Images
  • wadeh 1
    Gambar-gambar: Abundant Productions

Dari peniaga pasar malam, Mr Vadai kini orak langkah tembusi pasaran luar negara

SINGAPURA: Bagi anda yang menggemari wadeh, jenama 'Mr Vadai' pasti tidak asing lagi. Ada juga yang mungkin tercari-cari makanan itu sejak pasar malam tidak lagi dibenarkan beroperasi dek penularan COVID-19.

Anda tidak lagi perlu tercari-cari kerana Mr Vadai kini mempunyai tiga kedai tetap yang boleh anda kunjungi untuk menikmati wadeh panas-panas itu.

Mediacorp bertemu dengan pengasasnya, Samraj Ahsockan ("panggil saja Sam", katanya) dan anak perempuannya Logeswaari (dengan nama timangan Yeh Yeh) untuk mendengar kisah perjalanan mereka dari sepasang peniaga jalanan hingga ke cawangan ketiga mereka di Changi Road dan rancangan seterusnya untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.

BERMULA DENGAN WADEH 'KOSONG' DI FARRER PARK

Sam berkongsi dengan Mediacorp bahawa resipi asal wadeh popular mereka diwarisi daripada ibunya, yang dahulu menjaja epok-epok dan 'wadeh kosong' di Farrer Park. Dia sudah menolong ibunya sejak berusia sembilan tahun, katanya.

Dia memperhalusi resipi itu semasa mula menjual wadeh udang di pasar malam semasa berusia 20-an tahun.

"Kami menjelajah dari satu pasar malam ke satu lagi pasar malam yang lain sejak 1985, sebelum Yeh Yeh dilahirkan. Kami berpindah dari satu pasar malam ke satu pasar malam yang lain setiap 15 dengan 30 hari, sepanjang tahun," kongsi Sam.

"Kami bekerja 365 hari setiap tahun, tanpa henti!" ujar Yeh Yeh, yang menambah bahawa dia sudah menolong ayahnya sejak berusia 10 tahun.

Mereka membuka Yeh Yeh's Cafe pada hujung 2017, sementara cawangan kedua di Joo Chiat Road pula dibuka pada tahun ini.

Cawangan terbaru itu dibuka berdekatan dengan Cafe Yeh Yeh's.


Para pemilik bersama DJ Mediacorp di cawangan baru wadeh popular itu. 

RINDU PELANGGAN DORONG BUKA KEDAI TETAP

Menurut pasangan bapa dan anak itu, mereka memutuskan untuk membuka kedai tetap supaya mudah untuk para pelanggan mencari mereka kerana tiada pasar malam dibenarkan buat masa ini.

Namun bagi Yeh Yeh, keputusan untuk membuka kedai tetap adalah sesuatu yang membanggakan baginya.

"Selama 30 tahun, kami tidak mempunyai 'pangkalan'. Kami selalu bertukar tempat dan berpindah-randah. Kami juga tidak dapat memberitahu para pelanggan siapa kami sebenarnya. Mereka akan bertanya 'Mr Vadai, siapa? Awak ada kedai?' Kami tidak mempunyai restoran," ujarnya.

"Sungguhpun demikian, kami sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri. Dari satu, menjadi dua dan kini tiga cawangan. Ini sesuatu yang membanggakan," tambah Yeh Yeh penuh bersemangat.

Satu lagi perkara yang membanggakan Yeh Yeh adalah resipi 'rahsia' wadeh mereka, yang pasangan itu bertegas sangat berbeza berbanding wadeh-wadeh lain.

Sam sangat berbangga dengan adunan keringnya, yang disukat dengan sangat teliti.

“Anda boleh bawa campuran tepung (adunan) kami ke mana-mana - ke Afrika, Amerika Selatan - dan rasanya tetap sama 100 peratus!" jamin Sam.

Apa yang sukar, katanya, adalah mencapai tahap kepekatan yang sama semasa mencampurkan air. "Ini sangat penting, ada yang kurang campurkan air dan ia menjadi terlalu keras," tambahnya.

Satu lagi tarikannya adalah cili hijau yang menurut mereka berdua diimport khas dari India.

“Cili kami mempunyai tahap kepedasan tinggi yang semua pelanggan kami suka. Jika tiada cili, mereka (pelanggan) akan pulang tanpa membeli wadeh," seloroh Yeh Yeh sambil tertawa.


Cili yang diimport khas dari India. 

INOVASI MEMBEZAKAN WADEHNYA DARIPADA PESAING LAIN

Wadeh udang, hidangan 'signature' Mr Vadai (lima keping pada harga S$6) adalah hidangan yang wajib dicuba. Di samping itu, mereka juga menawarkan wadeh ikan bilis, sayur, cili, sardin dan wadeh kosong.

Tekad untuk memastikan agar mereka berbeza berbanding pesaing-pesaing lain menjadi dorongan utama Sam. Dari mengendalikan beberapa gerai pasar malam dan menawarkan 'live station' untuk acara, satu lagi inovasi yang ingin dikongsinya adalah 'mini vadai'.

"Siang malam saya tidak putus-putus memikirkan bagaimana untuk terus memperbaikinya. Saya merintis 'mini-vadai' - itulah inovasi saya! Orang lain kemudian meniru saya," dakwanya.

Wadeh mini bersaiz bebola ikan (10 keping pada harga S$4) diperbuat daripada adunan yang sama dan ditawarkan dalam pelbagai rasa seperti ayam, ikan, udang, ketam, ikan bilis, sayur dan malah, telur puyuh (cetusan idea kreatif Yeh Yeh).


'Mini Vadai' popular dalam kalangan kanak-kanak. 

TIP UNTUK PASTIKAN WADEH TIDAK 'LEMAU' JIKA DIBELI ONLINE

Hingga ke hari ini, mereka masih menggoreng wadeh dengan teknik mereka sendiri.

Sam mendedahkan: "Orang lain sentiasa membalik-balikkan wadeh mereka dalam minyak, kami tidak." Hanya seminit dalam minyak yang panas dan kudapan yang enak itu siap untuk terus dimakan atau dihantar kepada pelanggan.

Oleh kerana sebahagian besar perniagaan Mr Vadai dijalankan melalui tempahan online, Mediacorp bertanya sama ada makanan itu akan menjadi benyek.

Menurut Yeh Yeh, wadeh jualan mereka mempunyai tempoh 30 hingga 45 minit untuk kekal panas dan rangup. Namun cara yang dilakukannya adalah dengan membiarkan wadeh yang baru digoreng itu sejuk sedikit sebelum membungkusnya bagi penghantaran jarak dekat.

Dia juga memberikan tip ini: "Nasihat saya adalah 'air-fry' wadeh kami apabila anda menerimanya dan anda akan mendapatkan rasa dan tekstur yang sama."

Tidak kira panas atau sejuk, saiz biasa atau mini, Mr Vadai yang pada mulanya menjual hanya 500 keping wadeh sehari, kini menjual sekitar 1,000 keping setiap hari dan itupun cuma di satu cawangan sahaja, termasuk pesanan online.

PASARAN GLOBAL JADI SASARAN, JADIKAN WARISAN UNTUK GENERASI PELAPIS

Pasangan itu juga bertekad untuk memikat lebih ramai pelanggan dan mengorak langkah seterusnya untuk mengukuhkan jenama itu dan menebarkan sayap ke pasaran luar negara.

Cita-cita tersebut didorong oleh tekad mereka untuk meninggalkan satu warisan kepada generasi seterusnya. Apabila pasangan anak dan bapa itu ditanya sama ada akan terdapat generasi ketiga untuk mengambil alih perniagaan mereka itu, dengan pantas Yeh Yeh menjawab: "Ya, tentu! Anak-anak lelaki saya sudah ikut saya ke kedai sejak mereka berusia sembilan tahun dan kini mereka boleh melakukan semuanya, malah mereka juga sudah berupaya menguruskan kedai apabila saya bercuti!"


Terdapat juga ura-ura untuk menjadikan Mr Vadai sebagai satu jenama antarabangsa, bermula dengan francais di Singapura dahulu. Namun mereka mahu memulakan langkah ini dengan berhati-hati kerana mahu memelihara mutu produk yang menjadi kebanggaan mereka berdua itu.

Kejayaan Mr Vadai mendigitalkan perniagaan mereka turut menyumbang kepada detik yang paling membanggakan bagi Yeh Yeh yang merupakan usahawan paling muda menerima Anugerah Pemimpin Perniagaan India Singapura pada 2017. 

Yeh Yeh’s Cafe oleh Mr Vadai terletak di 116 Changi Road, WIS@Changi, #01-08, Singapura 419718. Ia dibuka dari Selasa hingga Ahad, 12.00 tengah hari hingga 7.00 malam.

- CNA/TQ/sm

Top