Images
  • epustaka motivasi
    Buku bertajuk 'Membaca: Motivasi & Kaedah' karya Zaini Ujang. (Gambar: NLB) 

ePustaka: Buku ini bimbing ibu bapa terap 4 ciri penting pupuk minat membaca pada anak kecil

BERITAmediacorp:

"Buku
kalaupun tidak dibaca
menyeri suasana
menyegar minda
menyubur cita-cita
mewarna kata-kata
Buku
membahagiakan"

Buku bertajuk "Membaca: Motivasi & Kaedah" merupakan antara buku-buku bermutu dalam koleksi Bahasa Melayu Lembaga Perpustakaan Negara (NLB) yang menyumbang kepada usaha mencemerlangkan individu menerusi amalan membaca dan membangunkan masyarakat pembaca.

Melalui buku ini, penulis Zaini Ujang berkongsi bagaimana membaca menjadi jambatan ilmu, jendela dunia, penyuluh hidup dan pemaju diri selain teman masa bersantai.

Beliau turut merungkai pelbagai mitos berkaitan membaca seperti membaca itu sukar, membaca hanya untuk pelajar, membaca mesti dilakukan secara perlahan-lahan agar mudah difahami dan membaca hanya dilakukan berkaitan dengan bidang pengkhususan pembaca.

Bagaimanakah kita membuat persediaan untuk membaca?

Proses ini melibatkan 4 perkara:

Apakah 4 perkara itu?

Pertama, ciri pembaca yang baik (banyak membaca, luas skop pembacaan, fahami apa yang dibaca, membaca dengan kritis dan membina pandangan sendiri);

Kedua, objektif membaca (mendapat ilmu dan idea, mengulang kaji, berhibur, meluangkan masa serta mencari makna dan hakikat).

Ketiga, memiliki bahan-bahan yang betul (pelbagai jenis buku fiksyen dan ilmu pengetahuan, termasuk akhbar, majalah, artikel dan emel).

Akhir sekali, tempat membaca yang sesuai (rumah, perpustakaan, dalam kenderaan dan tempat menunggu).

Selain itu, mencari masa yang sesuai untuk membaca juga amat penting.

Beberapa panduan menguruskan masa dengan lebih berkesan dikongsikan sama.

Bagi yang mempunyai anak-anak kecil, terdapat juga beberapa panduan untuk memupuk minat membaca dalam kalangan mereka.

Tajuk: Membaca: Motivasi & Kaedah
Penulis: Zaini Ujang
Penerbit: Institut Terjemahan & Buku Malaysia Berhad, 2019
Nombor Panggilan: Malay 028.55 ZAI
Pengulas: S Zahra Aljunied, Pustakawan Kanan, NLB 

- BERITAmediacorp/zm

Top