Skip to main content

Iklan

Iklan

Gaya Hidup

COVID-19: Peniaga keropok Indonesia bergelut untuk bertahan dalam pandemik

"Kebanyakan perusahaan itu tidak mempunyai modal yang besar, kepakaran dalam R&D dan kilang yang besar," kata pengamat perniagaan Indonesia, Kafi Kurnia, dengan ada perusahaan yang terpaksa membuang 40% pekerja mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

BERITAmediacorp: Enak dimakan begitu saja, atau dihidangkan dengan nasi atau lauk pauk yang lain.

Bagi orang Indonesia, malah juga penduduk di negara-negara jiran tetangga termasuk Singapura, makanan yang disajikan kurang lengkap jika tidak dihidangkan bersama keropok.

"Keropok yang garing seolah-olah meningkatkan pengalaman makan apabila kita menikmati hidangan-hidangan yang tertentu, pengalaman kita makan, umpamanya gandingan keropok dan sambal yang dimakan bersama dengan nasi goreng," ujar pakar kulinari Indonesia, Encik Kafi Kurnia.

Dianggarkan ada lebih 15 jenis keropok di Indonesia, dengan keropok udang dan emping antara yang paling popular di dalam dan luar negara.

KEROPOK "MELARAT" ISTIMEWA CIREBON

Di kota pelabuhan Cirebon Jawa Barat, keropok ubi yang dinamakan Keropok Melarat atau Keropok Miskin sangat dikenali.

Apa yang membuatnya unik adalah ia digoreng dengan pasir agar lebih garing dan sihat.

Pasir yang digunakan pula, bukan sebarang pasir.

"Pasir yang baik untuk disangrai atau menggoreng keropok melarat adalah pasir yang mengandungi batu-batuan yang kecil atau istilahnya pasir cuci yang bebas debu," dedah pengusaha keropok melarat, Amid.

Asal usul nama di sebalik keropok melarat ini juga tidak kurang menariknya.

Keropok melarat.

Ahli sejarah Cirebon Mustaqim Asteja berkata keropok melarat itu mula-mula muncul di awal abad ke-19 sewaktu penjajahan India-Belanda di Indonesia.

"Pihak Belanda menerapkan politik pertanian tanaman paksa yang menetapkan bahawa tanah-tanah yang dijajah itu harus ditanam dengan tanaman yang laku untuk perdagangan pihak Belanda, khususnya di Eropah, " kata beliau.

Oleh yang demikian, ladang-ladang tempatan digunakan untuk tanam-tanaman bagi industri gula, kopi dan sebagainya.

Para penduduk, tambah beliau, menanam ubi sebagai sumber makanan alternatif.

"Harga minyak masak juga mungkin sangat mahal dan sukar untuk didapati pada waktu itu, jadi para penduduk menggunakan pasir sebagai pengganti bahan untuk menggoreng keropok," kongsi beliau.

KEROPOK KULIT KERBAU

Jika pasir menjadi alternatif minyak untuk menghasilkan keropok miskin, kira-kira 200 kilometer dari Cirebon pula, terdapat kilang keropok yang bijak menggunakan bahan yang lazimnya dibuang begitu sahaja - kulit lembu.

Namun, kilang milik Aep Sudrajat itu menghasilkan keropok rambak, yang diperbuat daripada kulit kerbau, diimport dari Malaysia kerana menghasilkan keropok yang sangat empuk.

Proses pembuatannya bagaimanapun agak rumit dan memakan masa.

"Dari awal sampai akhir, prosesnya mengambil masa 14 hingga 15 hari, kalau cuaca baik. Sekiranya musim hujan, ia mungkin mengambil masa sebulan," kata Aep.

BANYAK PERUSAHAAN KEROPOK MILIK KELUARGA

Data rasmi perusahaan keropok Indonesia menunjukkan, pada 2019 negara itu menghasilkan kira-kira 200 tan keropok sehari tetapi pengamat perniagaan, Pak Kafi menganggarkan jumlah sebenarnya lebih tinggi iaitu antara 400 dengan 500 tan sehari.

Pengeluaran lebih besar terbatas oleh kurangnya modal memandangkan kebanyakan kilang milik keluarga yang berniaga kecil-kecilan.

"Kebanyakan perusahaan itu tidak mempunyai modal yang besar, kepakaran dalam pembangunan dan pengembangan produk (R&D) dan kilang yang besar. Kerana itulah mereka lebih tertumpu kepada pasaran tempatan dan tidak tidak mempunyai cita-cita nasional, apa lagi cita-cita global," kata Pak Kafi lagi.

Tetapi menurut Encik Aep, beliau pernah mencuba memperkenalkan automasi di kilangnya tetapi hasilnya kurang memuaskan.

"Kami sudah banyak kali cuba menggunakan alat moden. Biaya pengeluarannya tinggi tetapi hasilnya kurang memuaskan dan kami kerugian.

COVID-19 JEJAS PENGELUARAN

Gelombang pandemik COVID-19 pula mencabar kelangsungan perniagaan Encik Amid,

"Para pelanggan tidak boleh masuk terutama yang dari luar kota. Hasil pengeluaran kami tidak habis dijual dan kami terpaksa mengurangkan pengeluaran kami. Alhamdulillah pendapatan saya masih cukup untuk menyara keluarga," keluh beliau.

Tambahnya beliau terpaksa melepaskan 40 peratus pekerjanya selepas pengeluaran syarikat itu merosot sebanyak separuh sejak pandemik COVID-19 melanda.  

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan