Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

Dah bersenam tetapi berat badan tak turun? Kalori yang dibakar mungkin kurang dari jangkaan

"Dah diet, dah bersenam, tapi berat tak nak turun jugak". Keluhan sedemikian mungkin sesuatu yang biasa kita dengar atau alami sendiri.

Anggaran Waktu Membaca:

NEW YORK: "Dah diet, dah bersenam, tapi berat tak nak turun jugak". Keluhan sedemikian mungkin sesuatu yang biasa kita dengar atau alami sendiri.

Satu kajian baru tentang bagaimana kegiatan jasmani menjejas metabolik kita mendapati, bagi setiap 100 kalori yang kita jangka dibakar semasa bersenam sebenarnya hanya berkurangan sekitar 72 kalori, menurut rencana disiarkan di The New York Times.

Kajian itu mendapati badan kita akan secara automatik menggantikan semula sekurang-kurangnya 25 peratus kalori yang dibakar semasa bersenam, lantas mengurangkan usaha kita untuk menurunkan berat badan dengan bersenam.

Bagaimanapun kajian itu menunjukkan bahawa jumlah kalori yang digantikan itu berbeza bagi setiap orang, dan penting untuk tahu bagaimana metabolik anda bertindak balas terhadap kegiatan senaman yang dilakukan bagi mencapai hasil terbaik untuk mengawal berat badan.

Secara teori, sesuatu kegiatan senaman sepatutnya membantu menurunkan berat badan. Ketika kita bergerak, otot kita memerlukan lebih banyak bahan bakar daripada pada waktu rehat, sementara organ dan sistem biologi lain juga menghabiskan tenaga tambahan. Berkat kajian makmal yang lalu, kita tahu lebih kurang berapa banyak tenaga yang diperlukan oleh proses ini. Misalnya, berjalan sejauh 1.6 kilometer, membakar kira-kira 100 kalori, bergantung pada ukuran badan seseorang dan kelajuan berjalan.

Sejauh ini, kebanyakan orang, termasuk saintis senaman, menganggap bahawa proses ini akan berganda - iaitu, berjalan kaki 1.6 kilometer, membakar 100 kalori. Berjalan 3.2 kilometer, bakar 200, dan seterusnya, secara logik dan matematik. Sekiranya kita tidak menggantikan kalori tersebut dengan makanan tambahan, kita seharusnya membakar lebih banyak kalori dan mula menurunkan berat badan.

Namun, ini jarang berlaku.

Berdasarkan beberapa kajian, kebanyakan orang yang memulakan program senaman baru berjaya menurunkan berat badan lebih rendah daripada yang diharapkan berdasarkan jumlah kalori yang mereka bakar semasa bersenam, walaupun mereka memantau diet mereka dengan ketat.

Oleh itu, beberapa saintis mula membuat andaian bahawa tenaga yang digunakan mungkin kurang elastik daripada yang kita sangkakan. Dalam erti kata lain, jumlah kalori yang dibakar ada hadnya, tidak kiri apapun kegiatan yang kita lakukan.

Beberapa kajian berskala kecil juga mengukuhkan penemuan bahawa lebih banyak aktiviti kita lakukan tidak semestinya bermakna jumlah besar kalori yang dibakar. Namun beberapa eksperimen berskala besar sedang cuba menentukan berapa banyak kalori yang digantikan dalam badan kita bagi mengimbangi kalori yang dibakar ketika bergerak, kerana mengukur aktiviti metabolik adalah rumit dan mahal.

Bagi penyelidikan baru, yang diterbitkan Ogos lalu dalam jurnal Current Biology, beberapa saintis dalam inisiatif tersebut telah berusaha mengkaji apa yang terjadi pada metabolik kita ketika kita bergerak. Mereka mengumpulkan data melibatkan 1,754 orang dewasa.

Menggunakan model statistik, penyelidik dapat mengetahui sama ada kalori yang dibakar semasa sesuatu aktiviti meningkatkan penggunaan tenaga seperti yang dijangkakan - iaitu, sama ada lebih banyak kalori dibakar apabila mereka lebih banyak bergerak. Bagaimanapun, kumpulan penyelidik mendapati ini tidak benar - mereka tidak membakar lebih banyak kalori. Bahkan, kebanyakan daripada mereka hanya membakar sekitar 72 peratus kalori tambahan, berdasarkan tahap aktiviti mereka.

Para penyelidik juga mendapati bahawa tahap tenaga yang digantikan meningkat dalam kalangan mereka yang mempunyai kandungan lemak badan yang agak tinggi. Mereka lebih cenderung menggantikan 50 peratus atau lebih kalori dibakar dengan menjadi lebih aktif.

Barang diingat bahawa kajian ini tidak mengambil kira pemakanan mereka. Ia hanya tertumpu pada penggunaan tenaga dan bagaimana tubuh kita dapat mengimbangi sebahagian kalori yang dibakar semasa bersenam dengan mengurangkan aktiviti biologi di bahagian lain tubuh. Justeru, untuk menurunkan berat badan, kita juga harus mengurangkan makanan. 

Sumber : Agensi berita/SU/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan