Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Dee Dee anjur bola sepak 'berjalan' galak gaya hidup sihat meski hidap masalah kesihatan

Selagi boleh berjalan, maka tiada alasan untuk tidak mencuba sukan bola sepak. Itulah mesej yang ingin disampaikan menerusi satu perlawanan muhibah yang diadakan di Hab Tampines Kita hari ini (10 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Selagi boleh berjalan, maka tiada alasan untuk tidak mencuba sukan bola sepak. Itulah mesej yang ingin disampaikan menerusi satu perlawanan muhibah yang diadakan di Hab Tampines Kita hari ini (10 Feb).

Perlawanan persahabatan itu dianjurkan sempena pelancaran rasmi Pasukan Bola Sepak Berjalan Untuk Kesihatan atau Walking Football For Health (WaF4H).

Inisiatif itu dirasmikan oleh AP GRC Bishan-Toa Payoh, Encik Saktiandi Supaat.

Sempena perasmiannya juga, seramai 20 personaliti tempatan dan bekas pemain bola sepak negara dihimpunkan di bawah satu bumbung untuk menguji kehebatan masing-masing dalam perlawanan bola sepak yang agak santai - iaitu bola sepak berjalan.

(Gambar: Saktiandi Supaat/Facebook)

(Gambar-gambar: Saktiandi Supaat/Facebook)

Pasukan Bola Sepak Berjalan Untuk Kesihatan sebenarnya ditubuhkan dengan hanya 10 anggota wanita pada 2017. Namun, ia kini sudah berjaya memikat hampir 100 orang, termasuk kaum Adam!

MENGAPA BOLA SEPAK BERJALAN?

Memandangkan bola sepak berjalan tidak selasak berbanding perlawanan bola sepak biasa, ia tetap boleh dinikmati oleh sesiapa sahaja tidak mengira latar belakang dan sekalipun mereka menghidap penyakit.

"Senaman bola sepak berjalan ini rata-rata sudah membantu meningkatkan kecergasan para anggota yang mungkin menghidapi masalah kesihatan seperti darah tinggi, kencing manis dan masalah sakit lutut," kata Pengasas WaF4H, Dee Dee Mahmood.

Encik Saktiandi yang hadir untuk menyaksikan sendiri perlawanan dimulakan memberitahu BERITAmediacorp bahawa perlawanan itu tidak terlalu intensif.

"Jadi mereka yang ingin mula bersukan boleh mencubanya dan bermula sedikit demi sedikit," kata beliau.

MASIH MENCABAR KERANA...

Meskipun bola sepak berjalan kelihatan mudah dan kedengarannya santai, nyatanya tidak. Malah ia lebih mencabar kerana pemain perlu menahan diri daripada mengejar bola.

Antara personaliti yang menyahut cabaran tersebut ialah pemilik restoran Steak Me, Cef Amri Abdul Azim, yang pernah diserang angin ahmar dan disahkan menghidap barah tiroid.

"Kita mesti ada ikhtiar untuk lebih sihat menerusi senaman ini. Perlawanan tadi memang lain daripada yang lain. Ia sama seperti perlawanan bola sepak biasa, tapi tak boleh lari," kata Cef Amri.

(Gambar: Chef Amri/Facebook)

Personaliti-personaliti lain yang menyertai acara itu termasuk Cef Bob, hos rancangan Urbanista Roziana Cindy, bekas pemain bola sepak negara Tohari Paijan dan R Suriamurthi. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan