Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: Filosofi Mak Singa saran 'formula terbaik' membesarkan anak

Ilmu keibubapaan membina kemahiran mendidik anak. Biasanya ia diwarisi daripada cara seseorang itu dibesarkan oleh ibu bapanya sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Ilmu keibubapaan membina kemahiran mendidik anak.

Biasanya ia diwarisi daripada cara seseorang itu dibesarkan oleh ibu bapanya sendiri.

Selain daripada kajian terperinci yang banyak dilakukan, masih terdapat kesamaran, mitos, kepercayaan karut dan ikut-ikutan dalam usaha ibu bapa menemukan formula terbaik untuk membesarkan anak-anak mereka.

Perbandingan antara gaya keibubapaan ‘‘orang dahulu’’ dan ‘‘orang sekarang’’ serta cara Timur dan Barat, sering dibahaskan. Perbezaan didikan ibu bapa yang ‘kolot’ dengan yang ‘bebas’ juga dipertikaikan. Inilah yang menjadi teras tulisan Anie Alja dalam bukunya Filosofi Mak Singa.

Penulis berpendapat bahawa ibu bapa masa kini lebih cenderung membesarkan anak-anak menurut cara Barat yang berteraskan psikologi kerana dianggap moden.

Malangnya, pendidikan sebegini kadangkala mewujudkan kesan VVIP (very very important person) dalam diri anak-anak.

Penulis memperkenalkan konsep sekehlogi berbanding dengan psikologi.

Istilah sekehloji bermaksud ibu bapa yang bertegas ‘to get things done’.

Ia berlandaskan pengalaman penulis yang dibesarkan oleh ibu bapanya sendiri, “orang dahulu” yang tidak mengenali psikologi dan pemerhatian beliau semasa hidup di negara Barat.

Mak Singa adalah gelaran beliau bagi ibu-ibu pengamal konsep sekehlogi.

Pelbagai contoh praktikal dikongsi dengan pembaca. Mak Singa harus bersifat mementingkan diri sendiri demi membantu anak-anak bijak menyesuaikan diri dalam pelbagai situasi.

Anak-anak juga harus diberi tugasan tersendiri dalam membantu pengurusan rumah. Semua urusan kerja rumah boleh dilakukan bersama agar anak-anak akan lebih berdikari.

Walaupun Mak Singa dalam buku ini digambarkan sebagai tegas, namun terselit juga strategi menggunakan psikologi seperti yang terdapat di dalam bab mendidik remaja. Bab ini sarat dengan panduan-panduan tentang remaja dan hormon, nilai-nilai ketaatan, bercita-cita tinggi dan kerjaya. Teguran untuk mereka juga perlu berbeza. Misalnya, memarahi anak mestilah atas kesalahan pada ketika itu sahaja, tanpa mengungkit kesalahannya yang lalu.

Buku ini diakhiri dengan saranan visi dan misi sebuah keluarga berlandaskan agama - satu lagi pilihan bagi pembaca.

Proses mendidik anak bukan suatu yang ‘one size fits all’. Terdapat banyak lagi panduan dan kajian dalam cara mendidik dan membesarkan anak yang boleh ibu bapa mengkaji untuk membuat penilaian sendiri dan menemukan formula terbaik.

Tajuk: Filosofi Mak Singa
Penulis: Anie Alja
Nombor Panggilan: Malay 649.1 ANI-[FAM]
Penerbit: Selangor: Komrad Buku, 2019.
Pengulas: S Zahra Aljunied, Pustakawan Kanan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan