Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Niskala' novel grafik dengan genre 'steampunk'

Niskala merupakan sebuah novel grafik Melayu yang unik, segar dan wajar diberikan perhatian serius oleh pembaca remaja khususnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Niskala' novel grafik dengan genre 'steampunk'

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 21 Aug 2021 07:59PM Dikemas Kini : 21 Aug 2021 08:01PM

BERITAmediacorp: Niskala merupakan sebuah novel grafik Melayu yang unik, segar dan wajar diberikan perhatian serius oleh pembaca remaja khususnya.

Keistimewaan utamanya terletak pada penggabungjalinan elemen steampunk dan dunia semasa dalam penghasilan karya.

Genre steampunk memperlihatkan watak-watak dalam cerita mengamalkan budaya estetik dan teknologi kurun ke-19 yang diadun dengan elemen fiskyen sains dan sejarah.

Karya ini juga menerapkan gabungan penceritaan tradisional dari timur dengan beberapa konsep dari dunia luar. Pembaca dapat melihat pertembungan lama dan baharu dalam karya ini.

Contohnya, pakaian watak-watak dalam novel ini yang diilhamkan dari rantau Nusantara digabungjalinkan dengan fesyen lebih moden. Misalnya, watak utama iaitu, Amra memakai tanjak dan pada masa yang sama memakai gogal dan aksesori seperti baju kulit yang dianggap luar daripada kebudayaan era tersebut.

Karya ini juga mengangkat kegeniusan orang Melayu. Watak-watak utama dalam cerita ini menggunakan pelbagai senjata tradisional orang Melayu dahulu kala seperti rentaka, terakol dan istinggar.

Sesuai dengan genre steampunk, karya ini menggabungjalinkan elemen lama dan moden bagi menghasilkan senjata lakuran. Contohnya, senapang istinggar yang berasaskan mekanisme sumbu api ditambahkan dengan skop.

Ringkasnya, cerita ini tentang Amra, seorang pahlawan zaman silam sekitar tahun 1619 yang ditugaskan untuk menyelamatkan Gabenor Tisa daripada tawanan makhluk asing bergelar Najaraga.

Namun, misi ini hanya boleh berjaya dengan gabungan usaha tiga orang pahlawan Niskala yang lain iaitu Lax (bekas nakhoda kapal), Woo (hulubalang elit) dan De-5 (srikandi). Setiap daripada mereka memiliki kekuatan tersendiri dan mempunyai senjata khusus masing-masing untuk mempertahankan diri dan Niskala.

Amra merupakan watak yang berulang kali ‘mati dan hidup semula’ dalam usaha membebaskan Gabenor Tisa seperti dalam permainan komputer. Anehnya, pelajar politeknik yang mengawal watak ini dalam permainan komputer juga bernama Amra.

Sama halnya dengan watak Lax, sahabat Amra, yang mengawal watak Lax dalam permainan Niskala yang mereka berserta dua teman lain sedang kendalikan sebagai satu kumpulan pada tahun 2019!

Apakah kaitan watak manusia sebenar dengan watak dalam permainan Niskala ini?

Apakah ia ada kaitan dengan kehidupan di alam selari?

Nikmatilah novel grafik yang pengakhirannya berunsur pemutarbalikan plot atau 'plot twist' ini.

Ia pasti mengocak deria fikir kritis anda!

Tajuk: Niskala: sebuah novel grafik steampunk Melayu
Penulis: Farihan Bahron
Penerbit: Singapura: Unggun Creative, 2020.
Nombor Panggilan: YP Malay 741.595957 FAR
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan