Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Dia yang Kucari' antara 32 cerpen keinsafan dalam buku Antara Dua Wajah

Perpisahan adalah awal pertemuan. Begitulah ungkapan yang sukar ditelan namun berhikmah bagi yang dikurniakan kesedaran.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Dia yang Kucari' antara 32 cerpen keinsafan dalam buku Antara Dua Wajah

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 08 May 2021 10:28AM Dikemas Kini : 08 May 2021 10:31AM

BERITAmediacorp: Perpisahan adalah awal pertemuan. Begitulah ungkapan yang sukar ditelan namun berhikmah bagi yang dikurniakan kesedaran.

Kehilangan ahli keluarga Dania yang merupakan antara penumpang pesawat malang MH370, mengakibatkan beliau kesepian dan sering mencari erti di sebalik takdir Tuhan.

Namun, setiap pencarian pasti bertemu kebenaran.

Di kampus universiti, Dania dipertemukan dengan Humaira yang banyak membimbingnya mendekati Tuhan sebagai cara untuk merawat resah hatinya. Dania dibimbing tentang erti suratan Ilahi, tidak berputus asa dan sentiasa bersangka baik kepada Pencipta.

Pemerhatian Dania terhadap budaya hidup Humaira turut mendedahkannya kepada keperluan diri menekuni ilmu yang menyumbang kepada kemajuan iman, pengetahuan dan kebijaksanaan.

Malah, Dania ditegur agar menuruti nasihat Imam Malik kepada Harun ar-Rasyid supaya mendatangi ilmu dan bukan sebaliknya.

Sokongan rohani Humaira berjaya merawat derita Dania. Keinsafan muncul dalam dirinya tentang rahmat di sebalik ujian yang dihadapinya. Al-Quran menjadi teman hidup sejatinya kini. Apa yang dicari selama ini bukanlah keluarganya yang hilang, tetapi hati yang sentiasa tenang dalam keredaan Tuhan yang mengasihi.

Kisah Dania yang dipaparkan dalam cerpen Dia yang Kucari ini merupakan antara 32 karya yang diterbitkan di dalam Antara Dua Wajah: Antologi Cerpen Minggu Penulis Remaja 2014.

Menerusi penghayatan karya sebegini, pembaca remaja memperolehi mutiara pengajaran untuk dijadikan tauladan.

Antaranya, perihal bimbingan memilih teman, adab mencari ilmu dan panduan meningkatkan keyakinan diri serta pengetahuan.

Nikmatilah juga karya-karya lain di dalam buku ini seperti Antara Dua Wajah yang memberi nasihat kepada remaja supaya berhati-hati terhadap orang yang baru dikenali, Tikar Mengkuang Sekaki Payung (menginsafi kesusahan hidup golongan miskin dan ketua keluarga yang bertungkus-lumus mencari rezeki untuk menyekolahkan anaknya), Takdir (penderaan anak tiri), Di Sebalik Takdir (isu remaja dipaksa memilih aliran pengajian yang tidak disukai), Secerah Bulan Purnama (kesan buruk pergaulan bebas dan salah laku) dan Cermin Mata (kesukaran mengikuti pengajian dek kesusahan keluarga).

Sila lungsuri laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk: Antara Dua Wajah: Antologi Cerpen Minggu Penulis Remaja 2014
Editor: Salina Ibrahim & Panel Penulis 2018
Penerbit: Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, 2018
Nombor Panggilan: Y Malay ANT
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan