Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Doktor wanita 'terbaik' bagi pesakit jantung wanita

Wanita yang mengalami serangan jantung mempunyai peluang lebih tinggi untuk diselamatkan jika mereka dirawat oleh seorang doktor wanita di hospital, menurut satu kajian di Amerika Syarikat.

Anggaran Waktu Membaca:
Doktor wanita 'terbaik' bagi pesakit jantung wanita

(Gambar hiasan: Mediacorp)

Diterbitkan : 28 Aug 2018 11:44PM Dikemas Kini : 28 Aug 2018 11:47PM

AMERIKA SYARIKAT: Wanita yang mengalami serangan jantung mempunyai peluang lebih tinggi untuk diselamatkan jika mereka dirawat oleh seorang doktor wanita di hospital, menurut satu kajian di Amerika Syarikat.

Laman BBC menukil kajian tersebut yang melibatkan analisis ke atas 580,000 kes serangan jantung selama 19 tahun. Ia mendapati kadar kematian yang lebih tinggi untuk wanita yang dirawat oleh doktor lelaki - 13.3 peratus pesakit meninggal dunia selepas dirawat oleh seorang lelaki berbanding dengan 12 peratus jika dirawat seorang wanita.

Peluang untuk mereka diselamatkan juga meningkat jika dirawat seorang doktor yang mempunyai ramai rakan sekerja wanita dalam pasukannya.

Menurut para penyelidik, satu teori di sebalik dapatan ini adalah lelaki mungkin kurang peka dalam merawat wanita.

Selepas mengambil kira faktor-faktor seperti usia, ras dan rekod kesihatan, mereka mendapati semua pesakit mempunyai peluang yang lebih baik untuk diselamatkan selepas diserang penyakit jantung jika mereka dirawat oleh doktor wanita. Namun, perbezaan ini lebih ketara di kalangan pesakit wanita.

Apabila pesakit dirawat oleh doktor lelaki, 12.6 peratus pesakit lelaki meninggal dunia berbanding 13.3 pesakit wanita.

Namun peratusan ini merosot apabila doktor wanita memberikan rawatan - menjadi 11.8 peratus di kalangan lelaki dan 12 peratus bagi pesakit wanita.

Penyelidik utama Dr Seth Carnahan, dari Universiti Washington di St Louis, berkata: "Kajian kami menyokong dapatan penyelidikan sebelum ini yang menunjukkan bahawa doktor wanita lebih berjaya merawat pesakit daripada doktor lelaki.

"Apa yang menarik adalah kajian kami menunjukkan manfaat mempunyai seorang doktor wanita amat ketara bagi pesakit perempuan," tambah Dr Carnahan seperti dilaporkan BBC.

'LEBIH KAJIAN DIPERLUKAN'

Namun, terdapat batasan bagi kajian berkenaan.

Ia tidak dapat membuktikan bahawa kehadiran doktor wanita yang menyebabkan peningkatan kadar pesakit diselamatkan.

Jururawat kanan di Yayasan Jantung Britain Maureen Talbot menarik perhatian bahawa terdapat penyelidikan sebelum ini oleh yayasan tersebut yang menunjukkan "perbezaan membimbangkan" antara rawatan yang diberi kepada pesakit lelaki berbanding pesakit wanita yang mengalami serangan jantung.

Cik Talbot memberitahu BBC: "Walaupun kajian ini menyokong teori tersebut, lebih banyak penyelidikan perlu dilakukan di hospital-hospital UK untuk melihat sama ada terdapat layanan berat sebelah sedemikian di sini."

Dapatan kajian ini dilaporkan dalam jurnal 'Proceedings of the National Academy of Sciences'.

Sumber : Agensi berita/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan