Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: Buku '120 Wayang Melayu' ini papar perkembangan sosio-budaya masyarakat zaman kegemilangan filem Melayu

Buku 120 Wayang Melayu ini merupakan himpunan komentar peribadi penulis tentang filem-filem Melayu terpilih yang telah dihasilkan di Singapura dan Kuala Lumpur dari tahun 1948 hingga 1973.

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: Buku '120 Wayang Melayu' ini papar perkembangan sosio-budaya masyarakat zaman kegemilangan filem Melayu

Satu filem yang dibicarakan adalah Penarik Beca (1955) arahan P Ramlee yang turut memperlihatkan realiti sebenar kehidupan masyarakat pada masa itu. (Gambar: NLB)

Diterbitkan : 23 May 2021 07:17AM Dikemas Kini : 23 May 2021 08:23AM

BERITAmediacorp: Buku 120 Wayang Melayu ini merupakan himpunan komentar peribadi penulis tentang filem-filem Melayu terpilih yang telah dihasilkan di Singapura dan Kuala Lumpur dari tahun 1948 hingga 1973.

Bilangan 120 filem dipilih secara sinis untuk menggambarkan keperitan daya tahan penulis menonton filem Melayu secara berturutan sama dengan kelelahan yang dirakam dalam sebuah buku Marquis De Sade yang kontroversial.

Namun begitu, penulis akui tanggapannya salah akhirnya!

Selaku penulis kritis, Amir Muhammad bukan sahaja menyentuh perihal jalan cerita. Bahkan, beliau turut mengaitkannya dengan perkembangan sosio-budaya masyarakat pada waktu filem dihasilkan, pemikiran yang diwakili pelbagai watak dan perwatakan, perbandingan cerita dengan konteks semasa serta pandangan peribadi tentang pembikinan sesebuah filem juga.

Salah satu filem yang dibicarakan adalah Penarik Beca (1955) arahan P Ramlee. Beliau mengajak pembaca menghayati babak pembukaan filem yang memaparkan gambar seorang budak penjual akhbar berlari melalui lorong dan jalan. Di latar adegan itu terakam ramai penonton. Menurut penulis, walaupun dari sudut perfileman, ia satu kesalahan prinsip dan kelemahan pengarah mengawal pemain latar, hakikatnya ia memaparkan realiti pada masa itu.

Kespontanan reaksi mereka yang menyaksikan penggambaran merupakan ‘kehidupan sebenar’ yang didokumentasikan di dalam filem tersebut.

Filem ini juga merakamkan kebijaksanaan syarikat pembikin filem mempromosikan filem yang dihasilkan studio yang sama.

Pelakon Saadiah dan rakan-rakannya merancang untuk menonton filem Iman, yang dihasilkan pada 1954. Jelas, unsur interteks ini juga menyatukan kehidupan layar perak dan alam realiti.

Pembaca turut diajak menganalisa watak Amran dan Azizah. Tidak seperti filem lain, mereka tidak sesekali dipaparkan sebagai pasangan yang bercinta kerana tarikan seksual. Hubungan mereka bergerak atas dasar simpati dan ihsan.

Peranan dialog disentuh penulis dengan memfokuskan kepada tutur bicara yang memiliki impak tinggi. Dialog sebegini digunakan sebagai nasihat atau teguran untuk penonton menghadamkan dan membangunkan pemikiran.

Contohnya, ketika Azizah melihat kemiskinan hidup Amran dan ibunya, beliau bersimpati. Dialog Amran, “Apa boleh buat Azizah, kehendak Tuhan atas makhluknya.” Disambut Azizah, “Tetapi kau lupa Amran, manusia disuruh-Nya berusaha. Tuhan tidak akan memberi begitu sahaja jika manusia tidak berusaha,” Azizah langsung mahu menaja Amran untuk bersekolah malam bagi meningkatkan taraf hidupnya.

Menurut penulis, inilah falsafah Islam dalam membangunkan sosio-ekonomi masyarakat.

Penonton juga diajak menghayati bahasa berkias yang digunakan dalam dialog ibu Amran. Contohnya, “Kita puyuh, buatlah resmi puyuh. Jangan kau tiru resmi helang. Nanti helang juga yang memakan kita.”

Selain itu kiasan buah-buahan dan sayur-sayuran juga disertakan seperti, “Bapakmu umpama durian, kami seperti mentimun”.

Ringkasnya, penulis mengajak pembaca menikmati 120 filem Melayu yang dibicarakan beliau dengan lebih kritis lagi.

Terdapat pelbagai mutiara yang terselindung dalam filem-flem lama yang mungkin terlepas daripada pandangan kita sebelum ini. Pembicaraan tentang setiap filem walaupun amat ringkas dengan gaya penulisan bersahaja, ada waktu sinis juga, tetap jujur dalam pendokumentasian pemikirannya.

Sila lungsuri laman katalog NLB https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk: 120 Wayang Melayu
Penulis: Amir Muhammad
Penerbit: Selangor: DuBook Press, 2018.
Nombor Panggilan: SING Malay 791.4375 AMI
Pengulas: Herman Rothman, Pustakawan NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan