Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Daun getah dimanfaatkan jadi sumber pendapatan

Siapa sangka daun getah yang berguguran jatuh di halaman rumah dan dianggap kebanyakan orang sebagai tidak mempunyai nilai boleh dijadikan hasil kraftagan yang mampu menjadi sumber pendapatan.

Anggaran Waktu Membaca:
Daun getah dimanfaatkan jadi sumber pendapatan

(Gambar: Bernama)

Diterbitkan : 30 Nov 2019 10:37PM Dikemas Kini : 30 Nov 2019 10:39PM

PENDANG, KEDAH: Siapa sangka daun getah yang berguguran jatuh di halaman rumah dan dianggap kebanyakan orang sebagai tidak mempunyai nilai boleh dijadikan hasil kraftagan yang mampu menjadi sumber pendapatan.

Berbekalkan kreativiti dan minat, seorang suri rumah dari Kampung Asam Jawa di sini, Cik Norrasidah Daud, 40 tahun, membuktikan daun tumbuhan itu mempunyai nilai tersendiri selepas digubah menjadi kuntuman bunga yang bewarna-warni, cantik dan menarik.

Bermula dengan ‘suka-suka’ tujuh tahun lalu, ibu kepada tiga orang anak itu kini menjadi antara penggubah bunga daun getah yang dikenali di daerah itu dan hasil tangannya sering mendapat permintaan tinggi daripada masyarakat setempat dan negeri lain.

“Pada mulanya sekadar untuk membantu suami yang juga seorang orang kelainan upaya (OKU) yang hanya mengambil upah mesin rumput dengan pendapatan tidak seberapa, tetapi lama kelamaan saya semakin meminati untuk melakukannya di rumah.

“Alhamdulillah, cuti sekolah ini saya dah terima tempahan lebih 350 kuntum bunga daun getah untuk dijadikan bunga telur kenduri perkahwinan… ada yang telah disiapkan dan ada yang masih dalam proses pembuatan, setiap kuntum bunga dijual mengikut jenis antara RM2.50 (S$0.80) hingga RM5 (S$1.60),” katanya kepada pemberita, hari ini (30 Nov).

Menurut Cik Norrasidah, walaupun proses penghasilannya sedikit rumit, namun berbaloi jika diusahakan bersungguh-sungguh kerana bunga itu sentiasa mendapat permintaan kerana rupanya yang lebih menarik berbanding bunga yang diperbuat daripada plastik.

Menceritakan proses itu, Cik Norrasidah berkata daun getah perlu direndam di dalam air selama sebulan untuk mengeluarkan lapisan kulit dan menimbulkan urat pada daun itu yang kemudian direndam pula di dalam cecair peluntur untuk membersihkannya.

“Daun getah kemudian dikeringkan dan seterusnya boleh digubah menjadi kuntuman bunga dan antara jenis gubahan bunga yang sering mendapat permintaan ialah jenis kuntuman bunga ros, tulip, dan kekwa,” katanya.

Cik Norrasidah berkata sepanjang mengusahakan kraf itu, Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) banyak membantu memberi bimbingan dan bantuan kepadanya.

Beliau kini berharap untuk membina sebuah bengkel di tepi rumahnya bagi menempatkan daun-daun getah yang direndam bagi memelihara kualiti bunga yang dihasilkan.

“Sampai sekarang pun saya masih menghadiri kursus yang dianjurkan jabatan serta agensi berkaitan agar saya dapat mempelbagaikan lagi gubahan dan corak bunga,” katanya.

Sumber : Agensi berita/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan