Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Dua usahawan wanita, Nur Suliani dan Norhuda Robani, menang Anugerah Dewipreneur 2019

16 usahawan wanita Melayu/Islam Singapura diiktiraf melalui enam anugerah dalam acara "Influence-Her 2019" anjuran cabang wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura, DEWI@SMCCI pada Ahad (31 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Dua usahawan wanita, Nur Suliani dan Norhuda Robani, menang Anugerah Dewipreneur 2019

(Gambar-gambar: Nur Hazimah Anuar)

SINGAPURA: 16 usahawan wanita Melayu/Islam Singapura diiktiraf melalui enam anugerah dalam acara "Influence-Her 2019" anjuran cabang wanita Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Singapura, DEWI@SMCCI pada Ahad (31 Mac).

Para pemenang menerima plak dan sijil daripada Presiden Halimah Yacob.

Anugerah-anugerah itu merupakan inisiatif DEWI@SMCCI demi mengiktiraf pelbagai pencapaian golongan usahawan wanita ini.

DUA USAHAWAN WANITA RAIH ANUGERAH DEWIPRENEUR 2019

Anugerah berprestij pada malam itu, Anugerah Dewipreneur 2019, mengiktiraf usahawan wanita yang menonjolkan ciri-ciri luar biasa seperti strategi perniagaan dan daya inovasi.

Dua orang usahawan wanita dipilih sebagai pemenang anugerah itu, yang baru diperkenalkan oleh pihak SMCCI.

Bagi pemenang Cik Nur Suliani Md Noor, pengasas Kowabunga! Education, kemenangan itu satu perangsang baginya untuk terus meningkatkan usaha menawarkan aktiviti pembangunan holistik kepada kanak-kanak.

"Apa yang kami sudah ada sekarang merupakan satu permulaan dan kami ingin melakukan sesuatu yang lebih bermakna dan anugerah ini merupakan satu motivasi bagi kami menambahkan lagi usaha terhadap perniagaan ini," kata beliau.

Seorang lagi pemenang Anugerah Dewipreneur, Norhuda Robani pula berkata, kemenangan itu membawa seribu makna bagi beliau yang bermula sebagai sebuah perniagaan kecil-kecilan menjual rencah beku dan siap sedia bagi bahan masakan. Kini, syarikat beliau menghasilkan sekitar 2,000 paket rencah pelbagai resipi setiap hari.

Menurut Cik Norhuda: "Pada mula niatnya hanya untuk mengubah hidup keluarga, menambah pendapatan untuk keluarga tetapi apabila kita telah mula berniaga, timbulnya minat untuk mendalami bidang perniagaan dan ia memang bukan mudah, terdapat banyak dugaan dan cubaan yang perlu dihadapi."

ANUGERAH USAHAWAN WANITA PALING BERPENGARUH DIRANGKUL USTAZAH LIYANA MUSFIRAH

Anugerah Usahawan Wanita Paling Berpengaruh pula diberikan kepada Ustazah Liyana Musfirah, yang bijak menggunakan media sosial sebagai wadah perniagaannya. Beliau mempunyai sekitar 25,000 pengikut di akaun Instagram, yang digunakan sebagai platform untuk mendekati orang ramai dan berdakwah.

"Alhamdulillah saya sangat berbesar hati dan sangat bersyukur ke atas kemenangan ini. Ia memberikan saya lebih motivasi untuk lebih mendekati para pengikut saya di laman sosial seperti di Instagram dan Facebook, dan membuat saya ingin lebih bekerja keras insya Allah," kongsi Ustazah Liyana.

Empat lagi anugerah turut disampaikan oleh DEWI@SMCCI pada malam acara "Influence-Her 2019".

Antaranya, Beevi Ayoob, pemilik Restoran Saffrons yang menerima Anugerah Usahawan Wanita Paling Prihatin, dan Farzana Begum Yusoff dari syarikat Priboy Shipping Supplies Pte Ltd yang memenangi Anugerah Usahawan Baru Paling Berpotensi. Anugerah Usahawan Wanita Paling Popular disandang oleh Diyana Halik, isteri pelakon Aaron Aziz.

10 usahawan wanita juga menerima pingat dan sijil bagi anugerah mengiktiraf wanita yang berniaga dari rumah.

Usahawan wanita terkenal dari Malaysia, iaitu pengasas Naelofar Hijab, Noor Neelofa serta dua lagi usahawan tempatan turut membuat penampilan pada acara yang berlangsung di The Joyden Hall, Bugis+.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan