Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Pedati Perang Dharma' pupuk sifat jujur, amanah demi elak binasa diri

Mengendalikan sebuah perniagaan bukan hanya memerlukan sikap dan jati diri yang kukuh, malah seorang peniaga juga perlu bersikap jujur dan amanah, mempunyai integriti dan sentiasa bercakap benar.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Mengendalikan sebuah perniagaan bukan hanya memerlukan sikap dan jati diri yang kukuh, malah seorang peniaga juga perlu bersikap jujur dan amanah, mempunyai integriti dan sentiasa bercakap benar.

Ketiadaan sifat-sifat sedemikian hanya akan membawa kebinasaan pada diri sendiri dan juga orang lain.

Mungkin inilah yang ingin disampaikan oleh penulis Sithuraj Ponraj dalam cerpennya yang bertajuk Dharma’s Chariot.

Versi asli yang ditulis dalam bahasa Tamil pertama kali diterbitkan dalam Maariligal: Short Stories pada tahun 2015.

Edisi Bahasa Melayu yang telah diterjemahkan oleh Shaffiq Selamat daripada versi bahasa Inggeris ini diberi tajuk Pedati Perang Dharma dan diterbitkan oleh Perpustakaan Negara. Ia mengisahkan tentang rasa bersalah seorang saudagar kain yang telah menjual kain yang rosak kepada rakan karibnya disebabkan rasa terdesak untuk membayar sewa kedainya.

Perkara yang menarik sekali adalah kaitan cerpen ini dengan tajuknya yang berdasarkan kisah Raja Yudhisthira yang hebat dalam syair agung India Mahabharata.

Oleh kerana kewarakan dan sifatnya yang tidak pernah berbohong walau sekali pun, raja tersebut digelar Dharma. Disebabkan kejujurannya juga, pedati baginda tidak pernah menyentuh bumi walaupun sewaktu di medan perang.

Namun, semasa pertempuran terakhirnya, Dharma telah dipujuk untuk berbohong demi menewaskan musuhnya. Dengan berat hati, baginda bersetuju dan pedatinya yang selama ini terapung satu inci atas daratan, terhempas ke bumi.

Demikianlah akibatnya apabila manusia gagal bersifat jujur, yang akhirnya menjurus kepada kebinasaan, sebagaimana binasanya pedati perang Dharma.

Selain kisah watak utama, ada beberapa peristiwa lain yang telah diselitkan penulis dalam cerpen ini yang boleh difikirkan bersama oleh para pembaca. Contohnya, dinamika hubungan antara majikan dan pekerja, bapa dan anak, antara dua rakan karib dan juga sesama saudagar.

Beberapa fakta serta pengajaran daripada sejarah juga dapat ditemukan, misalnya cabaran yang dihadapi para peniaga yang terjejas oleh arus pemodenan.

Akhir kata, kisah ini membuat kita berfikir dan bertanyakan apa yang akan kita lakukan jika berhadapan dengan situasi sedemikian rupa.

Bahan bacaan ini boleh diperolehi dalam bentuk fizikal dan juga e-buku yang boleh dipinjam daripada NLB Overdrive menerusi pautan https://nlb.overdrive.com/media/5328742:

Tajuk Buku: Pedati Perang Dharma
Penulis/Editor: Sithuraj Ponraj
Penerbit: National Library Board, 2020.
Nombor Panggilan: English SING CIT
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan