula mainan selepas bermain sewaktu di sekolah, namun enggan melakukan perkara yang sama ketika di rumah. Ini membuat ibunya marah, lantas meninggikan suara menyuruh Sara mengemas mainannya. Oleh kerana dimarahi ibunya, Sara membuat keputusan nekad untuk lari dari rumah.

Mujur neneknya yang dipanggil Nyai, mengajak Sara memikirkan semula keputusan beliau itu dengan bijaksana.

Kekuatan buku ini bersumber daripada pengalaman dan pengetahuan para penulisnya yang merupakan pendidik awal kanak-kanak.

Pengetahuan mereka dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta perkembangan sosio-emosi kanak-kanak membantu dalam melahirkan sebuah karya yang bukan sekadar menghiburkan malah mengajak golongan dewasa menilai semula cara mereka berinteraksi dengan kanak-kanak.

Semasa mengadakan aktiviti membaca bersama, ibu bapa serta pendidik boleh mengarahkan tumpuan kanak-kanak kepada ilustrasi wajah watak-watak dalam setiap muka surat dan berbincang dengan mereka tentang apa yang difikirkan atau dirasai oleh watak-watak tersebut.

Memahami perasaan melalui raut wajah seseorang juga dapat membantu dalam perkembangan sosio-emosi.

Satu aspek inklusif yang diterapkan di dalam buku ini ialah teksnya dicetak dengan rupa huruf khusus untuk pembaca yang mengalami disleksia.

Sila lungsuri laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk Buku: Sara hendak ke mana?
Penulis/Editor: Juzaila Jumari & Aishah Rifhana
Penerbit: Singapura: Ungu Pen, 2019.
Nombor Panggilan: J SING JUZ
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan