Images
  • epustaka
    Gambar: NLB

ePustaka: 'Buku Nota Hati Buat Pelajar: Motivasi & Petua Belajar' bantu pelajar cemerlang dalam pelajaran, miliki peribadi insan berjaya

BERITAmediacorp: Alam remaja memang mencabar bagi pelajar-pelajar di institusi pendidikan. Mereka memerlukan sokongan, panduan dan motivasi diri.

"Buku Nota Hati Buat Pelajar: Motivasi dan Petua Belajar" ini pasti dapat membantu. Ia padat dengan kisah-kisah yang mengajar dan mengajak pelajar berfikir dan memahami cabaran.

Bab 1, Bicara Hati, menyingkap falsafah ‘bermula dengan pengakhiran dalam minda’ ciptaan Steven Covey dalam bukunya The 7 Habits of Highly Effective People. Setiap pelajar mesti menetapkan matlamat akhir kehidupan mereka tatkala memulakan apa pun usaha. Pelbagai analogi dikongsi agar pelajar memahami konsep ini dan membantu mereka menghadapi cabaran hari muka.
Terdapat 6 halangan kejayaan dibincangkan.

Keperibadian pelajar sendiri merupakan halangan utama. Contohnya, memiliki sifat negatif seperti malas, berputus asa dan tiada keyakinan diri.

Masalah keluarga merupakan hambatan besar seperti berlakunya penceraian dalam keluarga. Namun halangan sebegini boleh mendorong pelajar berusaha dengan lebih gigih.

Faktor-faktor lain termasuk pergaulan yang mendatangkan pengaruh negatif, hubungan percintaan semasa bersekolah dan pembaziran masa. Kaedah mengatasi halangan-halangan ini ada dikongsikan.

Dalam Bab 2, Petua Mudah Untuk Pelajar, penulis berkongsi 21 panduan membuat persiapan rapi.

Ini berdasarkan perkongsian penulis dengan para pelajarnya.

Antaranya, memberi tumpuan 100% dalam bilik darjah, menggunakan peta minda, menyediakan jadual belajar, menyusun nota, membuat nota ringkas, memilih waktu belajar yang sesuai serta belajar secara berkumpulan.

Bab 3, Kesilapan Pelajar, mengupas 9 kesilapan pelajar di sekolah dan 10 ketika di rumah.

Bersikap tidak fokus sewaktu guru sedang mengajar adalah akar penyebab kesilapan pelajar hingga terbawa-bawa ke rumah apabila kerja rumah tidak dapat disiapkan dek kurang faham.

Akhirnya minat belajar akan terjejas dan masa dihabiskan dengan melakukan aktiviti yang merugikan.

Bab 4, Ciri-Ciri Pelajar Cemerlang, mengetengahkan 26 ciri pelajar yang cemerlang mengikut urutan abjad dari A hingga Z.

Bermula dengan pelajar yang mempunyai Akhlak, Berilmu serta Cergas, Bersifat Kreatif, Tenang, Versatile (serba boleh) hinggalah ke X-factor, Yakin dan mengamalkan Zikrullah.

Buku ini sesuai juga dijadikan rujukan ibu bapa dan pendidik yang ingin membantu anak-anak serta pelajar cemerlang dalam pelajaran dan memiliki peribadi insan berjaya.

Tajuk: Nota Hati Buat Pelajar: Motivasi dan Petua Belajar
Penulis: Razali Saaran
Nombor Panggilan: Y 371.30281 RAZ
Penerbit: Malaysia: Must Read, 2018.
Pengulas: S Zahra Aljunied, Pustakawan Kanan, NLB  

- BERITAmediacorp/sm

Top