Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Ekzema bayi: Faktor genetik main peranan tapi ia boleh dikawal

Ekzema bayi: Faktor genetik main peranan tapi ia boleh dikawal.

Anggaran Waktu Membaca:
Ekzema bayi: Faktor genetik main peranan tapi ia boleh dikawal

Anak Cik Serene Koh didiagnos dengan ekzema. (Gambar: Serene Koh)

Diterbitkan : 26 May 2021 05:59PM Dikemas Kini : 26 May 2021 10:35PM

SINGAPURA: Kerap kali kita mendengar masalah ekzema berlaku dalam kalangan kanak-kanak dengan kulit menjadi ruam merah dan bersisik, bengkak dan gatal berpanjangan sehingga menimbulkan rasa tidak selesa. Kadang kala ada kesan darah pada baju dan jeritan yang menyayat hati semasa waktu mandi, serta tidak dapat tidur malam.

Anak lelaki Cik Serene Koh didiagnos dengan masalah ekzema ketika baru berusia beberapa bulan. Apabila anaknya mula mengalami gatal-gatal dan ruam pada kulit, Cik Koh membawanya ke sebuah hospital di mana dia didiagnonsis dengan masalah kulit tersebut.

Anaknya akan menggaru kulit sehingga berdarah, kata Cik Koh.

"Amat menyedihkan kerana dia masih bayi, dia hanya mampu menangis, dia tidak mampu menyuarakan rasa sakit yang dialami," kata Cik Koh, yang juga mengalami ekzema semasa kecil.

"Sangat sukar sekali", kata pekerja sosial berusia 37 tahun itu, sambil menambah beliau seringkali tidak dapat tidur malam disebabkan keadaan anaknya itu.

Ujian yang dijalankan pada kulit anaknya mendapati dia mempunyai alahan pada kacang tanah. Jadi Cik Koh, yang memberi susu badan kepada anak lelakinya itu langsung tidak makan kacang tanah.

"Keadaannya nampak baik sedikit, tetapi ia tidak pulih sepenuhnya. Mereka (doktor) memberikan krim untuk disapu. Ia mengandungi steroid," kata Cik Koh.

"Kulitnya akan sembuh namun ekzema akan muncul lagi, kemudian baik, kemudian muncul lagi."

Anaknya juga tidak suka mandi.

"Setiap kali mandi, dia akan menjerit kerana selepas menggaru, kulitnya akan luka dan kemerah-merahan," kata Cik Koh.

Gatal-gatal pada kulitnya juga lebih teruk pada waktu malam, menyebabkan anaknya itu dan keluarga mereka tidak dapat tidur.

"Saya akan membantu dia garu, bukan dengan kuku tetapi bantu dia kerana saya tahu jika saya bantu dia untuk menggaru kulitnya tidak akan luka."

Cik Koh sudah mencuba berbagai-bagai cara untuk melegakan kesakitan anaknya: Probiotik dan minyak ikan, ubat-ubatan tradisional Cina dan menyapu losyen dan krim untuk memastikan kelembapan kulit.

Beliau juga membawa anaknya berjumpa pakar kulit dan memakaikan stokin. Namun anak Cik Koh akan membukanya.

Kakinya masih tetap berasa gatal.

"Doktor menasihatkan kami agar membalut kakinya agar dia tidak dapat menggaru. Kerana untuk kulit sembuh, dia mesti berhenti menggaru dan menggaru adalah satu tabiat," kata beliau.

Cik Koh juga mengelak berada di tempat-tempat atau dalam keadaan yang akan membuatkan anaknya berpeluh.

"Sekitaran panas akan memburukkan keadaan jadi kami tidak banyak membawanya keluar. Yang ideal dan kebanyakan masa kami hanya berada di tempat yang ada penghawa dingin dan di tempat-tempat tertutup kerana kami lihat peluh akan memburukkan keadaan dan dia akan menggaru," kata Cik Koh.

Keadaan anak Cik Koh semakin baik selepas tekun merawatnya. (Gambar: Serene Koh)

Keadaan anak Cik Koh semakin baik selepas tekun merawatnya. (Gambar: Serene Koh)

Anaknya kini berusia tiga tahun dan keadaannya terkawal, kata Cik Koh.

"Ada harapan. Memang ada harapan kerana selepas melaluinya, saya rasa ramai ibu lain yang juga melalui perkara sama dan berasa seperti ia tidak berpenghujung," kata Cik Koh.

BANYAK KES EKZEMA DALAM KALANGAN KANAK-KANAK

Anak lelaki Cik Koh bukan satu-satunya yang terpaksa berdepan masalah kulit itu.

Menurut doktor yang dihubungi Mediacorp mereka melihat lebih banyak kanak-kanak yang didiagnos dengan ekzema.

Jumlah tinggi kes ekzema - yang juga dipanggil sebagai dermatitis atopik - adalah sekitar 30 peratus dalam kalangan bayi di bawah usia setahun, kata Dr Elizabeth Tham, ketua divisyen Alahan, Imunologi dan Reumatologi Paediatrik di Institut Perubatan Kanak-Kanak Khoo Teck Phuat - Universiti Nasional.

"Terdapat kenaikan dalam jumlah kanak-kanak yang mengalami dermatitis atopik sederhana hingga teruk dan pesakit-pesakit itu menyumbang kepada sekitar 20 hingga 30 peratus pesakit ekzema yang dirawat di Khidmat Dermatologi KKH," menurut Profesor Madya Mark Koh yang mengetuai khidmat tersebut.

"Nampaknya secara am terdapat trend kenaikan dalam insiden atau kes ekzema atopik dalam kalangan kanak-kanak. Dalam menjalankan tugas saya lihat lebih banyak bayi yang mengalami ekzema," kata Dr Lee Bee Wah, pakar paediatrik di Klinik Kanak-Kanak dan Alahan di Pusat Perubatan Mount Elizabeth.

Dr Tan Hiok Hee, seorang perunding pelawat di Pusat Pakar Kulit Thomson, juga melihat trend yang sama.

Menurutnya kenaikan itu disebabkan "kenaikan menyeluruh dalam kes masalah kulit tersebut dan juga tahap kesedaran lebih tinggi tentang masalah itu.

"Oleh itu ibu bapa mungkin lebih cenderung untuk membawa anak mereka untuk diperiksa dan didiagnosis apabila mereka menyedari anak mereka mengalami masalah gatal-gatal yang berulang dan bukan merawatnya sendiri," kata beliau.

KENAPA KANAK-KANAK ALAMI EKZEMA?

Menurut doktor, ekzema berpunca daripada faktor-faktor genetik tetapi ada faktor-faktor lain yang mungkin memburukkan keadaan itu.

"Kanak-kanak yang terjejas mungkin ada sejarah gangguan sensitif lain seperti semput dan resdung dan seringkali ada sejarah keluarga yang mengalami masalah serupa," kata Dr Tan.

Selain faktor genetik, jumlah tinggi kes ekzema di Singapura serupa dengan yang dipantau di negara-negara membangun lain, sekali gus "menyarankan bahawa faktor-faktor sekitaran mungkin penting dalam menentukannya", kata beliau.

Dr Tham, yang pesakitnya termasuk bayi dan kanak-kanak sehingga remaja berusia 18 tahun, berkata punca paling utama bagi ekzema adalah kecenderungan genetik atau sejarah keluarga yang mengalami penyakit alahan.

"Ini menyebabkan masalah kulit terlampau kering sejak dari lahir lagi dan dalam sebahagian pesakit, mungkin terdapat kerosakan genetik dari segi protein pada lapisan kulit paling atas yang dipanggil filaggrin. Ia bertanggungjawab menjaga lapiran kulit tersebut," kata beliau.

Profesor Madya Koh, yang memetik sebab-sebab sama, berkata menjangkaui faktor genetik ekzema, faktor-faktor sekitaran juga "memainkan peranan menimbulkan atau memburukkan ekzema atopik".

Beliau merujuk kepada sekitaran berhabuk, haiwan peliharaan, patung mainan lembut, merokok, sabun mandi atau sabun basuh baju yang kuat dan gigitan serangga adalah antara faktor-faktor sekitaran.

Faktor-faktor emosi juga seperti peperiksaan boleh menjadi punca ekzema, kata Profesor Madya Koh.

Ekzema atopik, bagaimanapun, adalah masalah kulit yang rumit, ujar Dr Lee.

"Sukar untuk menentukan puncanya. Isu-isu utama ekzema adalah lapisan kulit paling atas yang lemah dan sistem imun yang tidak normal yang cenderung menyebabkan masalah radang," kata beliau.

Para doktor berkata bagi kebanyakan pesakit, masalah itu timbul sebelum mereka berusia setahun, meskipun sebahagian kanak-kanak mungkin akan mengalami simptom-simptom selepas itu atau semasa usia remaja. Masalah kulit itu boleh berlarutan hingga dewasa, kata mereka.

Meskipun masalah itu tidak boleh dicegah, apatah lagi tiada ubat untuk menyembuhkannya, simptom itu boleh dikawal, kata doktor.

APA YANG BOLEH IBU BAPA LAKUKAN?

"Dengan menggunakan sabun-sabun yang lembut dan pelembap setiap hari sejak dari bayi, masalah ekzema boleh dikawal dan tahap teruk ekzema boleh dikurangkan," kata Profesor Madya Koh.

Rawatan awal sebaik sahaja simptom-simptom tercetus juga penting untuk mencegahnya daripada bertambah teruk, kata beliau lagi.

Profesor Madya Koh, berkata alahan makanan didapati boleh memburukkan masalah kulit dalam kalangan bayi, maka itu langkah mengurangkan sumbernya boleh membantu mencegah keadaan daripada menjadi lebih teruk.

Meskipun para doktor menggalak pesakit muda ekzema supaya meneruskan gaya hidup sihat termasuk melakukan kegiatan-kegiatan luar, ada kegiatan yang lebih baik dielakkan, kata beliau.

"Apabila cuaca terlalu panas, berjerebu atau jika anak anda mengalami radang ekzema, lebih baik dihadkan kegiatan sedemikian dan kerap menyapu pelembap untuk mengurangkan keradangan," kata beliau.

Dr Tan pula berkata faktor-faktor yang memburukkan masalah kulit itu termasuk terdedah kepada perubahan mendadak pada suhu bilik dan jenis-jenis bahan pakaian seperti fabrik bulu haiwan.

"Ramai kanak-kanak yang mengalami ekzema atopik sensitif pada hama habuk, jadi biasanya saya menasihatkan agar mereka kurang gunakan permaidani dan patung mainan lembut yang biasanya memerangkap hama," tambah beliau.

Dalam kalangan kanak-kanak juga, tekanan dan keadaan emosi boleh memburukkan ekzema, kata beliau.

"Penting juga untuk menjelaskan kepada kanak-kanak bahawa ia bukan salah mereka jika mereka ada ekzema dan meneliti aspek psikologi ekzema juga. Sebahagian kanak-kanak itu mungkin diajuk atau dijauhi oleh rakan-rakan sebaya mereka dan mungkin berfikir negatif tentang imej diri mereka," kata beliau.

Dr Lee berkata penjagaan kulit penting dalam pengurusan ekzema. Dr Tham pula berkata pendekatan berbilang serampang termasuk menyapu pelembap untuk memastikan kulit lembap, merawat jangkitan pada kulit dengan menggunakan antibiotik serta menyapu steroid topikal untuk mengawal radang membantu mencegah masalah itu daripada terus memburuk. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan