Images
  • durian tanpa kulit
    (Gambar: BERNAMA/Media sosial)

Durian tanpa kulit dapat sambutan hangat

SINTOK: Inisiatif seorang pemuda menjual buah durian tanpa kulit, berbaloi apabila gerainya yang terletak di Batu 15, Jalan Sintok, di Sintok menjadi tumpuan terutama oleh penggemar buah tersebut dari sekitar kawasan itu.

Encik Mohd Izzuwan Ismail, 30, yang berasal dari Changlun, berkata beliau mengambil inisiatif menjual dengan cara itu bagi memastikan hanya isi durian yang elok sahaja dijual kepada pelanggannya demi kepuasan mereka.

“Saya mendapatkan durian daripada pemilik kebun durian dan bukan semua isi buah itu elok kerana ada buah yang sedikit berlubang dan buruk dan tidak boleh dijual kepada pelanggan.

“Jadi saya cuba menjual ulas isinya tanpa kulit dengan mengambil hanya isi yang elok sahaja dan diletakkan di dalam bekas sebelum dijual pada harga RM25 (S$8.20) sekilogram,” katanya ketika ditemui pemberita di gerainya di Sintok.

Katanya, ternyata kaedah menjual seperti itu lebih menarik minat penggemar raja buah berkenaan apabila kira-kira 200 biji durian di gerainya terjual setiap hari.

Encik Mohd Izzuwan berkata gerainya turut menjual durian secara biji pada harga RM8 (S$2.63) hingga RM25 (S$8.20) sekilogram dan antara jenis durian yang dijual termasuk Udang Merah, D29 dan durian kampung.

Beliau turut membenarkan pelanggannya memulangkan durian yang dibeli sekiranya didapati tidak elok dan akan menggantikan dengan buah yang lain.

Sebelum ini, kisah Encik Mohd Izzuan yang menjual buah durian tanpa kulit ditularkan di laman sosial oleh seorang pelanggannya dan sejak itu gerainya yang mula dibuka pukul 10.00 pagi dikunjungi orang ramai.

"Selalunya saya akan berniaga dari 10.00 pagi hingga 5.00 petang, tapi selepas tular pada Ahad lepas, semalam (Isnin) durian sudah habis dijual pada pukul 2.00 petang,” kata anak kedua daripada lapan beradik itu.

Encik Mohd Izzuan berkata selain menjual durian di gerai, dia turut menjual buah itu secara dalam talian dan membuat penghantaran ke semua daerah di negeri ini termasuk ke Pulau Langkawi.

“Sebelum ini, saya sudah hantar 20 bekas durian ke Pulau Langkawi dan banyak lagi pesanan yang saya terima,” katanya yang turut dibantu oleh adik-beradiknya yang lain.

- BERNAMA/TQ/tq

Top