Images
  • acuan
    (Gambar: NLB)

ePustaka: Rambut keriting dorong kanak-kanak ini 'gali' sejarah keluarganya

BERITAmediacorp: Bulan Ramadan bakal tiba.

Mungkin inilah masanya para ibu bapa melibatkan anak-anak menyiapkan juadah berbuka puasa atau membuat kuih bersama-sama.

Justeru itu, inilah antara waktu terbaik untuk mereka memperkenalkan dan berkongsi dengan anak-anak tentang beberapa peribahasa Melayu yang berkaitan dengan perkakas dapur.

Salah satu daripadanya ialah ‘bagaimana acuan begitulah kuihnya’. Lebih seronok lagi jika ia dilakukan melalui kaedah penceritaan!

Buku bergambar yang dihasilkan oleh Maslina Yusoff ini mengisahkan tentang seorang kanak-kanak perempuan bernama Mila yang mempunyai rambut keriting dan besar. Rambutnya disukai oleh para guru, makcik kantin dan rakan-rakan sekolahnya!

Namun pada suatu hari, salah seorang kawan Mila berkongsi pemerhatiannya tentang rambut keriting Mila yang amat berlainan dengan rambut lurus emak dan bapanya.

Ini mendorong Mila untuk mencari jawapannya. Lalu, dia pun bertanya kepada emaknya. Maka, berlakulah dialog yang menarik antara emak dan anak yang melibatkan ‘penggalian’ sejarah keluarga melalui gambar-gambar lama.

Mila berasa sangat gembira apabila mendapat tahu bahawa rambut keritingnya itu sebenarnya mengikut rambut keriting neneknya, Opah Wan.

Dari situ jugalah Mila memahami akan maksud peribahasa 'bagaimana acuan begitulah kuihnya'.

Cerita ini boleh dinikmati oleh kanak-kanak walaupun mereka sedang sibuk menguli tepung ataupun mencetak kuih dengan mendengar buku audio yang boleh dipinjam daripada laman NLB Overdrive menerusi pautan berikut:

Buku fizikalnya juga boleh diperolehi daripada Perpustakaan Awam yang terletak berhampiran dengan rumah anda. Dengar dan baca - satu gandingan kegiatan yang pasti menyeronokkan!

Tajuk: Bagaimana Acuan Begitulah Kuihnya
Penulis: Maslina Yusoff
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka: Kuala Lumpur, 2016
Pautan e-buku audio: https://nlb.overdive.com/library/malay/media/3980486
Nombor panggilan buku fizikal: J MAS
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan NLB 

- BERITAmediacorp/na

Top