Images
  • ePustaka Budak Wayang Cilik
    (Gambar: NLB)

ePustaka: 'Budak Wayang Cilik' terap sikap pantang menyerah; kejar impian tanpa batas

BERITAmediacorp: Kita amat berbangga dengan masyarakat tempatan yang berbilang kaum, agama dan bangsa.

Untuk hidup bersama dalam harmoni, mendalami pengetahuan tentang kebudayaan pelbagai kaum di sini adalah sesuatu yang amat penting.

Cara terbaik adalah dengan berkongsi dan mendedahkannya kepada anak-anak sejak mereka kecil lagi.

Buku bergambar Budak Wayang Cilik, karya terjemahan daripada versi bahasa Inggerisnya yang berjudul Little Wayang Kid, mampu memenuhi keperluan ini.

Karya Raymond Tan ini membuktikan bahawa mempelajari seni silang budaya bukanlah perkara yang mustahil, malah digalakkan.

Watak utama buku ini, Raja, seorang budak berbangsa India, bersungguh-sungguh ingin mempelajari Opera Cina setelah menonton satu persembahan di televisyen. Pada mulanya, ibu Raja hanya mahukan anaknya mempelajari seni tarian bagi mengawal dirinya yang sangat aktif.

Namun, ibunya tidak menyangka Raja akan tertarik kepada opera Cina dan bukan seni tarian bangsanya sendiri.

Keputusan Raja untuk mempelajari opera Cina wajar dicontohi.

Dia tidak berfikiran stereotaip di mana setiap orang hanya mendalami seni budaya bangsanya sendiri dan tidak bangsa lain.

Seseorang itu harus dibenarkan mengejar impian untuk mendalami minatnya tanpa dibatasi budaya pemikiran tertutup.

Walaupun pada mulanya ibu Raja tidak bersetuju dengan keputusannya, Raja tetap dengan pilihannya. Pelibatan Raja didorong oleh keinginannya untuk mempelajari sesuatu yang dapat memperkayakan ilmu dan pengalamannya pada usia muda.

Kisah ini juga menekankan sikap pantang menyerah. Untuk menguasai aksi balik kuang, Raja harus mengharungi pelbagai latihan mencabar yang diarahkan oleh gurunya.

Bagi seorang budak yang aktif, sebahagian daripada latihan itu seperti belajar berdiri tegak bukanlah mudah untuknya. Walaupun bermandi peluh, Raja cekal dan tidak pernah berputus asa sehingga dia berjaya melakukan aksi balik kuang dengan sempurna.

Ilustrasi buku bergambar ini turut menyumbang kepada penyampaian cerita yang lebih berkesan.

Emosi setiap watak digambarkan dengan jelas pada setiap lukisan. Contohnya, apabila ibu Raja tidak bersetuju dengan keputusan anaknya, lukisan wajah ibu Raja yang marah dan kecewa memenuhi seluruh muka surat bagi memberi fokus kepada gelodak emosinya.

Begitu juga dengan perasaan Raja yang terserlah dalam setiap lukisan. Ia mencerminkan kepelbagaian cetusan jiwanya sepanjang penceritaan.

Tajuk: Budak Wayang Cilik = Little Wayang Kid
Penulis/Editor: Raymond Tan
Penerbit: Brainchild Pictures, 2021
Nombor Panggilan: JSING Malay TAN
Pengulas: Nur Asyikin Ramli, Pelatih, NLB 

- BERITAmediacorp/ha

Top