Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Di Mesir, COVID-19 cetus minat mendalam terhadap gambus

Selain bertambahnya minat untuk belajar bermain gambus atau 'oud', Mesir juga menyaksikan peningkatan tempahan bagi alat muzik tradisional itu.

Anggaran Waktu Membaca:
Di Mesir, COVID-19 cetus minat mendalam terhadap gambus

Seorang pekerja pembuat oud atau gambus di Mesir (Gambar: Khaled DESOUKI/AFP)

Diterbitkan : 25 Dec 2020 10:30PM Dikemas Kini : 25 Dec 2020 10:37PM

CAIRO: Sementara menantikan kelasnya di sebuah sekolah muzik Mesir bermula, Maissara Mohammed bermain oud, yang nadanya menenangkan tekanan kehidupan seharian di tengah pandemik COVID-19.

"Saya bermain empat alat muzik, tapi tentu saja oud adalah kegemaran saya," kata jurutera keturunan Sudan berusia 27 tahun itu, sambil bermain gambusnya.

Oud atau gambus, alat muzik bertali yang terkenal di Timur Tengah yang asalnya sejak ribuan tahun lalu, adalah satu elemen utama muzik Arab klasik.

Mohammed tiba dari Khartoum pada September untuk mempelajari gambus di sekolah muzik Kipa di Giza, barat ibu kota Mesir.

Walaupun boleh belajar di tempat lain, dia memilih Mesir kerana terkenal dengan pemain oud seperti Mohammed al-Qasabgi, yang menyusun dan mempersembahkan beberapa hit terbesar diva Mesir Umm Kulthum.

Oud "adalah alat yang mempunyai sentimen tersendiri dan mampu menterjemahkan semua yang tersirat di sanubari," katanya.

Langkah-langkah sekatan COVID-19 di Sudan membantunya menumpukan perhatian kepada berlatih, tambahnya.

"BERMAIN MUZIK RINGANKAN HATI YANG GUNDAH"

Kipa dibuka pada awal tahun ini, meskipun tercetusnya pandemik COVID-19, dan memikat peminat muzik dari semua lapisan masyarakat, menurut pengasasnya Romani Armis.

Para pelajar boleh mempelajari alat-alat muzik termasuk gitar, biola dan instrumen iringan, katanya, tetapi gambus adalah yang paling popular, dengan 25 pendaftaran.

Walaupun oud sekian lama dikuasai oleh kaum Adam, guru Hagar Aboul Kassem berkata murid-muridnya termasuk beberapa gadis.

Kelas-kelas turut diadakan online, dan kelas berkumpulan di sekolah terhad kepada dua pelajar setiap bilik, kongsi Armis.

"Bermain muzik membantu pelajar ringankan hati yang gundah untuk harungi" masa-masa sukar ini, tambahnya.

"MINAT YANG TIDAK PERNAH DILIHAT SEBELUM INI"

Di kawasan Al-Marg di utara Kahirah, Khaled Azzouz, pembuat gambus veteran, kelihatan sibuk di bengkelnya.

"Masalah dengan oud adalah bahawa ia memerlukan latihan berjam-jam dan orang biasanya tidak mempunyai masa," katanya.

Azzouz mengetuai bengkel gambus terbesar di Mesir, menghasilkan 750 alat setiap bulan.

Ia membekalkan cawangan Kahirah di Beit al-Oud, sebuah sekolah khas dengan cawangan di seluruh dunia Arab, dan mengeksport ke 12 negara, dari Sweden dan Amerika Syarikat hingga ke Arab Saudi dan Tunisia.

Azzouz, yang membuat alat muzik itu selama 25 tahun, berkata beliau menyaksikan "minat yang belum pernah dilihat sebelum ini" terhadap oud selama krisis kesihatan global melanda.

Pun begitu, beliau berkata gangguan berkaitan dengan pandemik pada awal tahun ini pada import kayu melengahkan pengeluaran.

"Kami membuat oud dari A hingga Z... tetapi Mesir tidak mempunyai hutan, jadi semua kayu di sini diimport," katanya.

Mesir secara mencatatkan sekitar 125,000 kes disahkan Covid-19 dan lebih 7,000 kematian.

Azzouz berkata satu kebaikan di balik larangan COVID-19 adalah ia membantu orang ramai mencari masa untuk berlatih.

"Dengan adanya virus korona, semua orang merasa bosan di rumah," katanya.

"Orang menghubungi saya secara online untuk membuat tempahan."

Sumber : AFP/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan