Images
  • buku aku berubah
    (Gambar: NLB)

ePustaka: Buku ‘Aku Berubah’ bimbing ibu bapa bincang proses baligh bersama anak

BERITAmediacorp: Perbualan tentang kebalighan adalah sesuatu perkara yang kadangkala sukar untuk ibu bapa kemudikan bersama anak-anak.

Perasaan malu yang kerap kali timbul ketika menyebut ‘datang bulan’ menjadi rintangan yang boleh menjejas keberkesanan perbualan itu.

Sungguhpun demikian, topik ini harus dibincangkan bersama anak-anak kita yang kian mendewasa agar mereka bersedia menghadapi perubahan yang bakal dilalui.

Penulis buku 'Aku Berubah', Robyn Soetikno, sedar akan hakikat ini. Maka lahirlah siri buku ‘I Am Me’ yang bertujuan untuk memudahkan ibu bapa dan penjaga berbincang tentang kebalighan bersama anak-anak.

Siri tersebut ditulis dalam Bahasa Indonesia dan Inggeris dan terdiri daripada empat buah tajuk.

Menerusi cerita ini khususnya, penulis mengetengahkan beberapa perkara yang ibu bapa boleh tekankan kepada anak-anak mereka.

Pertama, proses baligh atau menjadi dewasa itu indah dan tidak perlu dikhuatiri. Perubahan-perubahan fizikal yang berlaku bakal menjadi sebahagian daripada hidup dan lama-kelamaan, kita akan terbiasa dengannya.

Kedua, kita patut menerima diri kita seadanya kerana setiap orang membesar secara berlainan dan pada tahap-tahap yang berbeza.

Oleh itu, setiap individu mempunyai rupa yang berbeza. Misalnya, bentuk badan dan ketinggian seseorang kanak-kanak akan tampak berbeza daripada kanak-kanak lain. Dengan ini, muncul suatu keragaman yang patut kita hargai dan raikan antara satu sama lain.

Ketiga, adakah proses menjadi dewasa terhad pada perubahan fisiologi sahaja?

Di bahagian akhir buku ini, penulis berkongsi luahan perasaan watak seorang pelajar perempuan yang tetap tidak menganggap dirinya sebagai gadis dewasa walaupun sudah baligh.

Justeru, apakah erti sebenar dewasa?

Pastinya, buku ini memberi ruang kepada ibu bapa, penjaga dan anak-anak untuk berkongsi pengalaman ‘mendewasa’ sesama mereka.

Ilustrasi yang terkandung di dalam buku ini sangat menarik.

Watak-watak comel dipilih untuk menggerakkan cerita dan penerangan. Warna-warna cerah seperti kuning, hijau dan merah jambu digunakan untuk membantu menyampaikan mesej bahawa proses baligh itu bukan sesuatu yang menggerunkan.

Malah, simbol-simbol seperti dedaunan menjalar, bunga dan kupu-kupu sering muncul dalam ilustrasi untuk melambangkan keindahan di sebalik tubuh yang semakin berubah.

Sebagai orang dewasa yang berpengalaman, kita maklum bahawa zaman kanak-kanak dan remaja penuh dengan cabaran.

Kita ingin membesarkan anak-anak yang matang, yakin diri dan mempunyai persepsi positif terhadap tubuh mereka. Maka itu kita harus mendedahkan anak-anak kita kepada bahan-bahan rujukan seperti buku ini yang bertujuan mengukuhkan sifat-sifat murni dalam diri mereka.

Sila lungsuri laman katalog https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk Buku: I’m Changing = Aku Berubah
Penulis: Robyn Soetikno
Penerbit: Depok: RB Publisher, 2017.
Nombor Panggilan: J Malay 612.6 SOE
Pengulas: Nur Fitri Muhammad Syafran, Pustakawan, NLB 

- BERITAmediacorp/fz

Top