Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

ePustaka: 'Bagai Bumi Berhenti Berputar' bantu kanak-kanak fahami perasaan negatif dan cara atasinya

Walaupun buku Bagai Bumi Berhenti Berputar ini ditulis untuk kanak-kanak, kandungannya amat mendalam. Ia memberi gambaran bahawa hubungan antara ibu bapa dan anak-anak mempunyai kesan terhadap perkembangan anak-anak. 

Anggaran Waktu Membaca:
ePustaka: 'Bagai Bumi Berhenti Berputar' bantu kanak-kanak fahami perasaan negatif dan cara atasinya

(Gambar ihsan: NLB)

Diterbitkan : 06 Jun 2021 12:08AM Dikemas Kini : 06 Jun 2021 12:16AM

BERITAmediacorp: Sepanjang hayat kita bahkan kanak-kanak pasti mengalami peristiwa yang menyebabkan perasaan duka, sedih, malu dan terkejut.

Kadangkala, perasaan-perasaan ini membingungkan kita. Bagaimanakah kita dapat memahami peristiwa yang menyebabkan perasaan-perasaan ini?

Buku bertajuk Bagai Bumi Berhenti Berputar ini mengandungi lima cerita yang dapat membantu kita menjawab pertanyaan-pertanyaan itu.

Cerita-cerita yang dikemukakan dapat menjadi suatu landasan untuk kanak-kanak memahami perasaan negatif yang mungkin mereka hadapi.

Sehubungan itu, cerita-cerita dalam buku ini dapat menanam rasa empati dalam diri mereka melalui isu-isu yang dibincangkan - antaranya ialah kematian seorang ahli keluarga yang disayangi, penceraian ibu bapa, penyakit barah dan kecacatan serta perubahan yang berlaku apabila sesebuah keluarga terpaksa berpindah ke tempat asing.

Masalah sedemikian dihadapi oleh golongan dewasa dan kanak-kanak.

Dari segi ilustrasi, lukisan-lukisannya amat menarik dan sangat sesuai dengan cita rasa kanak-kanak. Kekuatan pada ilustrasi buku ini terletak pada warna-warna yang digunakan untuk mencerminkan perasaan yang dialami watak.

Contohnya, hitam digunakan untuk melambangkan ketakutan, sementara biru melambangkan kesedihan. Lagi satu contoh ialah jika seseorang watak berasa sedih, ilustrasi watak-watak atau barang-barang lain di sekeliling juga digambarkan sebagai mengalami perasaan yang sama.

Walaupun buku ini ditulis untuk kanak-kanak, kandungannya amat mendalam. Ia memberi gambaran bahawa hubungan antara ibu bapa dan anak-anak mempunyai kesan terhadap perkembangan anak-anak.

Sebaiknya, buku ini dibaca bersama ibu bapa atau orang dewasa kerana isu-isu yang dikemukakan memerlukan penjelasan lanjut. Meskipun jalan cerita dalam buku ini mudah, kandungannya bernas dan berkesan.

Bahasa yang digunakan dalam buku ini adalah bahasa Indonesia. Namun, perbezaan kosa kata amat minimal dan dapat difahami dengan mudah.

Pembacaan bersama ibu bapa akan memastikan kosa katanya dapat difahami oleh kanak-kanak.

Apa yang penting ialah isu-isu yang ditampilkan dalam buku ini merupakan isu-isu yang perlu didedahkan kepada kanak-kanak agar kita dapat membantu perkembangan sosio-emosi mereka.

Sila lungsuri laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk Buku: Bagai Bumi Berhenti Berputar
Penulis: Clara Ng
Nombor Panggilan: J NG
Penerbit: Jakarta: Gramedia Pustaka Utama, 2017.
Pengulas: Nabilah Binte Razalie (Mantan Peserta Program Latihan Amali NLB) 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan