Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Bukan Generasi Remote Control' bincang pelbagai isu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak

Pemahaman konsep “belajar” dalam kalangan sesetengah ibu bapa masih lagi dibelenggu cara pemikiran yang telah lapuk. 

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Bukan Generasi Remote Control' bincang pelbagai isu berkaitan pendidikan awal kanak-kanak

(Gambar: NLB)

Diterbitkan : 16 Oct 2021 09:51PM Dikemas Kini : 16 Oct 2021 09:53PM

BERITAmediacorp: Pemahaman konsep “belajar” dalam kalangan sesetengah ibu bapa masih lagi dibelenggu cara pemikiran yang telah lapuk.

Bagi mereka, “belajar” bermaksud duduk diam sambil membaca, menulis dan mengira, dengan matlamat untuk mendapat nombor satu dalam kelas.

Namun, bagi kanak-kanak, khususnya mereka di peringkat pendidikan awal, pengertian “belajar” merupakan sesuatu yang lebih daripada itu semua.

Ditulis oleh Hazhari Ismail, Bukan Generasi Remote Control membicarakan isu-isu berkaitan pendidikan awal.

Dibahagikan kepada tiga bahagian utama, iaitu perkembangan kanak-kanak, keibubapaan, dan peranan institusi, ia bertujuan melawan pemaknaan stereotaip dalam pendidikan awal kanak-kanak abad ke-21.

Antaranya ialah tanggapan terhadap bidang pendidikan awal kanak-kanak sebagai satu kerjaya yang remeh, serta penerimaan masyarakat yang keterlaluan dalam penggunaan kad imbasan dan buku latihan.

Selain kritikan, buku ini juga memuatkan nasihat. Contohnya, pentingnya memberi sokongan kepada sikap ingin tahu kanak-kanak, meskipun soalan mereka mencabar pengetahuan dan kesabaran kita.

Penulis turut membincangkan tentang isu-isu yang dapat membantu ibu bapa dan golongan pendidik memahami serta mengatasi masalah seperti mutisme berpilih (selective mutism) dan juga keresahan pemisahan (separation anxiety).

Kekuatan buku ini terletak pada pendekatannya yang memusat kepada kanak-kanak (child-centric) di mana perasaan serta pemikiran kanak-kanak diberi keutamaan dalam kupasan isu.

Namun, terdapat sedikit kekurangan tentang kandungan buku ini yang perlu diperbaiki.

Dalam usaha melawan pemikiran stereotaip, penulis terlepas pandang akan stereotaip jantina yang beliau sendiri pertahankan.

Dalam beberapa bab dinyatakan bahawa tujuan lelaki hidup di dunia ialah sebagai pemimpin. Oleh itu, aktiviti di dalam bilik darjah perlu sesuai dengan keperluan kanak-kanak lelaki.

Mereka perlu didedahkan dengan potensi kewiraan lelaki seawal mungkin supaya mampu menjadi pemimpin yang baik apabila dewasa.

Jelaslah penulis masih dibelenggu dengan cara pemikiran yang bersifat patriarkal. Kepimpinan tidak dibatasi jantina seseorang. Jika diberikan peluang yang saksama serta latihan yang mencukupi, kanak-kanak lelaki dan perempuan mampu menjadi seorang pemimpin yang cekap.

Akhir kata, buku ini tetap harus dibaca serta dibicarakan dengan meluas oleh para ibu bapa serta mereka yang berkecimpung dalam bidang pendidikan awal termasuk golongan pendidik dan penggubal dasar, demi membangunkan generasi yang lebih baik.

Tajuk Buku: Bukan Generasi Remote Control
Penulis/Editor: Hazhari Ismail
Penerbit: Kuala Terengganu: Kata Pilar Books, 2019.
Nombor Panggilan: Malay 372.21 HAZ
Pengulas: Muhammed Shahril Shaik Abdullah, Pustakawan, NLB 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan