Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Emina Mi milik wanita Islam Vietnam ini sajikan hidangan halal negara asalnya di S'pura

Walaupun tidak ada kekurangan pada jumlah hidangan makanan Vietnam di Singapura, ia sangat mencabar untuk mencari hidangan makanan Vietnam yang tulen dan berstatus Halal dan dijual pada harga yang dimampui.

Anggaran Waktu Membaca:
Emina Mi milik wanita Islam Vietnam ini sajikan hidangan halal negara asalnya di S'pura

(Gambar: Emina Mi)

Diterbitkan : 02 Jul 2021 07:58PM Dikemas Kini : 02 Jul 2021 08:03PM

SINGAPURA: Walaupun tidak ada kekurangan pada jumlah hidangan makanan Vietnam di Singapura, ia sangat mencabar untuk mencari hidangan makanan Vietnam yang tulen dan berstatus Halal dan dijual pada harga yang dimampui.

Mujur, ada Emina Mi, iaitu sebuah gerai penjaja yang beroperasi baru dua minggu di Pusat Penjaja Old Airport Road.

Ia diusahakan oleh Emina Abdullah, seorang penjaja anak kelahiran Vietnam yang mendapat ilham untuk membuka gerainya sendiri setelah berasa tidak puas hati dengan hidangan Vietnam yang halal di Singapura.

"Saya cuba (beberapa hidangan Vietnam yang halal) - namun rasanya tidak sama," katanya. "Selepas itu, saya memutuskan untuk memasaknya sendiri."

Cik Emina yang merupakan Penduduk Tetap Singapura (PR), berpindah ke sini enam tahun lalu setelah bertemu dengan suaminya, Khairil Samsi, 41 tahun.

Beliau merupakan hanya segelintir daripada penduduk Muslim di Vietnam - iaitu kurang daripada 0.1 peratus penduduk di sana - yang tertumpu di bahagian tenggara negara kelahirannya itu.

Meskipun beliau pernah melakukan pelbagai pekerjaan (baru-baru ini sebagai seorang jurujual) sejak tiba di Singapura, beliau berjinak-jinak mengendalikan perniagaan khidmat katering dari rumah "bagi majlis keramaian dan teman-teman" sejak meninggalkan kediamannya di Mui Ne, di mana beliau menguruskann sebuah kedai menjual mi daging dan hidangan nasi yang lain.

"Saya belum cuba banyak makanan Singapura, namun saya benar-benar rindukan makanan Vietnam," katanya. "Namun untuk memasak (makanan Vietnam) agak mudah di sini. Di Singapura, (bahan-bahannya) mudah dicari."

Apabila ditanya sama ada beliau menyesuaikan resepi makanannya mengikut cita rasa tempatan, Cik Emina berkata bahawa beliau tidak melakukan demikian.

"Saya masak untuk menyesuaikan selera warga Vietnam. Selepas itu, barulah rakyat Singapura tahu bagaimana rasa hidangan makanan Vietnam yang asli."

Kedai makan Emina Mi menawarkan empat hidangan dalam menunya, masing-masing dihidangkan dengan sos tersendiri.

Terdapat dua hidangan mi - pho bo (sup mi daging), iaitu hidangan popular di Vietnam dan bun bo (sup mi daging pedas) - serta goi cuon (popiah diperbuat daripada kertas tepung) dan com tam (nasi yang dihidangkan dengan ayam panggang).

Kesemua makanan yang dijual di Emina Mi adalah halal.

Malah, Cik Emina menyiapkan sendiri segala bahan masakan bagi hidangan yang dijual di kedainya.

Kadangkala, suaminya turut menyingsing lengan untuk membantunya menyiapkan hidangan yang dijual.

Cik Emina dan suaminya bertemu melalui seorang teman ketika beliau berjumpa dengan beberapa orang teman di Singapura sebelum berpindah ke sini.

Pasangan itu serta dua orang anak mereka, tinggal tidak jauh dari Pusat Penjaja Old Airport Road. "Kami merancang untuk (Emina) membuka sebuah restoran, tetapi kami ternampak gerai kosong ini," kata Encik Khairil.

"Saya mendorongnya untuk terus mencuba - itulah apa yang dia gemari."

Mereka membelanjakan S$12,000 untuk membuka gerai itu, sebelum akhirnya Emina Mi mula beroperasi pada 18 Jun.

"Terdapat sedikit risiko namun ia juga merupakan satu peluang," kata Encik Khairil. "Kami bermula pada [Fasa 2 Kewaspadaan Dipertingkat], jadi perniagaan agak hambar."

Pasangan itu juga sedang berusaha untuk menawarkan hidangan mereka melalui wadah penghantaran makanan, yang mana Encik Khairil berfikir adalah sesuatu yang sangat diperlukan untuk maju ke hadapan.

Emina Mi terletak di #01-47 Pusat Penjaja Old Airport Road, 51 Old Airport Rd, S390051. Dibuka setiap hari kecuali Rabu, dari 8.30 pagi hingga 5.00 petang. Nombor telefon: 87428297. 

Sumber : Today/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan