Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Di sebalik kesibukan tugas jaga keselamatan penumpang, Nuriana & Faris kongsi tempat makan 'hotspot' Lapangan Terbang Changi

Dengan kedudukannya sebagai sebuah lapangan terbang yang paling terkemuka di dunia, Lapangan Terbang Changi bergantung kepada kakitangan daripada pelbagai pertubuhan untuk menawarkan Pengalaman Changi yang terbaik kepada para pengunjung dan pelancong. 

Anggaran Waktu Membaca:
Di sebalik kesibukan tugas jaga keselamatan penumpang, Nuriana & Faris kongsi tempat makan 'hotspot' Lapangan Terbang Changi

Shueh Li, Faris, Nuriana, kongsi tempat makan 'hotspot' Lapangan Terbang Changi. (Gambar: Now Boarding by Changi Airport)

SINGAPURA: Dengan kedudukannya sebagai sebuah lapangan terbang yang paling terkemuka di dunia, Lapangan Terbang Changi bergantung kepada kakitangan daripada pelbagai pertubuhan untuk menawarkan Pengalaman Changi yang terbaik kepada para pengunjung dan pelancong.

Selain semangat yang berkobar-kobar untuk menyediakan khidmat yang terbaik kepada penumpang, para pekerja di lapangan terbang Changi juga tidak terkecuali daripada keterujaan rakyat Singapura terhadap hidangan makanan tempatan!

Dalam rencana edisi khas majalah Now Boarding by Changi Airport sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini, majalah tersebut menerbitkan wawancara bersama tiga kakitangannya pada Selasa (4 Ogos) yang berkongsi beberapa tempat makan terbaik di Singapura dan Lapangan Terbang Changi.

Nuriana, Pegawai Polis Tambahan, Certis Aviation Security

Nuriana memainkan peranan penting dalam menjaga keselamatan di lapangan terbang negara. Sebagai seorang pegawai polis tambahan, beliau perlu melakukan pelbagai tugas, dari menguruskan simpanan senjata, memastikan bekalan yang mencukupi, hingga ke pengurusan barangan terkawal untuk penggunaan operasi harian.

Faris, Pegawai Kawalan Lapangan Terbang, Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA)

Faris adalah seorang Pegawai ICA dan tugas beliau memerlukannya untuk melindungi sempadan Singapura. Beliau bertanggungjawab bagi pelepasan imigresen, yang penting bagi memastikan ancaman dari luar negara tidak memasuki negara ini.

Shueh Li, Pengurus Kanan, Perhubungan Korporat & Pemasaran, Changi Airport Group

Shueh bertanggungjawab bagi inisiatif pemasaran jenama Lapangan Terbang Changi. Tugasnya termasuk memanfaatkan wadah sosial dan digital untuk mempamerkan kepada dunia tentang pelbagai daya tarikan yang menjadikan Changi bukan sekadar sebuah lapangan terbang tetapi juga sebuah destinasi yang menarik.

MAKANAN MENYATUKAN

Walaupun Nuriana, Faris dan Shueh Li melakukan tugas yang berbeza, ada satu perkara yang menyatukan mereka - cinta kepada makanan, sama seperti rakyat Singapura yang lain. Lapangan Terbang Changi menempatkan banyak tempat makan yang menawarkan hidangan-hidangan antarabangsa dan juga tempatan. Jika anda bertugas di lapangan terbang ini, anda mempunyai pelbagai pilihan makanan dan bagi ketiga-tiga mereka, waktu makan adalah masa untuk mereka bersantai dan menjamu selera dengan makanan tempatan kegemaran mereka.

Ayuh kita ketahui apakah makanan tempatan yang mereka sarankan dan jangan terlepas peluang untuk mencubanya apabila berada di Lapangan Terbang Changi.

MAKANAN KEGEMARAN MESTI CUBA DI LAPANGAN TERBANG CHANGI

Bagi Nuriana, kantin Terminal 1 (T1) adalah tempat yang paling dekat di hatinya. "Memandangkan kantin ini dibuka kepada orang ramai, anda boleh menjangkakan barisan beratur yang panjang pada waktu makan tengah hari! Sebagai seorang rakyat Singapura, tiada pilihan lebih elok daripada sebuah tempat makan yang menawarkan pelbagai pilihan makanan yang dimampui. Saya sarankan Nasi Padang kerana ada banyak pilihan lauk yang pasti membuat anda rasa sungguh berpuas hati. Kedai lontong adalah antara yang paling saya gemari kerana ia mempunyai sentuhan istimewa seperti masakan ibu di rumah. Tiap kali saya menikmati makanan ini, saya akan teringatkan kasih sayang dan kemesraan di rumah."

Faris pula amat menggemari restoran makanan segera halal, Jinjja Chicken, yang terletak di Jewel. Saya suka betapa empuknya isi ayamnya. Ia begitu sedap di makan dengan sos-sos yang disediakan dan rempah ayamnya amat sebati sekali. Walaupun saya perlu jalan kaki ke Jewel untuk menikmati Jinjja Chicken, ia amat berbaloi sekali! Jika saya perlu memilih tempat untuk makan malam bersama keluarga, saya pasti akan memilih Andes by Astons di T1. Menu daging salainya amat dimampui dan suasana di restoran itu mesra untuk bersembang sambil bersantai bersama keluarga.

Ayam perisa kicap soya Jinjja kegemaran ramai pelanggan (Gambar: Jinjja Chicken) 

Bagi Shueh Li pula, beliau menyarankan agar anda jangan membazirkan kalori dan hanya memilih makanan yang sedap-sedap belaka. "Saya sebenarnya ada banyak tempat makan yang saya gemari tetapi jika saya benar-benar perlu memilih, inilah beberapa tempat yang saya sarankan jika lain kali anda mengunjungi Lapangan Terbang Changi. Jika anda impikan percutian ke Jepun, Yoshimi di Dewan Makanan Jepun SORA di T1 pasti akan membuat anda berpuas hati. Antara makanan yang mesti dicuba adalah Katsu Sando, Nasi Katsu dan Nasi Omu - anda akan rasa seakan-akan berada di Jepun.

Jika anda penggemar makanan yang manis, anda boleh menikmati pencuci mulut segera di 108 Matcha Saro yang terletak di Terminal 3 (T3) atau Birds of Paradise dan JW360 di Jewel.

Ada beberapa perisa yang anda boleh pilih dari Birds of Paradise, tapi saya nasihatkan agar anda dapatkan aiskrim dalam kon dan bukan cawan kerana kon-kon dibuat setiap hari dan mempunyai rasa daun thyme.

Aiskrim 'soft serve' dari 108 Matcha. (Gambar: 108 Matcha Saro/Facebook)

Gelato dari Birds of Paradise. (Gambar: danielfooddiary.com)


MANA UNTUK DAPATKAN MAKANAN PALING BERBALOI DI SINGAPURA?

Apabila ditanya di manakah para pengunjung boleh mendapatkan makanan paling berbaloi di Singapura, ketiga-tiga kakitangan Lapangan Terbang Changi itu merujuk kepada tempat di mana semua rakyat Singapura pasti bersetuju adalah tempat terbaik untuk makanan autentik Singapura pada harga yang amat berpatutan - Pusat Penjaja.

Pusat-Pusat Penjaja adalah sebuah ciri unik dalam gaya hidup Singapura kerana ia mencerminkan masyarakat yang berbilang kaum di sini. Seperti pusat makanan, pusat penjaja menawarkan pelbagai jenis makanan daripada makanan Melayu, Cina, India dan Barat! Tidak mustahil untuk melihat penduduk Singapura yang merantau ke luar kawasan kejiranan masing-masing semata-mata untuk menikmati makanan di pusat penjaja kegemaran mereka. Berikut adalah beberapa tempat yang amat disarankan oleh kakitangan Lapangan Terbang Changi.

Nuriana menyarankan Changi Village. Katanya: "Ia menempatkan pelbagai jenis hidangan dan juga berdekatan dengan Lapangan Terbang Changi! Jadi, lagi mudahlah bagi mereka yang tinggal di bahagian Timur. Daripada Nasi Ayam hingga ke Nasi Lemak dan makanan barat, anda tentu ada banyak sekali pilihan! Bagaimanapun, saya setia kepada Dil'B Nasi Briyani! Saya sarankan hidangan ini kepada ramai rakan setugas, mereka semua amat menyukainya. Ada rasa wangi yang datang daripada air mawar, disertai dengan beras basmati yang empuk dan ayam yang diperap sehingga sebati. Walaupun gerai itu menawarkan pelbagai hidangan lain, Nasi Briyani adalah pilihan utama saya dan saya amat menggalakkan anda mencubanya!"

Nasi Briyani dari Dil'B Nasi Briyani. (Gambar: thesmartlocal.com)

Bagi Faris pula, "Tempat makanan yang paling saya suka adalah East Coast Lagoon! Saya sarankan anda mulakan dengan sesuatu yang boleh membakar sedikit lemak melalui kegiatan riadah seperti berbasikal dan bermain layang-layang sebelum mengunjungi East Coast Lagoon. Ada banyak gerai yang menjual makanan kegemaran masyarakat tempatan seperti sate, kepak ayam, ikan pari bakar, kangkong belacan - ia tempat yang terbaik untuk berkumpul menjamu selera dengan orang tersayang. Selain itu, saya sarankan anda beli air tebu dan pergi bersantai selepas itu!

Pelbagai juadah enak di East Coast Lagoon. (Gambar: singaporefoodie.com)

Satu lagi tempat yang tidak dapat ditandingi ialah Boon Lay Nasi Lemak Power, iaitu salah satu gerai yang saya sanggup beratur untuk dapatkan makanan. Walaupun barisan beratur boleh dilihat dari siang hingga ke malam di Boon Lay Place dan Yung Sheng Road, saya jamin usaha beratur itu tidak akan sia-sia kerana hasilnya berbaloi dan itulah nikmatnya!"

Makanan tempatan di Singapura akan sentiasa menjadi cara ikonik untuk menyatukan rakyat dan penduduk dan ia membolehkan kita merapatkan hubungan dan melakar memori, seperti yang ditukil dalam Now Boarding by Changi Airport.

"Singapura adalah tanah air kita dan di Changi, kami sentiasa menanti kehadiran anda untuk menjamu selera dengan orang tersayang anada. Selamat Hari Kebangsaan Singapura!"

"Di negara yang selamat ini, di mana kita saling hormat-menghormati dan mengambil berat antara satu sama lain, ayuh kita bersatu untuk bangkit lebih teguh di tanah air yang boleh dibanggakan ini."  

Sumber : BERITA Mediacorp/AY/ay
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan