Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Dilahirkan tanpa kaki bukan halangan cari rezeki bagi lelaki ini

Dilahirkan tanpa sepasang kaki, tetapi itu tidak menjadi halangan bagi lelaki bersemangat waja ini untuk hidup berdikari.

Anggaran Waktu Membaca:
Dilahirkan tanpa kaki bukan halangan cari rezeki bagi lelaki ini

Encik Syukri Saad hidup berdikari dan bekerja sebagai pembuat bot. (Petikan gambar video YouTube)

Diterbitkan : 21 Aug 2018 06:36PM Dikemas Kini : 21 Aug 2018 06:46PM

KANGAR: Dilahirkan tanpa sepasang kaki, tetapi itu tidak menjadi halangan bagi lelaki bersemangat waja ini untuk hidup berdikari.

Malah siapa sangka, beliau mempunyai tenaga untuk bekerja sebagai pembuat bot dan menjadi terkenal dengan kebolehannya dalam pertukangan bot sehingga menerima banyak tempahan.

Seolah-olah sudah menjadi visi dalam kehidupannya untuk tidak mengharapkan bantuan sesiapa pun meski tidak mempunyai anggota kaki seperti orang lain. Menagih simpati orang ramai tidak pernah terlintas di fikirannya. Apa yang dilihat sebagai kekurangan, dijadikan satu kelebihan.

Lebih menarik lagi, Encik Syukri Saad, 39 tahun, sebelum ini tidak pernah mengambil kursus-kursus mahupun belajar tentang pertukangan semasa di bangku sekolah. Beliau memberitahu Astro Awani bahawa pada zaman remaja, beliau mengambil inisiatif untuk belajar dan berjinak-jinak dalam bidang tersebut dengan datuknya.

"Saya belajar daripada arwah datuk saya, sejak usia 18 tahun," ujarnya.

Menceritakan lebih lanjut tentang kehidupannya, Encik Syukri berkata beliau lazimnya mengambil masa sehingga sebulan untuk menyiapkan sebuah bot atau sampan.

Hasil tangan Encik Syukri memang memenuhi jangkaan pelanggan. Buktinya, beliau juga menerima tempahan khas untuk digunakan dalam pertandingan sukan air negeri Perlis, satu acara tahunan di negeri itu, lapor Astro Awani.

BEKAS ATLIT

Encik Syukri sebelum ini merupakan seorang bekas atlit paralimpik Kedah dalam acara lontar lembing dan angkat berat selama empat tahun.

Bukan sekadar ingin mencuba nasib dalam bidang sukan, beliau juga aktif dan cemerlang.

"Saya dapat lima pingat emas, empat perak, tujuh gangsa," kata Encik Syukri sambil mengimbau kembali saat-saat beliau menceburi bidang itu.

KERJA SAMPINGAN LAIN

Selain bergantung kepada upah menyiapkan bot, Encik Syukri memberitahu Astro Awani bahawa beliau turut mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM300 (S$100) sebulan. Namun, ia tidak mencukupi.

Oleh sebab itu, lelaki dengan semangat kental ini mengambil upah mencuci pinggan di kedai makan pada waktu malam selepas meluangkan masa bekerja di bengkel.

Yang jelas, di sebalik setiap insan berjaya, pasti ada yang menyokongnya. Bagi Encik Syukri, pemilik bengkel di tempat beliau bekerja tidak hanya membuatnya berasa istimewa. Encik Hairi Nordin juga sering memberikan kata-kata semangat dan berharap beliau menjadi seorang pengusaha berjaya pada masa akan datang.  

Sumber : Agensi berita/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan