Images
  • durian
    (Gambar: Bernama)

Durian Bukit juga ada peminatnya

BATU PAHAT: Jika sebut saja ‘Raja Buah’, pasti ramai terngiang-ngiang di kepala masing-masing pelbagai jenis buah durian, antaranya IOI, Musang King dan D13.

Namun, jenis durian berkenaan adalah yang sudah dikacuk atau digelar ‘durian kahwin’ dan berbeza dengan jenis yang satu ini, iaitu ‘durian kampung’ yang turut dikenali sebagai ‘durian bukit’ kerana pokoknya ditanam di kawasan tanah tinggi.

Seorang pengusaha dusun durian di Kampung Mohd Noor, Encik Sharafudin Abd Samad, 47 tahun, berkata perbezaan paling ketara antara durian kacukan dan durian kampung atau bukit itu adalah dari segi cara penanamannya, durian kacukan itu boleh ditanam di tanah rata, manakala durian kampung tidak.

Beliau mengakui walaupun kini durian kampung agak kurang popular berbanding durian kahwin tetapi ia tetap mempunyai peminatnya yang tersendiri.

“Peminat durian kampung atau durian bukit ini mengakui rasanya berbeza dengan durian ‘moden’ yang sudah dikacuk kerana mempunyai tiga gabungan keenakan yang tersendiri iaitu lemak, manis dan pahit berbanding durian kahwin, yang kebiasaannya mempunyairasa manis atau lemak sahaja,” katanya ketika ditemui Bernama di dusun miliknya, Dusun di Purun, yang terletak di Parit Sulong, baru-baru ini.

Encik Sharafudin berkata antara keunikan durian bukit ialah ia hanya berbuah setahun sekali berbanding durian kacukan yang boleh berbuah sehingga dua atau tiga kali setahun.

- BERNAMA/NA/na

Top