Images
  • yoga1
    Nur Atiqah Ahmad bukan sahaja ingin memperkasakan diri sendiri, tetapi beliau turut ingin memperjuangkan jati diri wanita lain. (Gambar: Nur Atiqah Ahmad)

Dulu bertarung dengan barah, kini bimbing 700 muslimah ber-Yoga termasuk di masjid

BERITAMediacorp: Pengalaman membesar tanpa ibu serta pertarungan dengan barah usus memberi kekuatan kepada wanita ini untuk terus mencari penyembuh dan semangat bagi memperkasakan diri.

Malah, beliau bukan sahaja ingin memperkasakan diri sendiri, tetapi beliau turut ingin memperjuangkan jati diri wanita, terutamanya di kalangan kaum Muslimah tanpa mengira usia.

Berbekalkan semangat itulah, Nur Atiqah Ahmad, 26 tahun, kini menubuhkan sebuah jenama gaya hidup, ‘Lifestyle for The Active Muslimah’, untuk menyokong masyarakat, menjaga kesejahteraan diri dan memberi inspirasi melalui ilmu.

Kini, jenamanya itu juga merangkumi pelbagai khidmat termasuk kelas kecergasan yoga, bengkel keusahawanan dan produk bagi kaum Muslimah dan para ibu yang menyusu.

Cik Nur Atiqah memberitahu BERITAMediacorp: “Saya memilih untuk fokus pada jati diri wanita atau ‘womanhood’ kerana ia membantu untuk meringankan beban emosi saya yang membesar tanpa kehadiran seorang ibu. Dibesarkan hanya dengan seorang ayah tunggal adalah sukar terutamanya apabila saya sedang bertarung dengan Sindrom Usus Merengsa (IBS) dan barah usus tahap pertama pada usia 21 tahun.”

“Bagaimanapun, saya mula mencari rawatan alternatif dengan mendalami minat saya dalam Yoga dan Pilates melalui persijilan kecergasan untuk meningkatkan kesihatan secara menyeluruh.”


Cik Nur Atiqah kini sudah sembuh dan menurut beliau “tiada simptom yang berulang sejauh ini”.

YOGA MESRA HIJAB BAGI WANITA DAN KANAK-KANAK

Dikenali sebagai gerakan ‘Fitness for Muslimah’ atau Kecergasan untuk Muslimah sebelum ini, idea asal itu awalnya didorong oleh minatnya dalam keusahawanan kecergasan sewaktu masih menuntut di Pendidikan Global SIM tiga tahun lalu.

Beliau kemudian meneruskan minatnya secara sepenuh masa setelah mendapat ijazah Pentadbiran Perniagaan dalam jurusan pemasaran digital setahun kemudian, pada 2015.

“Sebelum ini, saya bekerjasama dengan beberapa rakan yang juga bertindak sebagai instruktor kecergasan. Memandangkan mereka masing-masing mempunyai jenama sendiri meskipun masih bersahabat, saya turut mengasas jenama gaya hidup yang tersendiri,” jelasnya, yang sudah berlatih yoga sejak sembilan tahun lalu.

“Malah, fokus utama Lifestyle for The Active Muslimah semestinya adalah Yoga – bagi semua wanita, keluarga termasuk kanak-kanak. Kelas-kelas yoga mesra hijab wanita dan prakehamilan adalah kelas yang lebih popular. Dan ia agak menenangkan bagi saya untuk berkongsi ilmu sebagai seorang Muslimah bersama para Muslimah yang lain di bawah bimbingan selamat tanpa sebarang kepercayaan yang bercanggah,” tambahnya lagi.


Dibantu oleh lima lagi wanita dalam pasukannya, Lifestyle for The Active Muslimah turut menyisipkan “FM” dalam logo baru mereka agar para pengikut dalam terus mengenali mereka walaupun mereka sudah bergerak ke arah sebuah jenama gaya hidup kini.

DARI 10 PELAJAR, KINI SUDAH MENCECAH HAMPIR 700 WANITA

Kini mengajar yoga prakehamilan, poskehamilan serta yoga bagi peringkat awal dan pertengahan, Lifestyle for The Active Muslimah juga bakal melancarkan dua lagi kelas tahun ini, iaitu “baby-wearing yoga” dan “mum+babes yoga”.

Kongsi Cik Nur Atiqah kepada BERITAMediacorp: “Ketika baru bermula pada 2012, saya hanya mempunyai 10 orang pelajar sahaja. Kini, saya sudah mengajar yoga kepada hampir 700 wanita dalam segenap usia, termasuk warga senja di Masjid Al Mukminin. Saya juga merancang untuk membawa jurulatih undangan agar para pelajar dapat menikmati cara penyampaian serta ilmu yang berbeza.”

Beliau yang kini aktif mengajar kelas-kelas yoga di WIS@Changi, juga akan kembali ke kawasan Barat dan Utara Singapura untuk memenuhi permintaan bekas para pelajar yang mungkin ingin memulakan semula latihan, menurutnya.


Kelas-kelas yoga prakehamilan dan poskehamilan diadakan selama empat sesi manakala yoga mesra hijab dan pelbagai peringkat berlangsung selama 10 sesi. Ia turut diadakan seminggu sekali tanpa sebarang bayaran keahlian.

BAKAL BUKA BENGKEL PENDIDIKAN MELAHIRKAN ANAK, KHIDMAT DOULA

Malah, Nur Atiqah turut percaya pada pemakanan yang baik, senaman prakehamilan dan kelas bersalin yang fokus pada fisiologi kehamilan dan kelahiran. Setelah hamil dengan anak pertamanya ketika itu, beliau bercadang untuk menjadi seorang pendidik bagi melahirkan anak dan khidmat doula.

“Bengkel pendidikan melahirkan anak dan khidmat profesional doula masih dalam perancangan. Di samping itu, kami juga merancang untuk menghasilkan ‘podcast’ bagi memberi penghormatan kepada usahawan wanita atau ‘fempreneurs’ dan ‘mumpreneurs’ selain mengadakan lebih kursus kemahiran yoga dan keusahawanan secara online,” kata ibu muda ini.


(Gambar-gambar: Nur Atiqah Ahmad)

Seiring itu, Lifestyle for The Active Muslimah juga menawarkan pakaian sukan mesra muslimah dan mesra ibu menyusu bagi jenama gaya hidupnya.

“Apabila wanita menjaga diri mereka dengan lebih baik, mereka berkuasa untuk mengejar impian mereka dan menjadi versi mereka yang terbaik. Saya berharap agar dapat terus memperkasa wanita dari setiap latar belakang dalam mempertingkatkan diri ke arah penyembuhan dan kesejahteraan diri yang menyeluruh,” kongsinya lagi kepada BERITAMediacorp.

Mereka yang berminat boleh melayari www.fitnessformuslimah.com/yoga bagi sebarang keterangan lanjut. 

- BERITAMediacorp/im

Top