Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: Kitab Para Ku-cheng perkenalkan lagi 8 baka kucing

Kucing telah memikat hati manusia semenjak berkurun-kurun dahulu. Buku kecil Kitab Para Ku-cheng ini membuktikan betapa kucing telah lama ‘menjajahi’ kehidupan manusia.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Kitab Para Ku-cheng perkenalkan lagi 8 baka kucing

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 04 Sep 2021 08:37PM Dikemas Kini : 04 Sep 2021 08:38PM

BERITAmediacorp: Kucing telah memikat hati manusia semenjak berkurun-kurun dahulu. Buku kecil Kitab Para Ku-cheng ini membuktikan betapa kucing telah lama ‘menjajahi’ kehidupan manusia.

Bermula dengan pengalaman peribadi ‘pencinta’ dan ‘penyelamat’ kucing, pelbagai maklumat tentang kucing dikongsikan di bawah judul-judul yang menarik seperti “Miau miau” (informasi tentang kucing), “Purr purr” (trivia kucing), “Siri bercakap dengan kucing” (memahami bahasa kucing), “2, 3 kucing berlari” (fakta nombor) dan “Kucing dalam kotak” (sejarah kucing dalam peradaban dan budaya manusia). Bab “Klinik Dr Hezry” memuatkan panduan daripada doktor veterinar.

Tahukah anda terdapat banyak lagi jenis kucing selain kucing domestik? Buku ini memperkenalkan lapan lagi baka kucing: Parsi, Scottish fold, British shorthair, Munchkin, Siamese, Maine coon, Ragdoll dan Bengal.

Untuk menjadikan kucing sebagai teman, ia bukan sesuatu yang murah.

Anda perlu membuat pertimbangan dengan wajar. Ada beberapa perkara yang anda perlu ketahui. Salah satunya adalah mengenali baka kucing kerana ada baka mutasi yang memerlukan penjagaan khas seperti Scottish fold dan Munchkin.

Selain baka, umur kucing juga harus diambil kira - kucing muda, aktif dan masih produktif sementara kucing tua kurang agresif tetapi anda perlu menjaga kesihatannya dengan rapi. Persetujuan setiap ahli keluarga di rumah harus dicapai. Pastikan tiada yang alergik kepada bulu kucing atau fobia terhadap kucing (“airulophobia”).

Perbincangan Dr Hezry tentang isu pemandulan kucing terperinci dan jelas.

Beliau menyentuh aspek kesihatan kucing, impak pemeliharaan kucing kepada jiran tetangga dan hukum pemandulan kucing mengikut empat mazhab utama.

Bagaimanakah boleh diketahui kucing menyukai kita? Salah satu tandanya adalah apabila haiwan ini menggoyang-goyangkan ekornya ke atas. Sebagai tanda kasih, kucing juga membuat gigitan atau jilatan manja serta menggeselkan kepala dan badan pada tuannya yang disayangi.

Antara maklumat berfaedah lain yang boleh diperolehi daripada buku ini ialah kisah kucing-kucing terkenal dalam mitologi budaya pelbagai kaum termasuk dalam budaya pop - Hello Kitty, Garfield dan Doraemon.

Ada juga panduan memilih makanan kucing – makanan kering atau basah?

Dikongsi juga trivia menarik seperti misai kucing yang penuh dengan urat saraf (jadi jangan dipotong!) dan fakta bahawa lelaki pencinta kucing selalunya penyayang.

Tajuk: Kitab Para Ku-cheng
Penulis: Eman Dhani
Penerbit: Terengganu: Kata-Pilar, 2019
Nombor Panggilan: 636.8 EMA
Pengulas: S Zahra Aljunied, Pustakawan Kanan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan