Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Elak kebakaran PMD: Tip mengecas dengan selamat

Bagaimana untuk mengecas alat mobiliti peribadi (PMD) anda dengan betul dan selamat tanpa menimbulkan risiko kebakaran di rumah?

Anggaran Waktu Membaca:
Elak kebakaran PMD: Tip mengecas dengan selamat

Gambar fail alat PMD (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 23 Jul 2019 03:17PM Dikemas Kini : 23 Jul 2019 03:23PM

SINGAPURA: Bagaimana untuk mengecas alat mobiliti peribadi (PMD) anda dengan betul dan selamat tanpa menimbulkan risiko kebakaran di rumah? Dengan penggunaan PMD seperti skuter elektrik yang semakin meluas, kejadian kebakaran yang tercetus akibat peralatan itu kian banyak berlaku merata negara.

Pada Isnin (22 Jul), PMD yang diletakkan di dapur sebuah flat dekat Ang Mo Kio mencetuskan kebakaran dan menyebabkan sekitar 60 penduduk dipindahkan. Ia adalah kejadian terbaru dalam siri kebakaran melibatkan PMD sejak kebelakangan ini, salah satunya meragut jiwa seorang lelaki 40 tahun hanya minggu lalu.

Ini adalah beberapa tip untuk mengelakkan kebakaran angkara PMD:

ADAKAH PMD ANDA SELAMAT?

Memandangkan PMD hanya mula meraih populariti beberapa tahun lalu, banyak peralatan bermotor itu di Singapura tidak memenuhi piawaian keselamatan yang boleh dipercayai.

Demi mencegah kebakaran melibatkan PMD, Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menasihatkan anggota masyarakat supaya menggunakan dan membeli PMD yang mempunyai pensijilan keselamatan kebakaran UL2272.

Menurut Penguasa Pengangkutan Darat (LTA), untuk mendapatkan pensijilan UL2272 sesebuah PMD perlu lulus siri ujian elektrik, mekanikal serta sekitaran.

Untuk menjadi alat yang diiktiraf sijil UL2272, setiap PMD mesti mempunyai tanda pensijilan dan contoh-contohnya boleh dilihat di laman web LTA.

Menurut LTA, semua PMD yang digunakan di laluan awam mesti mempunyai pensijilan UL2272 mulai 1 Januari 2021. .

Lebih banyak maklumat mengenai piawaian UL2272 boleh didapati di laman web LTA.

PERIKSA UNTUK SEBARANG KEROSAKAN

Menurut SCDF, terdapat sejumlah 74 kebakaran membabitkan PMD dan basikal dibantu kuasa tenaga (PAB) pada 2018. Kebanyakan kebakaran itu melibatkan bateri litium-ion dan ia tercetus semasa alat sedang dicas atau sejurus selepas dicas.

Lantaran itu, sebelum anda mengecas PMD,anda patut memeriksa bateri bagi sebarang kerosakan atau kejanggalan seperti bateri yang kembung, berkarat atau sudahpun diselaputi sisa serbuk. Semua itu menandakan bateri sudah rosak dan apabila dicas, ia mungkin menjadi terlalu panas dan kemudian mencetuskan kebakaran.

CARA MENGECAS

Alat-alat elektrik menjadi panas apabila ia dicas, begitu juga PMD. Haba yang berlebihan boleh meningkatkan risiko kerosakan pada peranti anda selain menimbulkan risiko kebakaran.

Oleh itu, anda harus memastikan PMD anda dapat mengeluarkan haba secara efektif ketika mengecas.

Ini boleh dilakukan dengan:

  • Mengecas PMD dalam bilik dingin atau kawasan terteduh daripada sumber haba
  • Meletakkannya di permukaan yang keras, terbuka dan rata
  • Tidak meletakannya berdekatan bahan-bahan yang mudah terbakar
  • Tidak menutup PMD dengan kain

Selain itu, adalah baik untuk tidak mengecas bateri sejurus selepas menggunakannya. Bateri PMD menjadi panas apabila alat itu digunakan dan ia memerlukan sedikit masa untuk menghilangkan haba.

Ia juga tidak seharusnya diletakkan berhampiran pintu keluar kecemasan, sekiranya berlaku kebakaran.

ELAK MENGECAS SECARA BERLEBIHAN

Sebahagian PMD mencetuskan kebakaran kerana dicas semalaman. Menurut SCDF, sesetengah model bateri tidak mempunyai fungsi menghentikan aliran tenaga elektrik secara automatik.

Maka itu, anda tidak seharusnya mengecas bateri yang sudahpun dicas sepenuhnya mahupun meninggalkannya untuk dicas semalaman. Pengguna PMD dinasihati untuk mengikut arahan pengilang semasa mengecas peranti mereka.

SIMPAN BATERI DENGAN BETUL

Bateri PMD berisiko mencetuskan kebakaran jika ia menjadi terlampau panas. Disebabkan itu, bateri PMD harus disimpan di suhu bilik, jauh daripada bahan-bahan mudah terbakar. Pendedahan PMD kepada sumber haba juga harus dikurangkan. Ia tidak seharusnya diletakkan berhampiran dapur atau ketuhar.

SCDF juga menasihati pengguna untuk menutup terminal pengecasan bateri jika ia tidak akan digunakan buat tempoh masa yang lama.

TIPS LAIN

Apabila membeli PMD, pastikan anda mendapatkannya daripada sumber dan jenama yang bereputasi. Jenama yang lebih murah dan tanpa nama mungkin kurang bermutu lantas menjejas keselamatan. Seperti yang dinyatakan di atas, pastikan PMD tersebut mempunyai pensijilan UL2272.

Apabila mengecas PMD, gunakan penyesuai (adaptor) yang sah selain memastikan rating eletrik, voltan dan wattan yang serasi dengan peranti.

Jangan usik, ubah suai atau cuba membaiki PMD anda sendiri. Sekiranya rosak, adalah lebih baik untuk menghantar PMD anda bagi pembaikan oleh seseorang yang berkelayakan.  

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan