Images
  • buku demensia
    'Demensia Di Rumah Kami' hulur panduan berguna kepada penjaga, ahli keluarga. (Gambar: NLB)

'Demensia Di Rumah Kami' hulur panduan berguna kepada penjaga, ahli keluarga

BERITAmediacorp: Dengan bertambahnya golongan warga emas di sekeliling kita, kes demensia lebih kerap kita dengar berlaku dalam kalangan masyarakat setempat.

Ia juga mungkin dialami oleh seseorang kerabat terdekat.

Maka, penerbitan buku sebegini pasti dapat menyumbang kepada peningkatan pengetahuan umum tentang keadaan ini, sekali gus membantu kita memahami dan membantu para penghidapnya.

Penulis menggunakan akronim ODD, iaitu istilah umum bagi merujuk kepada Orang Dengan Demensia di dalam buku ini. Setiap ODD mempunyai latar belakang yang berlainan.

Namun begitu, proses mengalami demensia ada persamaannya, terutama di peringkat awal apabila mereka disahkan mempunyai gangguan memori.

Buku ini dimulai dengan tujuh kisah pendamping (caregiver) kepada ahli keluarga yang mengalami ODD.

Pendamping yang berbeza latar belakang hubungannya dengan ODD – seperti suami dan anak – berkongsi pelbagai pengalaman mereka dengan jujur.

Semuanya berbaur dengan rasa kesal, malu, sedih dan kadangkala marah apabila mereka tidak dapat menjangka tindakan yang akan diambil ODD. Amalan bersabar merupakan kunci utama menangani penghidap ODD.

Pakar-pakar pelbagai bidang turut menyumbang artikel-artikel yang memberi nasihat serta panduan berguna kepada pendamping ODD. Sumbangan-sumbangan daripada doktor gigi, ahli psikologi, psikiatri dan pakar saraf dapat membimbing para pendamping dari pelbagai aspek keahlian mereka.

Buku ini diakhiri dengan tip-tip yang bernilai dari lelaman Yayasan Alzheimer Indonesia: www.alzi.or.id. Antaranya:

Sebahagian gejala umum demensia:

1. Gangguan daya ingat dan kurang fokus
2. Sulit melakukan kegiatan yang terbiasa
3. Gangguan berkomunikasi dan menarik diri dari pergaulan

Panduan untuk pendamping berkomunikasi dengan ODD:

1. Lebih baik ajak bernostalgia tentang masa lalu daripada menggunakan kata "ingat"
2. Lebih efektif menyetujui dan mengiyakan daripada membantah
3. Lebih baik meminta ODD melakukan sesuatu dengan memberikan contoh daripada memerintah dan memaksa

Sila lungsuri laman katalog NLB di https://catalogue.nlb.gov.sg untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang buku ini.

Tajuk: Demensia di Rumah Kami: Kumpulan Memoar
Editor: Nuria Soeharto
Penerbit: Bekasi: Gramata Publishing, 2018.
Nombor Panggilan: Malay 362.19897683 DEM -[HEA]
Pengulas: S Zahra Aljunied, Pustakawan Kanan (NLB) 

- BERITAmediacorp/nk

Top