Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: "Resipi Kejayaan untuk Remaja" sajikan 33 panduan untuk remaja hidup berjaya

Kita perlukan bermacam-macam juadah santapan untuk menyihatkan diri. Setiap hidangan mempunyai ‘resipi’nya.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Kita perlukan bermacam-macam juadah santapan untuk menyihatkan diri. Setiap hidangan mempunyai ‘resipi’nya.

Begitulah analogi kandungan e-buku Resipi Kejayaan untuk Remaja yang menghidangkan 33 ‘resipi’ dalam 5 bahagian yang terisi dengan panduan-panduan untuk remaja hidup berjaya.

Bahagian 1 membicarakan penetapan matlamat hidup berwawasan. Ia mesti dilakarkan dengan jelas serta spesifik dan dicapai dalam tempoh masa yang munasabah.

Oleh itu, seorang remaja harus meningkatkan keyakinan diri dengan bercita-cita besar, berdikari, berani menghadapi cabaran selain terbuka menerima nasihat. Mereka perlu bersedia menerima teguran dan menjaga kesihatan serta keselamatan diri.

Pengurusan hidup remaja dibincangkan dalam Bahagian 2. Usaha mencari kejayaan bermula dengan menguruskan tugas harian dan merancang masa secara cermat. Jadual harian termasuk mengamalkan disiplin diri yang asas seperti mengemas rapi bilik sendiri. Satu strategi menyelesaikan tugasan ialah dengan mengagihkannya.

Remaja harus mengelolakannya dengan bijak dalam pelaksanaan pemberian panduan untuk mengatasi masalah, dugaan dan tekanan.

Bahagian 3 membincangkan cara-cara menjadi remaja yang bermoral dan berbudi tinggi. Resipi utamanya adalah membina akhlak yang disukai ramai. Ciri-ciri mulia seperti bercakap benar, jujur dan amanah, bertolak ansur dan merendah diri, amat perlu ditanamkan dalam jiwa remaja.

Antara nasihat yang disampaikan termasuk cara-cara menjauhi tabiat merokok yang membahayakan kesihatan dan membazirkan wang.

Bahagian 4 mengupas tangungjawab remaja kepada keluarga terutamanya ibu bapa. Resipi ini menuntut para remaja meletakkan ibu bapa di kedudukan yang tinggi dan mulia.

Menjadi remaja yang disukai merupakan fokus Bahagian 5. Golongan remaja mesti bersikap positif, merendah diri, berlaku adil, bersangka baik, bijak berinteraksi dengan mesra, mempertahankan prestasi dan integriti diri untuk menjadi remaja teladan.

E-buku ini mudah dimanfaatkan. Jalan bahasanya baik dan kandungannya bernas. Setiap panduan diolah dalam perenggan pendek agar mudah difahami.

Penulis mengaplikasikan kaedah penyampaian visual dengan carta, rajah dan jadual untuk menyampaikan mesej. Cerita-cerita pendek diselitkan di setiap bahagian bagi meningkatkan kefahaman pembaca.

Di akhir pembacaan, remaja dapat merumuskan bahawa erti kejayaan bukanlah semata-mata mencapai sesuatu keinginan. Kejayaan itu perlu berpaksikan motivasi, niat dan cara murni.

Tajuk: Resipi Kejayaan untuk Remaja
Penulis: Ahmad Fadzli Yusof dan Abd. Razak Abd. Muthalib
Akses: NLB Overdrive ( https://nlb.overdrive.com/media/3780270 )
Penerbit: PTS Media Group
Pengulas: S Zahra Aljunied, Pustakawan Kanan, NLB  

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan